fbpx
More

    Ulasan HONOR 9X – Peranti kasual seiring dengan gaya tersendiri

    Pelbagai jenama telah mengeluarkan peranti pintar dengan pelbagai fokus. Dari kelas peranti flagship sehingga ke peranti tahap permulaan, kepelbagaian pengeluaran peranti ini seiring dengan kepelbagaian keperluan dari pengguna. Jika hanya memfokuskan peranti flagship, bagaimana pula dengan pengguna yang ingin memiliki peranti yang sesuai untuk penggunaan harian?

    HONOR dengan kelainannya kini menampilkan HONOR 9X, peranti kasual dengan penuh gaya kemas dan minimal. Dengan berharga hanya RM999, anda kini boleh mendapatkan peranti berprestasi baik untuk penggunaan harian, ditambah dengan kelengkapan fotografi yang baik.

    Reka bentuk – Peranti ada gaya

    Reka bentuk peranti kelas pertengahan ini setanding dengan reka bentuk peranti premium. HONOR 9X hadir dengan kekemasan dan tampil bergaya walaupun dengan ciri minimal. Pilihan warna Magic Night Black dan Phantom Purple seakan membawa imej sebuah peranti bergaya dengan prestasi yang hebat untuk peranti kelas pertengahan.

    Reka bentuk binaan kaca di badan peranti mungkin membimbangkan anda. Namun, sisi badan peranti yang dilindungi aluminium mungkin memberi sedikit kelebihan. Walaupun hanya dilitupi dengan paparan IPS LCD berbanding paparan yang hangat di pasaran seperti OLED atau AMOLED, paparan ini bersesuaian dengan motif penggunaan harian di bawah cahaya matahari yang terang.

    Paparan IPS LCD 6.59 inci ini beresolusi 1080 x 2340 piksel dengan nisbah skrin ke badan peranti 84.7%. Paparan LCD yang agak besar ini memberi pengalaman tontonan dan gaming yang agak memuaskan. Tidak terlalu kecil dan tidak terlalu besar untuk tontonan.

    Reka bentuk hadapan yang tampil kemas tanpa takuk (notch) dan skrin berlubang (punch hole)
    Butang kelantangan (volume) dan butang power pada sisi peranti
    Gril pembesar suara mono dan bicu audio 3.5mm secukup rasa
    Slot Hibrid dwi-SIM (kad mikroSD juga boleh dimuatkan di sini)
    Sensor cap jari dan 3 kamera utama di bahagian belakang peranti
    Pandangan di bahagian belakang seperti cermin yang mencerminkan hatimu

    Reka bentuk belakang pula merupakan salah satu ciri yang membuatkan peranti ini tampak bergaya. Peranti dengan kaca pada bahagian belakang dan hadapan sememangnya menambah gaya yang menarik. Ditambah dengan posisi kamera dan sensor nyahkunci cap jari (fingerprint unlock) yang ditempatkan di panel belakang, peranti kelihatan kemas walaupun tanpa sarung telefon. Walau bagaimanapun, anda disarankan menggunakan sarung telefon dek kerana badan peranti yang berkaca.

    Ciri dan Spesifikasi Teknologi

    Pertama sekali, ketepikan kebimbangan anda terhadap isu Google kerana peranti ini hadir dengan servis Google seperti Google Playstore dan lain-lain. HONOR 9X telah diwar-warkan dengan spesifikasi yang agak baik, terutama untuk pengguna yang gemar akan gaming dan fotografi.

    Cipset HiSilicon Kirin 710F yang berprestasi baik memberi pengalaman gaming yang memuaskan. Anda dilarang sama sekali membandingkan pengalaman gaming peranti ini dengan peranti flagship gaming yang lain kerana ianya tidak adil.

    RAM 6GB dan storan 128GB merupakan satu kelebihan untuk pengguna masa kini. Pengguna dapat mengakses pelbagai aplikasi, menyimpan data rakaman gambar dan memuat turun game. Penambahan kad mikroSD pada slot yang dikongsi bersama slot dwi-SIM juga bernilai sebagai pengukuhan bukti reputasi HONOR 9X yang baik.

    Senarai spesifikasi HONOR 9X adalah seperti dibawah:

    • Cipset HiSilicon Kirin 710F (12nm)
    • RAM 6GBHibrid Dwi-SIM Storan 128GB (boleh diperluaskan sehingga 512GB melalui kad mikroSD)
    • Paparan IPS LCD 6.59 inci3
    • Kamera Belakang (48MP f/1.8 [lensa lebar] + 8MP f/2.4 [ultra-lebar] + 2MP f/2.4 [sensor kedalaman])
    • Kamera Hadapan Pop-Up 16MP f/2.2
    • Dengan Sensor Cap Jari (di belakang peranti)
    • Bicu audio 3.5mm
    • EMUI 9.1 berasaskan Android Pie 9
    • Bateri 4000 mAh
    Servis dari Google Mobile Service

    Beralih kepada kamera, peranti ini dilengkapi dengan 3 kamera utama (48MP f/1.8 [lebar] + 8MP f/2.4 [ultra-lebar] + 2MP f/2.4 [sensor depth]) dan satu kamera hadapan pop-up 16MP f/2.2 untuk fungsi selfie. Dengan penambahan teknologi AI, rakaman video dan sesi fotografi menjadi lebih menarik!

    Anda juga boleh mendapat pencahayaan tambahan dengan flash pada kamera belakang dan pencahayaan melalui skrin untuk selfie. Kamera pop-up pada peranti ini turut membuatkan peranti ini bersifat sedikit futuristik. Anda boleh lihat gambar yang dihasilkan oleh kamera ini selepas ini.

    Kamera pop-up futuristik (anda juga boleh lihat ikon AI yang melambangkan kamera yang dilengkapi sistem teknologi AI)

    Prestasi – Peranti harian yang berprestasi baik, seimbang untuk segalanya

    Walaupun HONOR 9X mendapat mata yang agak rendah dalam kalangan peranti kelas pertengahan, tetapi prestasinya sudah memadai hanya untuk penggunaan kasual seharian. Skor 184545 dalam AnTuTu sememangnya tidak melebihi tahap skor tinggi untuk peranti tahap pertengahan.

    Namun, skor sebegini sudah terbiasa kelihatan jika ujian penanda aras terhadap peranti bukan flagship yang menggunakan cipset Kirin dijalankan melalui AnTuTu. Pada satu sisi yang lain, perlu diingatkan bahawa peranti ini memfokuskan prestasi untuk penggunaan harian sahaja.

    Markah di 3DMark

    Selain itu, ujian melalui 3DMark dijalankan dengan mengakses melalui Sling Shot biasa. Hal ini kerana skor pada AnTuTu yang memadai untuk ujian Sling Shot biasa sahaja. Agak tidak adil untuk kita membandingkan peranti ini dengan peranti flagship atau peranti kelas pertengahan tinggi yang lain.

    Untuk penjelasan prestasi yang lebih jelas, beberapa game telah dimainkan melalui HONOR 9X. Sesi gaming didapati berjalan dengan lancar menggunakan tetapan default. Tetapan default pada game PUBG menggunakan tetapan grafik balanced dan kadar frame medium. Kami juga telah mencuba menukar tetapan grafik HD dan kadar frame tinggi. Hasilnya agak mengejutkan di mana game masih boleh dimainkan, tetapi kurang memuaskan kerana frame yang tinggi seperti tidak konsisten sokongannya.

    Tetapan default pada PUBG
    Ciri ultra-HD bakal dikemas kini
    Grafik HD dan kadar frame tinggi pada game PUBG
    Tetapan pada COD Mobile untuk kelancaran gaming

    Sesi gaming yang berterusan selama setengah jam boleh memanaskan peranti walaupun dengan tetapan grafik dan kadar frame rendah. Namun, pemanasan ini beralih kepada suhu biasa dengan agak pantas jika anda meninggalkan peranti untuk menyejuk seketika tanpa apa-apa penggunaan.

    Bagi rangkaian WiFi, data selular dan panggilan telefon ke semua rangkaian, prestasi berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan. Pengalaman penatalan (scrolling) pada laman media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram juga lancar tanpa lag. Sememangnya, penggunaan biasa menampakkan peranti ini berprestasi.

    Dilengkapi dengan bateri 4000 mAh, sekali pandang anda semestinya fikir jangka hayat bateri akan berkurang dengan pantas. Kelemahannya di sini adalah ianya tidak dibekalkan dengan pengecas pantas. Namun, jangka hayat bateri ini agak memuaskan untuk penggunaan harian. Dengan pengaktifan data selular, GPS (juga menggunakan aplikasi Waze selama hampir 2 jam), sesi gaming yang ringan, membuat panggilan, menggunakan laman media sosial dan mengambil gambar, peranti ini masih boleh bertahan dengan baik sehingga ke malam hari.

    Tanpa penggunaan aplikasi yang berterusan, jangka hayat bateri juga boleh bertahan sehingga 2 hari (purata penggunaan skrin selama 5 jam sehari dengan menggunakan sambungan WiFi). Oleh itu, walaupun tanpa pengecas pantas, jika anda hanya menggunakan peranti untuk penggunaan biasa, prestasi peranti ini sudah memadai.

    Beralih kepada kekuatan prestasi peranti yang sebenar, aspek fotografi adalah antara yang utama. Anda jangan cuba memandang peranti bergaya ini dengan sebelah mata kerana prestasi fotografinya hampir dengan prestasi fotografi peranti flagship. Namun, anda akan diberi notifikasi pada antaramuka (interface) kamera untuk tidak mengalih posisi semasa sedang mengambil gambar untuk gambar yang lebih jelas dan teliti.

    Melaraskan kejelasan gambar
    Lensa biasa
    Lensa lebar (kualiti gambar sememangnya terjejas tetapi tidak ketara)
    Menggunakan pencahayaan luar
    Kepelbagaian warna yang jelas melalui kamera utama
    Kehebatan kamera utama 48MP HONOR 9X
    Mod biasa tanpa zum
    Menggunakan zum 6x, warna masih jelas berbanding butiran gambar yang agak mula menunjukkan kelemahannya
    Tangkapan jarak dekat (close-up), kamera utama mengesan objek tumbuhan melalui sistem AI
    Selfie menggunakan kamera pop-up tanpa mod beauty
    Gambar dengan pencahayaan bilik
    Gambar menggunakan pencahayaan dalam bangunan
    Dengan mod malam, objek bercahaya tidak kabur
    Tanpa mod malam, objek bercahaya agak terlalu terang dan kabur
    Selfie menggunakan kamera pop-up hadapan (dengan pencahayaan skrin sahaja)

    Rakaman dan tangkapan gambar pada waktu malam juga tidak mendatangkan sebarang masalah kerana mod malam berfungsi dengan baik. Namun, pastikan anda menggunakan lensa lebar hanya dalam keadaan pencahayaan yang baik. Pergerakan dalam rakaman video yang agak kurang lancar juga diharapkan agar dapat diperbaiki untuk masa akan datang.

    HONOR 9X juga hadir dengan fungsi kamera lain seperti ciri Pro untuk pelarasan ISO dan sebagainya (pastikan anda mahir). Ciri HDR dan gambar bergerak yang boleh diaktifkan, filter gambar dan panorama turut hadir di dalam peranti ini. Anda boleh tampil kreatif dengan menggunakan ciri light painting, tetapi agak mengelirukan cara penggunaannya. Wajah kusam mengganggu prestasi? Kini tidak lagi dengan mod beauty dalam mod potret yang boleh dilaraskan mengikut kesukaan anda. Tidak lupa juga kepada tahap apertur yang boleh dilaraskan.

    Rakaman video turut menampilkan ciri slow-mo yang hadir dengan 4x (120 fps) dan 16x (480 fps). Anda boleh lihat rakaman di bawah selepas ini. Ciri time-lapse boleh menggunakan lensa lebar kamera utama, namun tidak untuk ciri slow-mo. Kekurangannya adalah tahap pengesanan objek bergerak semasa rakaman ciri slow-mo yang agak perlahan. Namun, ia berfungsi agak baik jika anda merakam objek bergerak pada pencahayaan luar.

    Slow-mo dengan 4x (120fps)
    Slow-mo dengan 6x (480 fps)

    Kesimpulan – Harga berpatutan untuk peranti kasual yang berprestasi seimbang

    Secara keseluruhannya, dengan ciri tambahan seperti fotografi yang memuaskan dan servis penuh dari Google, peranti ini sememangnya pilihan tepat jika anda mencari peranti yang memudahkan urusan harian anda. HONOR 9X hadir dengan harga agak mampu milik, anda seharusnya menjangkakan apa yang sepatutnya anda dapat dengan harga sedemikian.

    Jika anda ingin melihat kembar tidak serupa HONOR 9X, anda boleh melihat Huawei Y9s yang dikuasai cipset Kirin 710 sama seperti HONOR 9X. Hampir tiada yang berbeza. Harga juga memaparkan julat harga yang sama. Pilihan di tangan anda. Jika anda ingin memiliki peranti flagship, ini bukan tempatnya, tetapi jika anda mencari calon untuk peranti kasual, inilah dia.

    Kepada pengguna HONOR, HONOR 9X turut menawarkan tawaran hebat sehingga 5 Januari 2020, potongan sebanyak RM357 untuk pembelian HONOR 9X jika anda menukar beli peranti HONOR lama anda. HONOR 9X juga hadir dengan versi Pro. Bandingkan spesifikasi dan harga disini. Terkini, HONOR melancarkan HONOR 9X dengan kolaborasi bersama Stoned & Co, HONOR X Stoned. Kunjungi laman sesawang rasmi HONOR untuk tawaran lebih menarik dan maklumat lebih lanjut!

    Apa yang anda suka pada HONOR 9X? Beritahu kami di laman Facebook dan teruskan membaca ulasan peranti lain bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia.

     

    Artikel Terkini

    HONOR X7b 5G dilancar di Malaysia: Dimensity 6020, bateri 6,000mAh & kamera 108MP berharga...

    Memperkenalkan HONOR X7b 5G, telefon pintar yang berkuasa yang mentakrifkan semula prestasi mudah alih dan fotografi. Ia dilengkapi dengan RAM 16GB dan...

    nubia Neo 2 5G dilancar di Malaysia: Tampilkan ‘Dual Gaming Shoulder Triggers’ berharga RM999

    Siri nubia Neo melancarkan peranti andalan terbaharunya, nubia Neo 2 5G yang dicipta untuk memenuhi keperluan pemain kasual dan peminat dengan mengutamakan...

    TIME naik taraf Pakej MyKabel 100Mbps kepada 200Mbps, harga kekal pada RM69/bulan

    Awal bulan ini, TIME memberikan peningkatan Speed Boost secara percuma kepada beberapa pelanggan yang layak. Kini, terdapat satu lagi peningkatan baru dan...

    Fahmi Fadzil: Kanak-kanak bawah 13 tahun tidak patut miliki akaun media sosial

    Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ibu bapa harus memastikan anak-anak mereka yang berumur 13 tahun ke bawah tidak memiliki sebarang akaun media...

    Kerajaan akan buat pengumuman penting tentang 5G pada hujung April atau awal Mei 2024

    Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kerajaan akan membuat beberapa pengumuman penting mengenai rangkaian 5G pada hujung bulan ini atau awal bulan Mei....

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X