fbpx
More

    Ulasan Redmi Note 9S – Harga murah, prestasi mahal!

    Pada bulan Mac lalu, telefon kelas pertengahan daripada Xiaomi, Redmi Note 9S, telah pun dilancarkan di Malaysia. Dalam pasaran telefon pintar kelas pertengahan yang semakin sengit, apakah yang membezakan Redmi Note 9S ini dengan peranti-peranti kelas pertengahan oleh syarikat lain? Adakah harganya yang agak murah sudah membuatkannya berbaloi untuk menewaskan telefon pertengahan lain? Mari kita lihat.

    Rekaan – Sangat baik untuk telefon kelas pertengahan!

    Pertama sekali, mari kita lihat pada bahagian luarannya. Badan belakang dan skrin yang terdapat pada Redmi Note 9S diperbuat daripada Corning Gorilla Glass 5 yang kukuh. Sebaik sahaja saya memegang telefon ini, saya boleh katakan bahawa kualiti buatannya (build quality) adalah padu dan tidak rasa murahan seperti dalam telefon pertengahan yang lain.

    Bahagian belakangnya pula menampilkan permukaan yang berkilauan dan memantulkan cahaya. Malah, tidak keberatan untuk saya katakan bahawa saya boleh menjadikannya sebagai cermin walaupun dengan permukaan berwarna biru Aurora Blue. Permukaan ini juga bermaksud ia mudah mengundang kesan cap jari padanya, jadi lebih elok casing dipasang terus sebaik sahaja Redmi Note 9S dikeluarkan daripada kotak.

    Rupa rekaan belakang Redmi Note 9S yang berkilat-kilat seperti cermin.

    Ia menampilkan bonggol kamera yang agak besar dan tebal serta menempatkan empat kamera yang saya akan ulas nanti.

    Di bahagian kanan pula terdapat pengawal kelantangan suara (volume) dan butang kuasa yang bertindak sebagai pengimbas cap jari. Manakala di bahagian kiri pula adalah ruang dwi-kad SIM dan microSD.

    Bonggol kamera pada Redmi Note 9S. Ia agak besar dan tebal.
    Bahagian kiri (atas) dan bahagian kanan (bawah) Redmi Note 9S.

    Di bahagian bawah terdapat pembesar suara, port USB Type-C dan bicu audio 3.5mm, sesuatu yang biasa ada dalam mana-mana peranti kelas pertengahan. Namun, di bahagian atas pula, saya menghargai kewujudan pemancar inframerah (IR blaster), sesuatu yang jarang ada dalam telefon kelas ini.

    Bagi yang tidak biasa dengan pemancar inframerah, ia adalah satu keupayaan yang membolehkan telefon anda digunakan sebagai alat kawalan jauh untuk mengawal televisyen, penghawa dingin dan sebagainya.

    Bahagian atas dan bawah Redmi Note 9S.

    Skrin Redmi Note 9S adalah skrin DotDisplay berukuran 6.67 inci dengan resolusi Full HD+ iaitu sebanyak 2400 x 1080. Di bahagian atas pula terdapat sebuah lubang punch-hole yang dihuni oleh kamera selfie 16MP.

    Saya lebih menggemari rekaan ini daripada takuk notch, dan ini membolehkan skrin Redmi Note 9S ini hampir tidak bersempadan, dengan nisbah skrin-ke-badan setinggi 91%.

    Skrin DotDisplay berukuran 6.67 inci pada Redmi Note 9S.

    Spesifikasi – Cipset baru dan bateri besar!

    Pertama, mari kita bercakap tentang skrin yang terdapat dalam Redmi Note 9S. Skrin DotDisplay yang terdapat dalam telefon ini memberikan imej yang cantik apabila saya menonton video atau bermain game. Daripada segi kadar segar semula (refresh rate) ia hanyalah berukuran 60Hz namun kita boleh jangkakan prestasi tersebut pada telefon seperti ini.

    Redmi Note 9S dilengkapi cipset Snapdragon 720G, iaitu siri Redmi Note pertama yang dilengkapi cipset ini dan antara yang terawal dalam industri telefon pintar. Snapdragon 720G yang baru dilancarkan pada Januari tahun ini adalah cipset yang dikhaskan untuk prestasi gaming dan multimedia sambil meningkatkan kecekapan penggunaan bateri.

    Seperti kebanyakan telefon dalam lingkungan tanda harga ini, Redmi Note 9S mempunyai empat kamera belakang yang terdiri daripada kamera utama 48MP, kamera ultra-lebar 8MP, kamera makro 5MP dan sensor kedalaman 2MP, manakala kamera selfie pula adalah kamera 16MP yang turut dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI). Saya akan mengulas kualiti gambarnya dalam seksyen Prestasi.

    Untuk bonggol kamera Redmi Note 9S, di barisan atas adalah kamera ultra-lebar 8MP (kiri) dan kamera utama 48MP (kanan). Manakala di barisan bawah pula adalah kamera makro 5MP (kanan) dan sensor kedalaman 2MP (kiri).

    Mungkin antara ciri yang paling menonjol dalam telefon pintar ini adalah baterinya yang besar, dengan kapasiti 5,020mAh. Ia dilengkapi teknologi pengecasan pantas 18W namun ia tidaklah begitu mengagumkan. Pengecasan penuh daripada 5% mengambil masa lebih satu jam setengah, sesuatu yang dianggap biasa pada waktu ini.

    Pengimbas cap jarinya yang turut bertindak sebagai butang kuasa adalah sangat responsif. Malah, saya boleh katakan bahawa tindak balasnya hampir sama dengan yang terdapat pada telefon flagship.

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk Redmi Note 9S:

    • Cipset Snapdragon 720G
    • Pilihan memori 4GB + 64GB atau 6GB + 128GB
    • Paparan DotDisplay berukuran 6.67 inci dengan resolusi Full HD+ (2400 x 1080)
    • Kamera utama 48MP, kamera ultra-lebar 8MP, kamera makro 5MP dan sensor kedalaman 2MP.
    • Kamera selfie 16MP
    • Bateri 5,020mAh dengan pengecasan pantas 18W
    • Sistem operasi MIUI 11 berdasarkan Android 10
    • Sensor cap jari, pemancar inframerah, bicu audio 3.5mm

    Prestasi – Lebih difokuskan kepada gaming daripada fotografi

    Sebelum saya menghuraikan pengalaman saya menggunakan telefon ini, saya akan membentangkan ujian tanda aras ringkas yang telah saya lakukan untuknya. Redmi Note 9S mendapat markah 252662 dalam AnTuTu Benchmark, manakala di 3D Mark Sling Shot pula mendapat 3578 markah.

    Hasil ujian tanda aras yang telah saya lakukan menggunakan AnTuTu (kiri) dan 3D Mark Sling Shot (kanan).

    Mungkin ia markah yang agak sederhana secara keseluruhan, tetapi untuk kelas pertengahan, ia adalah agak baik. Jadi bagaimanakah keputusan ujian ini diterjemahkan dalam penggunaan harian?

    Sebaik sahaja anda menghidupkan Redmi Note 9S, anda akan rasa kagum dengan ciri minimalis yang terdapat dalam sistem operasi MIUI 11. Sebarang leretan (swiping) juga adalah lancar dan tidak memakan masa yang lama untuk memulakan sebarang aplikasi. Namun, apabila saya membuka beberapa aplikasi serentak, ia menjadi perlahan sedikit apabila saya ingin menukar aplikasi yang dipaparkan.

    Skrin DotDisplay juga memaparkan imej yang jelas dan cantik, namun ia tidak begitu terang jika anda melihatnya sewaktu berada di bawah matahari, walaupun dengan tahap keterangan (brightness) yang paling tinggi.

    MIUI 11 memberikan pengalaman penggunaan yang ringkas dan mudah. Manakala untuk skrin DotDisplay pula, ia adalah sangat cantik namun agak sukar untuk digunakan di bawah cahaya terik walaupun pada tetapan keterangan (brightness) yang paling tinggi.

    Pembesar suaranya pula menghasilkan audio yang jelas tetapi ia agak perlahan. Memadai jika anda sekadar ingin memasangnya dalam bilik namun jika ia ingin dijadikan pemain lagu sewaktu sambutan majlis dalam ruang tamu, lebih baik anda cari pembesar suara luaran.

    Baiklah, bagaimana pula dengan gaming? Sukacita untuk saya laporkan bahawa saya amat berpuas hati dengan prestasi gaming yang ditonjolkan oleh Redmi Note 9S.

    Saya telah memainkan beberapa game yang memerlukan tetapan grafik tinggi seperti PUBG, COD: Mobile, Asphalt 9 dan Mortal Kombat dan saya langsung tidak mengalami sebarang penurunan frame rate sepanjang saya bermain walaupun dengan tempoh yang panjang. Walaupun telefon berasa suam selepas bermain game dengan agak lama, ia tidak pernah menjadi terlalu panas.

    Malah apabila digabungkan dengan bateri 5,020mAh, saya mampu bermain game dengan lama tanpa perlu mengorbankan tenaga bateri yang banyak. Snapdragon 720G memang menzahirkan kebolehannya untuk mengendali tugas gaming berat sambil mengurangkan penggunaan tenaga dan mengekalkan suhu cipset yang tidak panas. Malah, bateri penuh membenarkan saya untuk menggunakan Redmi Note 9S selama dua hari.

    Manakala daripada segi fotografi, Redmi Note 9S mampu mengambil gambar yang agak cantik dalam kebanyakan situasi. Berikut adalah contoh gambar yang diambil daripada kamera utama 48MP:

    Warna yang dihasilkan nampak jelas dan cantik.
    Sedikit efek silhouette pada waktu pagi.
    Walaupun membelakangi cahaya (backlit) gambar banjaran Bukit Tabur ini masih cantik dan tidak terlalu silau.
    Contoh gambar daripada kamera selfie. Tetapan asal (default setting) akan melicinkan muka anda.

    Saya juga amat menggemari gambar yang diambil dengan kanta makro 5MP. Pelbagai butiran halus pada subjek saya muncul dengan sangat jelas dan bewarna terang.

    Berikut adalah contoh gambar makro:

    Bulu-bulu kucing ini jelas kelihatan.
    Anda boleh nampak habuk yang terkumpul pada Gundam ini. Nampaknya sudah ‘kantoi’ bahawa saya jarang mencuci Gundam saya.
    Urat-urat daun dan bunga jelas kelihatan.

    Kamera ultra-lebar 8MP yang terdapat dalam Redmi Note 9S juga seronok untuk digunakan, walaupun efek bengkok (distortion) mungkin terpapar sedikit. Namun, kebanyakan gambar yang saya ambil memberikan hasil yang memuaskan.

    Berikut adalah sampel gambar ultra-lebar:

    Jalanraya yang kosong sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
    Sedikit distortion boleh dilihat pada tiang lampu.
    Berjaya mendapatkan keseluruhan bayangan (silhouette) banjaran Bukit Tabur!
    Perbandingan sudut penglihatan antara kamera utama (atas) dan kamera ultra-lebar (bawah).

    Secara keseluruhan, ia adalah kamera yang baik jika digunakan pada waktu siang atau di bawah cahaya yang terang.

    Walau bagaimanapun, kualiti gambarnya agak biasa untuk sebarang penggambaran malap (low-light). Ia menghasilkan noise yang jelas walaupun dalam tetapan Night Mode. Jadi jika anda menginginkan gambar yang cantik dalam situasi malap, maaf jika saya katakan Redmi Note 9S tidak dapat berbuat demikian.

    Perbandingan antara kamera utama (atas) dan Night Mode (bawah). Walaupun Night Mode lebih terang secara keseluruhan, kualitinya tidaklah begitu meyakinkan.
    Perbandingan antara kamera utama (atas) dan Night Mode (bawah).
    Walau bagaimanapun, ia tidaklah teruk jika anda mempunyai sumber cahaya yang mencukupi. Untuk penggambaran malap, Redmi Note 9S adalah biasa sahaja.

    Untuk video pula, Redmi Note 9S boleh merakam sehingga 4K pada 30fps. Kualiti videonya bagus, namun dalam waktu malap juga, kualitinya agak kabur.

    Selain itu, ia tidak mempunyai sebarang penstabilan imej jadi jika anda merakam sambil berjalan, sebarang getaran akan terpapar secara jelas. Berikut adalah contoh video yang dirakam menggunakan Redmi Note 9S:

    Kesimpulan – Telefon kelas pertengahan untuk gaming yang sangat berbaloi dengan harganya

    Selepas menggunakan Redmi Note 9S selama dua minggu, saya boleh katakan bahawa ia adalah telefon kelas pertengahan yang lebih cenderung kepada mereka yang mengutamakan prestasi gaming lebih daripada aspek lain. Dengan Snapdragon 720G dan bateri 5,020mAh, ia adalah spesifikasi sempurna untuk mengoperasi sesi gaming berpanjangan dan kualiti gameplay yang lancar.

    Malah, dengan harga RM799 untuk varian memori 4GB + 64GB dan RM 899 untuk 6GB + 128GB, ia adalah satu telefon dengan harga yang sangat kompetitif. Jika anda inginkan alternatif lain, anda boleh lihat pada realme 6i (RM699), realme 6 (RM1,199) atau HONOR 9X (RM999) yang menawarkan spesifikasi lebih kurang sama.

    Adakah ulasan kami ini membantu anda untuk mendapatkan Redmi Note 9S sebagai telefon pilihan anda? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk lebih banyak ulasan peranti dan berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Google Maps dan Carian bantu pemilik EV mencari lokasi pengecasan

    Dengan peningkatan pemilikan kenderaan elektrik (EV), terdapat permintaan yang semakin meningkat untuk stesen cas yang mudah diakses. Bagi mengatasi ini, Google Maps...

    Siri iQOO Z9 disahkan SIRIM, mungkin dilancar di Malaysia tidak lama lagi

    iQOO sedang bersiap sedia untuk melancarkan siri iQOO Z9 di China tidak lama lagi dengan jangkaan model standard akan menampilkan spesifikasi berbeza...

    Acer Swift Go 14 (2024) dilancar di Malaysia: Komputer riba dengan fungsi AI, skrin...

    Pada hari ini, Acer Malaysia melancarkan komputer riba multimedia Acer Swift Go 14 terbaru yang menampilkan rekaan nipis (14.9mm) dan ringan (1.32kg),...

    NASA sahkan objek yang menembusi bumbung di AS adalah serpihan roket

    Pada 8 Mac 2024, satu serpihan roket angkasa lepas dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) terhempas dan menembusi bumbung sebuah rumah di Naples,...

    Panduan beli-belah gajet dan peranti murah sempena Hari Raya 2024!

    Sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan salah satu daripada perayaan terbesar di Malaysia, jadi pelbagai syarikat teknologi dan elektronik akan mengambil kesempatan ini...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X