5 telefon pintar terbaik di bawah RM1,000

Walaupun dengan keberadaan pelbagai telefon pintar flagship dalam pasaran pada waktu ini, permintaan untuk telefon pintar kelas pertengahan juga tidak kurang hebatnya. Malah, pada waktu ini anda sebenarnya tidak perlu berbelanja besar jika anda inginkan peranti yang boleh melaksanakan 90% tugas harian dengan baik. Jika anda sedang mencari telefon pintar yang tidak akan membebankan akaun bank anda, biar kami perkenalkan beberapa telefon bagus yang anda boleh beli di bawah RM1,000. Jom tengok!

Redmi Note 9S

Siri Redmi Note 9S adalah telefon kelas pertengahan yang menampilkan spesifikasi hebat namun masih mampu dijual pada harga mampu milik. Dalam ulasan Redmi Note 9S kami, ia dihuraikan sebagai peranti yang mempunyai “harga murah, prestasi mahal”. Harga Redmi Note 9 bermula pada RM649 untuk RAM 3GB + storan 64GB.

Redmi Note 9 Pro

Jika anda merasakan Redmi Note 9S masih tidak cukup berkuasa, anda mungkin boleh lihat pada ‘abangnya’ iaitu Redmi Note 9 Pro yang dijual pada harga RM999 untuk varian RAM 6GB dan storan 64GB. Dengan beza RM350 itu, anda boleh dapatkan kamera dengan kualiti yang jelas, pengecasan yang lebih pantas dan sokongan untuk NFC. Anda boleh baca ulasan kami di sini.

realme 6

Jika anda ingin dapatkan peranti realme yang dikhaskan untuk bermain game, anda boleh dapatkan realme 6 berharga RM999 yang mempunyai skrin 90Hz dan cipset Helio G90T untuk pengalaman gaming yang lebih lancar. Pada masa ini, kebanyakan peranti dengan skrin 90Hz biasanya berharga lebih daripada RM1,000, namun realme 6 berjaya menawarkan kadar segar semula yang tinggi itu dengan harga yang tidak terlalu maha.

Samsung Galaxy M21

Apa yang menarik tentang Samsung Galaxy M21 adalah pada skrinnya iaitu Super AMOLED yang berukuran 6.4 inci. Dengan harga RM899, anda sudah boleh dapatkan skrin yang sangat cantik setaraf dengan telefon-telefon yang lebih mahal. Jadi jika anda inginkan pengalaman menonton video yang terbaik di bawah RM1,000, Galaxy M21 ialah telefon untuk anda. Selain itu, ia juga mempunyai bateri yang terbesar dalam senarai itu iaitu 6,000mAh.

OPPO A91

OPPO A91 yang berharga RM999 adalah sebuah lagi telefon yang dilengkapi skrin AMOLED 6.4 inci, jadi apa yang membezakannya dengan Galaxy M21 tadi? OPPO A91 mempunyai berat 172 gram sahaja, menjadikannya telefon yang paling ringan dalam senarai ini. Malah, inilah ciri yang paling diketengahkan dalam pemasarannya dengan slogan, “The Era of Light.” Jadi jika anda kisah tentang berat phone anda, anda boleh dapatkan OPPO A91.

Kami berharap senarai ini akan membantu anda dalam membeli peranti anda yang seterusnya. Jadi telefon manakah yang menjadi pilihan? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.