Site icon TechNave BM

Xiaomi Mi 11 mungkin jadi telefon China pertama dilengkapi Snapdragon 875

Sebelum ini, Samsung Galaxy S21 dikhabarkan akan menjadi telefon pintar pertama dalam dunia yang akan dilengkapi cipset flagship seterusnya oleh Qualcomm, Snapdragon 875. Kini, terdapat khabar yang mengatakan Xiaomi bakal menjadi jenama telefon pintar China pertama yang akan menghasilkan telefon dengan cipset tersebut.

Menurut pembocor maklumat terkenal Digital Chat Station, Xiaomi Mi 11 akan menjadi telefon China pertama dengan Snapdragon 875. Memandangkan Xiaomi adalah rakan kongsi yang penting untuk Qualcomm, ini adalah sesuatu yang boleh dijangkakan. Ini bukanlah bermakna Qualcomm akan mengkhaskan Snapdragon 875 untuk Xiaomi sahaja, cuma Xiaomi bakal mendahului jenama-jenama lain dari China dalam menggunakan cipset tersebut.

Qualcomm dikhabar akan melancarkan Snapdragon 875 dalam acara Tech Summit Digital 2020 pada 1 Disember ini. Sebelum ini, terdapat juga beberapa imej awal yang mengaku merupakan reka bentuk Xiaomi Mi 11. Telefon tersebut dijangka akan dilancar sebulan atau dua bulan selepas Snapdragon 875 diperkenalkan.

Adakah anda berminat untuk memiliki Mi 11? Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Gizchina

Exit mobile version