Site icon TechNave BM

Xiaomi tamatkan pengilangan telefon 4G pada tahun depan, sedang mulakan kajian untuk 6G

Selain mengumumkan Redmi 10X di China semalam, Xiaomi juga telah memulakan pra-kajian terhadap teknologi 6G di samping pembangunan internet satelit. Selain itu, syarikat tersebut bakal menamatkan penghasilan telefon 4G bermula tahun depan.

Menurut pengasas dan CEO Xiaomi Lei Jun, memandangkan wabak COVID-19 telah menjejaskan rantai bekalan untuk pengilangan telefon 5G, jadi Xiaomi perlu mensubsidikan kilang sebanyak 250 juta Yuan bagi meningkatkan pengilangan dan menghentikan peranti 4G adalah salah satu penyelesaiannya.

Memandangkan 5G adalah kemajuan seterusnya dalam industri telefon pintar, syarikat tersebut memutuskan untuk menumpukan pada adaptasi telefon pintar 5G, peranti internet pelbagai benda (IoT) dan mengusahakan sistem awam. Pada waktu ini, Xiaomi sedang bekerja dengan kerajaan China bagi membangunkan sistem amaran bencana.

Tidak banyak maklumat yang terdapat tentang perusahaan Xiaomi dalam kajian 6G. Walau bagaimanapun, Xiaomi bukanlah syarikat China pertama yang melakukan sedemikian kerana ZTE dan China Telecom juga telah memulakan kajian serupa.

Memandangkan 5G bakal tiba tidak lama lagi, tunggu masa sahaja sehingga telefon 4G akan ditamatkan. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Gizchina

Exit mobile version