Xiaomi telah mengesahkan bahawa sebanyak 31 model telefon pintar daripada jenama Xiaomi, Redmi dan POCO hanya akan menerima kemas kini utama terakhir melalui HyperOS 3 berasaskan Android 15. Selepas itu, peranti ini tidak lagi akan mendapat kemas kini Android 16.
Menurut laporan, HyperOS 3 dijangka mula dilancarkan secara berperingkat bermula September 2025 yang menawarkan antaramuka baharu, ciri visual yang lebih moden serta fungsi pintar yang dipertingkatkan. Namun bagi 31 peranti tersenarai, kemas kini tersebut menandakan titik akhir sokongan sistem operasi daripada Xiaomi.
Senarai penuh peranti yang tamat di Android 15 / HyperOS 3:
| Jenama | Model |
|---|---|
| POCO | C65, F5 5G, F5 Pro, M6 Pro, X6 Neo |
| Redmi | 12, 12 5G, 13C, 13C 5G, 13R |
| Redmi (K Series) | K50 Ultra, K60 |
| Redmi (Note 12 Series) | Note 12 4G, Note 12 NFC 4G, Note 12R, Note 12S, Note 12T Pro, Note 12 Turbo |
| Redmi (Note 13 Series) | Note 13 4G, Note 13 4G NFC, Note 13 5G, Note 13R Pro |
| Xiaomi (12 Series) | 12, 12 Pro, 12S, 12S Pro, 12S Ultra |
| Xiaomi (12T Series) | 12T, 12T Pro |
| Xiaomi (Lain-lain) | Civi 3, MIX Fold 2 |
Langkah ini sejajar dengan polisi industri Android yang lazimnya memberikan sokongan 2–3 tahun untuk sistem operasi utama, sebelum menumpukan kepada model baharu dengan spesifikasi lebih canggih. Walaupun tidak akan menerima Android 16, Xiaomi dijangka masih menyediakan kemas kini keselamatan untuk tempoh tertentu bagi memastikan peranti kekal selamat digunakan.
Ini merupakan strategi Xiaomi untuk memberi tumpuan pada peranti generasi seterusnya, sambil memastikan pengalaman HyperOS 3 tetap sampai kepada pengguna model lebih lama sebagai kemas kini terakhir. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: XiaomiTime

