fbpx
More

    Ulasan Redmi Note 9 Pro – Adakah lebih baik daripada Redmi Note 9S?

    Pada bulan Mei lalu, saya telah pun menulis ulasan penuh untuk telefon kelas pertengahan daripada Xiaomi iaitu Redmi Note 9S. Saya simpulkan dalam ulasan itu bahawa Note 9S adalah produk yang amat baik untuk harganya.

    Sebenarnya, terdapat dua lagi varian utama kepada Redmi Note 9S iaitu Redmi Note 9 dan Redmi Note 9 Pro, di mana ketiga-tiga telefon ini melengkapkan keluarga siri Redmi Note 9. Untuk Note 9 Pro, mungkin secara automatik anda akan terfikir ia adalah varian tercanggih dan terbaik dalam siri tersebut memandangkan terdapat perkataan ‘Pro’ pada namanya. Namun adakah ini benar? Ayuh baca ulasan kami untuk Redmi Note 9 Pro untuk mengetahuinya.

    Rekaan – Tidak berbeza langsung dengan Redmi Note 9S

    Jika anda meletakkan Note 9S bersebelahan dengan Note 9 Pro, sukar untuk anda membezakannya kerana kedua-dua peranti tersebut mempunyai rekaan luaran yang sama. Saiznya juga adalah sama, kerana kedua-dua telefon ini mempunyai skrin 6.67 inci.

    Bermula daripada bahagian belakang, ia mempunyai permukaan berkilauan sama yang terdapat pada Note 9S. Amat mudah untuk anda tinggalkan cap jari pada permukaan ini, jadi saya nasihatkan anda untuk mengenakan casing silikon sebaik sahaja anda membawa keluar telefon ini daripada kotak.

    Bahagian belakang Redmi Note 9 Pro adalah sangat berkilauan. Ini adalah warna kelabu Interstellar Grey.

    Di samping itu, bonggol kamera di belakang juga mempunyai rekaan yang sama.

    Perbezaan yang ketara terdapat pada Note 9 Pro bewarna hijau Tropical Green di mana jalur hitam di bawah bonggol kameranya tidak terdapat pada warna-warna Note 9 Pro dan Note 9S yang lain.

    Bonggol kamera Redmi Note 9 Pro yang menempatkan empat lensa.
    Pilihan warna untuk Redmi Note 9 Pro: dari kiri, Glacier White, Interstellar Grey dan Tropical Green. Anda boleh perhatikan pada bonggol kamera untuk warna hijau Tropical Green di mana tiada jalur hitam di bawahnya.

    Kedudukan butang-butang kuasa dan pengawal kelantangan suara juga masih berada pada kedudukan yang sama iaitu di sebelah kanan telefon.

    Butang kuasanya juga bertindak sebagai pengimbas cap jari yang amat responsif. Di sebelah kiri, terdapat ruang kad dwi-kad SIM.

    Di bahagian atas, mikrofon dan pemancar inframerah (IR blaster) boleh dilihat manakala di bawah pula terdapat susunan mikrofon, pembesar suara, port USB Type-C dan bicu audio 3.5mm yang serupa dengan Note 9S.

    Pengimbas cap jari ini adalah sangat responsif.
    Kiri: Ruang kad SIM. Kanan: Butang kuasa yang bertindak sebagai pengimbas cap jari, dan butang kawalan kelantangan suara.
    Bahagian bawah Redmi Note 9 Pro. Boleh dilihat di sini pembesar suara, port USB Type-C dan bicu audio 3.5mm.

    Di bahagian hadapan pula, Note 9 Pro mempunyai skrin DotDisplay berukuran 6.67 inci dengan resolusi Full HD+ (2400 x 1080).

    Ia mempunyai nisbah skrin-ke-badan sebanyak 91%, diperbuat daripada Corning Gorilla Glass 5 dan mempunyai kamera swafoto punch-hole di bahagian atas tengah.

    Skrin Redmi Note 9 Pro.
    Kamera swafoto punch hole yang berada di bahagian atas tengah skrin.
    Walaupun bezel yang paling tebal dalam Redmi Note 9 Pro berada di bahagian bawah, ia tidaklah terlalu tebal.

    Secara asasnya, Redmi Note 9 Pro dan Redmi Note 9S umpama pelanduk dua serupa – langsung tidak mempunyai perbezaan daripada segi luaran. Tetapi bagaimana pula daripada segi dalaman? Di situ baru ada perbezaan oleh itu mari kita maju ke bahagian spesifikasi.

    Spesifikasi – Kamera dan pengecasan yang lebih tinggi sedikit sahaja

    Spesifikasi utama Redmi Note 9 Pro juga kebanyakannya sama dengan Redmi Note 9S. Kedua-duanya mempunyai cipset Snapdragon 720G iaitu sebuah cipset kelas pertengahan yang direka khas untuk prestasi gaming dan multimedia sambil meningkatkan kecekapan penggunaan bateri.

    Skrin Note 9 Pro masih memberikan imej yang cantik sewaktu saya menggunakannya untuk menonton video-video YouTube dan bermain game. Walaupun kadar segar semula (refresh rate) hanya sekadar 60Hz dan tidak setinggi telefon-telefon flagship, pengalaman saya meleret UI dan melihat animasi dalam skrin ini rasa lancar sahaja.

    Skrin DotDisplay dalam Redmi Note 9 Pro memaparkan warna yang terang dan cantik.

    Sekarang mari cakap tentang kamera Note 9 Pro. Ia terdiri daripada kamera utama 64MP, kamera ultra-lebar 8MP, kamera makro 5MP dan sensor kedalaman 2MP.

    Di sini anda boleh lihat bahawa ia hampir sama dengan Note 9S selain daripada kamera utama kerana Note 9S mempunyai kamera 48MP.

    Redmi Note 9 Pro mempunyai empat kamera dengan pelbagai fungsi menarik.

    Untuk kamera hadapan pula, Note 9 Pro berkongsi kamera dengan Note 9S iaitu kamera swafoto 16MP.

    Satu lagi perbezaan antara kedua-dua peranti ini yang ketara adalah pada pengecasannya di mana Note 9 Pro mempunyai pengecasan pantas 30W iaitu 12W lebih pantas berbanding Note 9S. Daripada segi kapasiti bateri pula, ia adalah sama iaitu 5,020mAh. Selain itu, Note 9 Pro juga dilengkapi teknologi NFC.

    Daripada segi memori, Note 9 Pro dijual di pasaran Malaysia dengan pilihan storan dalaman 64GB atau 128GB dengan RAM 6GB untuk kedua-dua model.

    Berikut adalah ringkasan spesifikasi Redmi Note 9 Pro:

    • Cipset Snapdragon 720G
    • Paparan DotDisplay 6.67 inci LCD FHD+
    • RAM 6GB
    • Storan 64GB atau 128GB
    • Kamera utama quad 64MP + 8MP (ultra-lebar 119°) + 5MP (makro) + 2MP (kedalaman)
    • Kamera swafoto 16MP
    • Bateri 5,020mAh
    • Pengecasan pantas 30W (pengecas dalam kotak adalah 33W)
    • Sensor cap jari di sisi peranti
    • Sokongan NFC, pemancar inframerah, bicu audio 3.5mm
    • Pilihan warna Tropical Green, Glacier White dan Interstellar Grey

    Prestasi – Tidak jauh bezanya dengan Redmi Note 9S

    Secara keseluruhan, Redmi Note 9 Pro menawarkan pengalaman penggunaan yang baik. Jika anda sekadar menggunakan telefon ini untuk tugasan harian seperti membuat panggilan, pemesejan atau melayari internet, telefon ini tidak akan mendatangkan masalah. Tetapi bagaimana pula jika ia digunakan untuk tugas yang lebih berat sedikit seperti gaming atau fotografi?

    Berikut adalah keputusan daripada ujian penanda aras (benchmark) AnTuTu yang telah saya lakukan untuk Redmi Note 9 Pro:

    Keputusan ujian penanda aras AnTuTu. Ini adalah markah yang agak baik untuk telefon kelas pertengahan.

    Dibandingkan dengan Note 9S dalam ulasan kami sebelum ini, ia hanya lebih tinggi sebanyak 20 ribu mata sahaja. Pada pengalaman saya, ia masih memberi pengalaman keseluruhan yang bagus namun masih terdapat masalah yang sama di dalam Redmi Note 9S.

    Segala fungsi leretan (swiping) di dalam MIUI 11 rasa amat lancar namun apabila saya membuka pelbagai aplikasi serentak, Note 9 Pro menjadi perlahan sedikit apabila saya ingin bertukar aplikasi.

    MIUI menampilkan rekaan ikon dan UI minimalis serta pengalaman penggunaan yang amat lancar.

    Warna yang dipaparkan dalam skrin DotDisplay ini sangat jelas dan pekat, namun ia tidak mempunyai keterangan (brightness) yang cukup terang untuk digunakan di bawah cahaya matahari terik.

    Jika anda menggunakan Redmi Note 9 Pro ini untuk bermain game, telefon ini tidak akan mendatangkan banyak masalah. Saya telah memainkan beberapa game di dalam telefon ini dalam tetapan grafik medium dan prestasinya lancar sahaja.

    Jika anda berkenan, anda boleh sahaja memainkan dengan tetapan grafik tinggi namun anda perlu jangkakan penurunan kadar frame yang agak ketara. Seperti dalam Note 9S, bahagian belakang telefon tidak pernah menjadi terlalu panas walaupun selepas saya bermain game selama lebih kurang satu jam.

    Berikut adalah video gameplay yang telah diambil daripada Redmi Note 9 Pro:

    Baterinya yang agak besar juga membenarkan saya untuk menggunakan Note 9 Pro selama lebih kurang dua hari, jika saya tidak menggunakan aplikasi berat dan tidak melayari media sosial atau video YouTube dengan lama. Jika saya berbuat demikian sekali pun, telefon ini tiada masalah untuk tahan sehingga lewat malam.

    Bagaimana pula dengan pengecasannya yang tinggi sedikit berbanding Note 9S? Dengan pengecasan pantas 30W, Note 9 Pro memang boleh dicas dengan lebih pantas berbanding Note 9S namun hanya selama beberapa minit sahaja.

    Menurut pengalaman saya, pengecasan penuh memerlukan masa lebih kurang satu jam 30 minit. Ini tidaklah jauh berbeza dengan Note 9S yang memerlukan satu jam 45 minit.

    Pengecasan penuh daripada 15% mengambil masa satu jam 17 minit.

    Baiklah, bagaimana pula dengan kualiti gambar daripada Redmi Note 9 Pro? Seperti dalam Note 9S, kamera telefon ini memberi kualiti gambar yang sangat baik secara keseluruhan.

    Berikut adalah contoh gambar daripada Redmi Note 9 Pro:

    Pencahayaan dalam gambar ini nampak sangat cantik.
    Gambar pantulan yang diambil menggunakan zum 3x.
    Contoh gambar ultra-lebar.
    Ukiran tulisan Arab boleh dilihat jelas pada model masjid Dome of the Rock ini.
    Contoh gambar zum 2x.
    Warna gambar ini nampak terang, bolehlah dijadikan kamera untuk blog makanan anda.
    Latar belakang Kuala Lumpur.
    Contoh gambar kamera makro. Tekstur pada kentang goreng ini boleh dilihat jelas.
    Contoh gambar ultra-lebar.
    Contoh gambar kamera swafoto yang diambil melalui mod Portrait. Pemisahan efek bokeh di antara subjek dengan latar belakang nampak kemas.

    Semua kamera yang terdapat dalam Note 9 Pro berfungsi dengan baik. Malang sekali, kualiti gambar malapnya (low-light) masih tidak begitu baik.

    Seperti dalam Note 9S, gambar malapnya masih terdapat noise yang agak jelas dan mutunya adalah biasa sahaja jika dibandingkan dengan telefon lain.

    Agak sukar untuk dapatkan gambar malap yang jelas jika anda sekadar memegang Note 9 Pro, kerana gambar akan mudah kabur akibat getaran kecil oleh tangan anda.

    Untuk video, Note 9 Pro boleh merakam video 4K pada kadar 30fps, 1080p pada 60fps atau 30fps. Selain itu, terdapat juga fungsi gerak perlahan (slow-motion) yang boleh merakam sehingga 960fps pada resolusi 720p.

    Pada pendapat saya, mutu videonya adalah elok untuk peranti kelas pertengahan. Berikut adalah contoh video daripada Redmi Note 9 Pro termasuk video gerak perlahan:

    Kesimpulan – Sedikit sahaja beza dengan Note 9S

    Redmi Note 9 Pro dijual pada tanda harga RM999 untuk varian storan 64GB dan RM1,099 untuk storan 128GB. Ini membuatkannya sekurang-kurangnya RM200 lebih mahal berbanding Redmi Note 9S yang mempunyai prestasi yang hampir sama dengan Note 9 Pro.

    Jadi apakah beza kedua-dua peranti tersebut? Perbezaan utama hanyalah pada megapiksel dalam kamera serta kadar pengecasan namun perbezaannya tidaklah begitu ketara. Sukar untuk saya mencadangkan telefon ini kepada anda kerana pada pendapat saya, RM200 adalah tidak berbaloi untuk prestasi yang lebih sedikit sahaja berbanding Note 9S. Anda boleh lihat senara perbandingan lengkap kedua-dua peranti tersebut di laman web kami.

    Bukanlah saya ingin katakan Note 9 Pro peranti yang tidak bagus, cuma saya rasa anda boleh dapatkan telefon pada tahap kualiti yang sama dengan harga yang lebih murah jika anda membeli Note 9S. Anda boleh membaca ulasan untuk telefon itu di sini.

    Kongsi pendapat anda tentang ulasan ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Apple perkenalkan sistem Trade In, tukar peranti lama dan dapatkan faedah menarik

    Apple memperkenalkan Apple Trade In di mana pelanggan boleh menerima nilai yang sangat baik bagi peranti semasa mereka untuk ditukar. Sistem ini...

    Spotify uji ciri pembelajaran berasaskan video, hadir dengan 4 kategori utama

    Hari ini, Spotify telah melancarkan ujian untuk kursus berasaskan video bagi pengguna di United Kingdom (UK). Spotify bekerjasama dengan syarikat teknologi pendidikan...

    Ginjal khinzir berjaya dipindahkan ke badan manusia buat kali pertama

    Dunia perubatan digegarkan dengan kejayaan seorang doktor yang telah melakukan pemindahan ginjal pertama yang diubah suai secara genetik daripada babi kepada manusia...

    Red Magic 9 Pro+ Bumblebee Transformers Edition akan dilancar pada 29 Mac 2024

    Nubia memperkenalkan Red Magic 9 Pro di Malaysia pada Disember lalu, diikuti dengan keluaran varian telefon pintar Edisi Khas Putih. Baru-baru ini,...

    Astro sahkan tiada perubahan harga langganan Disney+ Hotstar

    Semalam, Astro mengesahkan bahawa harga bagi mereka yang mempunyai Disney+ Hotstar akan disemak semula. Dalam bahagian Soalan Lazim, dinyatakan bahawa "Semua pelanggan...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X