Site icon TechNave BM

Harga dan pilihan warna Xiaomi 13T, 13T Pro tertiris sebelum dilancarkan

Telefon pintar Xiaomi 13T dan 13T Pro akan dilancarkan secara global pada 26 September di Berlin. Walaupun masih ada dua minggu lagi untuk pelancaran, butiran mengenai telefon Xiaomi akan datang telah tertiris. Kini, maklumat baharu mengandungi beberapa imej siri Xiaomi 13T bersama-sama dengan harga Eropah bagi kedua-dua telefon tersebut. 

Imej baharu menunjukkan Xiaomi 13T dan 13T Pro hadir dalam tiga pilihan warna iaitu hitam, hijau muda dan biru muda dengan kemasan kulit pada bahagian belakang. Kedua-dua telefon juga mempunyai reka bentuk yang sama dengan paparan rata lubang tebuk dan tiga kamera belakang talaan Leica. 

Menurut sumber, Xiaomi 13T dengan RAM 8GB dan storan 256GB akan dijual pada harga 699 Euro (~RM3,510). Harga Xiaomi 13T Pro pula dilaporkan akan bermula pada 899 Euro (~RM4,515) untuk model asas dengan RAM 12GB dan storan 512GB. 

Namun perlu diingatkan bahawa ini bukan harga rasmi dan jika harga yang dilancarkan sama, ia akan berbeza bergantung pada pasaran. Buat masa ini, Xiaomi hanya mengesahkan penggunaan kamera daripada Leica dan siri Xiaomi 13T akan menerima empat kemas kini OS Android dan lima tahun kemas kini keselamatan. 

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini. 

Sumber: Appuals

Exit mobile version