‘Game’ eksklusif PlayStation 5 yang hampir sempurna! – Ulasan Ratchet & Clank: Rift Apart

Sehingga kini, konsol PlayStation 5 masih lagi susah untuk didapati walaupun ianya sudah pun dilancarkan lebih dari 6 bulan. Sungguh pun begitu, jika anda berjaya untuk mendapatkan PlayStation 5, anda pasti akan memikirkan mengenai game pertama yang patut dibeli lebih-lebih lagi apabila pilihan game eksklusif PlayStation 5 masih lagi terhad.

Jadi, saya berpeluang untuk bermain sebuah game eksklusif PlayStation 5 (tiada pada PlayStation 4) iaitu Ratchet & Clank: Rift Apart untuk beberapa minggu. Secara ringkas, saya boleh simpulkan bahawa ia adalah sebuah game next-gen yang patut diberi pujian. Tanpa buang masa, mari lihat ulasan mengenai game yang seronok ini!

Reka bentuk ‘Game’ – Grafik generasi baru seakan filem ‘Pixar’

Dengan kebolehan PlayStation 5, Rift Apart berjaya untuk menjadi sebuah game yang sangat menawan. Saya merasakan bahawa game ini mempunyai grafik yang paling cantik yang pernah saya main setakat ini (saya sudah bermain lebih 20 game bertaraf AAA). Grafik game ini adalah setaraf dengan filem ‘Pixar’ seperti Inside Out dan lain-lain. Bukan itu sahaja, karakter di dalam game ini juga sangat menghiburkan dan hadir dengan butiran yang sangat banyak.

Satu ciri yang membuatkan Rift Apart sebuah game generasi baru adalah penggunaan ray-tracing. Jika ray-tracing diaktifkan, anda akan dapat lihat refleksi cermin pada lantai, tingkap, badan Clank dan apa-apa yang memantulkan cahaya. Ini menjadikan karakter dan objek lebih menonjol, seterusnya menjadikan game Rift Apart lebih dekat dengan realiti.

Selain dari itu, pencahayaan di dalam game ini juga cukup sempurna dengan pembiasan cahaya dan bayang-bayang yang tepat. Konsep Depth of field juga sering kali digunakan untuk menambahkan ‘cinematic feel‘ game ini.

Yang sudah pasti, dengan kebolehan grafik dan storan SSD PlayStation 5, loading time dan rendering time kini lebih singkat. Sepanjang saya bermain game ini, masa yang paling lama perlu saya tunggu adalah tidak lebih dari 2 saat. Penukaran dimensi atau senario adalah sangat pantas tanpa sebarang sela masa (lag).

Untuk tetapan grafik, game ini mempunyai 3 pilihan iaitu mod Fidelity, mod Performance dan mod Performance RT. Saya memilih mod Fidelity kerana ia dapat menunjukkan resolusi setinggi 4K dengan kadar bingkai 30fps bersama ciri ray-tracing. Jika anda sudah puas hati dengan resolusi 1080P dan inginkan kadar bingkai sehingga 60fps, anda boleh memilih mod Performance. Mod Performance RT pula adalah mod Performance dengan tambahan ciri ray-tracing.

Mekanik ‘Game’ – Kini lebih seronok dengan ‘controller’ Dualsense

Seperti game Ratchet & Clank sebelum ini, Rift Apart juga menggunakan konsep yang hampir sama. Game ini berasaskan cerita dimana karakter utama sedang dalam misi untuk menyelamatkan dunia mereka. Selain misi utama, terdapat juga beberapa misi sampingan yang anda boleh lakukan. Game ini dimainkan secara seorang diri dari sudut ketiga (3rd person view singleplayer) tanpa memerlukan sambungan internet.

Jika anda pernah bermain game Ratchet & Clank, anda pasti tahu mengenai senjata-senjata unik dan ‘quirky’ yang siri ini tawarkan. Hal ini adalah sama dengan Rift Apart. Setiap senjata mempunyai kelebihan masing-masing dan sesuai untuk jenis musuh yang tertentu. Terdapat lebih dari 15 pilihan senjata, jadi anda tidak akan bosan dan akan sentiasa ‘sibuk’ menukar senjata ketika sedang beraksi.

Pilihan senjata
Butiran senjata
‘Upgrade’ senjata

Yang lebih mengagumkan adalah kebolehan controller Dualsense di dalam game ini. Setiap senjata akan mempunyai maklum balas haptik yang berbeza. Anda akan dapat rasa perbezaan tekanan pada controller sewaktu menembak senapang patah (shotgun) berbanding menembak pistol. Bukan senjata sahaja, setiap pergerakan, loncatan dan musik di dalam game juga memberikan maklum balas haptik berbeza pada controller. Ini sememangnya adalah kehebatan game generasi baru.

Rift Apart juga membolehkan anda menukar imej Ratchet dan karakter baru Rivet. Anda boleh menukar topi keledar, perisai badan dan juga kasutnya. Terdapat banyak pilihan menarik dengan warna dan fungsi yang pelbagai.

Ubah suai imej Rivet

Sepanjang bermain game ini, anda pasti akan memecahkan ratusan kotak dan mengalahkan ratusan musuh. Setiap kali anda membuat demikian, anda akan mendapat duit yang kemudiannya boleh digunakan untuk membeli senjata baru di kedai. Anda juga boleh menambah baik (upgrade) senjata dengan menggunakan ‘Raritanium’ yang diperolehi di dalam game ini.

‘Gameplay’ yang cukup memuaskan

Jika anda ingin melepaskan stress ketika bermain game, Rift Apart adalah game yang sesuai kerana anda akan bertemu dengan musuh yang ramai pada sesuatu masa. Ini adalah konsep yang sama seperti sebelum ini dan ianya sangat seronok untuk bermain.

Setiap kali musuh datang, ia akan datang beramai-ramai dengan jenis yang pelbagai. Ada musuh yang terbang, ada yang menembak dari jauh dan ada juga yang menumbuk dari jarak dekat. Dengan musuh yang berbeza-beza ini, anda akan sering kali mengubah senjata anda mengikut kesesuaian.

Jika anda memilih tahap kesukaran yang tinggi seperti saya, anda pasti akan merasakan ‘adrenaline rush’ terutamanya jika anda sedang melawan ketua musuh dengan nyawa yang sangat kurang.

Namun, jangan risau jika anda tidak mahir menembak kerana anda boleh memilih tahap kesukaran yang rendah. Tambahan lagi, setiap kali anda mati, anda akan hidup semula dengan peluru dan nyawa yang penuh.

Jalan cerita game ini juga cukup menarik dan tidak membosankan. Rift Apart menceritakan sebuah kisah yang penuh dengan emosi (termasuk lawak hambar) dan juga menyentuh sedikit mengenai kesihatan mental secara langsung dan tidak langsung. Yang lebih menyeronokkan, anda dapat rasakan setiap karakter di dalam game ini sangat unik dan disuarakan oleh pelakon suara yang berbakat.

Karakter antagonis yang tidak mengecewakan

Namun begitu, terdapat sedikit kekurangan yang perlu saya beritahu, iaitu konsep yang berulangan. Ya, ia hampir mustahil untuk sebuah game menawarkan perkara yang baru sepanjang masa, tetapi bagi pendapat saya, Rift Apart sering kali menggunakan konsep yang sama. Contohnya, melawan ketua musuh yang serupa dan juga melakukan larian di atas laluan yang hampir sama.

Kesimpulan – Sebuah game ‘next-gen’ yang seronok!

Jadi, secara menyeluruh, Ratchet & Clank: Rift Apart adalah sebuah game yang patut anda perhatikan jika anda telah membeli konsol PlayStation 5. Dari grafik ke loading time ke controller, ia sememangnya adalah sebuah game next-gen direka khas untuk konsol next-gen.

Jika saya ingin berikan markah, saya akan berikan 9/10. Ianya hampir sempurna dengan sedikit kelemahan yang saya sudah sebutkan tadi. Satu perkara lagi, jika anda pernah bermain game Spiderman, anda akan mendapat feeling game yang serupa kerana ia dihasilkan oleh syarikat permainan video yang sama.

Kelebihan – Grafik game yang sangat cantik, jalan cerita yang bagus dengan karakter yang menghiburkan

Kelemahan – Senario perlawanan dan larian yang berulangan

Konklusi – Sebuah game eksklusif PlayStation 5 yang seronok untuk dimain

Jadi, adakah anda ingin membeli game ini? Atau masih lagi menunggu ketibaan PlayStation 5? Berikan komen anda di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk ulasan game terkini.