Site icon TechNave BM

HONOR 60 muncul di GeekBench, dilengkapi cipset SD 778G+ dan RAM 12GB

Siri HONOR 60 dijadualkan bakal diumum pada 1 Disember ini dan iklan rasmi untuk peranti itu sudah pun didedahkan. Ia memiliki reka bentuk yang hampir sama dengan imej janaan yang tertiris sebelum ini. HONOR 60 dan HONOR 60 Pro dilihat hampir sama dalam reka bentuk dan ukuran.

HONOR TNA-AN00 dikesan mempunyai mata ujian yang berbeza-beza. Penyenaraian di dalam GeekBench juga terdapat perbezaan daripada segi perkakasan. Namun, terdapat persamaan daripada segi spesifikasi yang telah didedahkan sebelum ini (berita tertiris). Berkemungkinan HONOR 60 dan 60 Pro kedua-duanya akan menggunakan cipset Qualcomm SM7325 yang merupakan nombor model untuk Snapdragon 778G dan 778G+.

Memandangkan teras utama dalam ujian GeekBench ini mencecah kadar melebihi 2.5 GHz, adalah selamat untuk mengandaikan bahawa ianya menggunakan cipset 778G+, RAM 12GB dan Android 11. Mengikut spesifikasi, HONOR 60 varian standard dan Pro akan dilengkapi panel FHD+ OLED tetapi saiz dan cirinya mungkin tidak sama.

Varian standard mungkin memiliki skrin rata manakala varian Pro mungkin menggunakan skrin jenis melengkung. Kedua-duanya akan datang dengan kamera swafoto 50MP dan kamera utama 108MP. Beberapa spesifikasi lain yang dikhaskan untuk varian Pro ialah kadar penyegaran semula 120Hz serta pengecasan 66W.

Ini hanyalah maklumat yang tertiris dan kami masih tidak mempunyai maklumat yang jelas tentang perbezaan model standard dan Pro. Sama-sama kita nantikan 1 Disember ini.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan HONOR 60 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: GSMArena

Exit mobile version