Site icon TechNave BM

HONOR akan lancarkan telefon lipat gaya “flip” pada 2024

Seorang eksekutif HONOR mengesahkan bahawa syarikat elektronik China itu akan menghasilkan telefon pintar lipat dengan reka bentuk flip pada 2024. Perkara tersebut disahkan dalam sebuah mesyuarat dengan pihak media di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu.

Presiden HONOR Timur Tengah dan Afrika (MEA), Daniel Wang, mengadakan pertemuan bersama media itu selepas melancarkan HONOR 90 untuk pasaran MEA. Beliau mengatakan HONOR akan melancarkan telefon pintar lipat berbentuk flip pada tahun hadapan, dan Afrika Selatan bakal menjadi salah satu daripada negara yang menerimanya.

Sungguh pun begitu, beliau tidak memberi maklumat lanjut mengenai peranti lipat flip itu. Beliau sekadar mengesahkan bahawa HONOR Magic V2 akan dipaparkan untuk pasaran antarabangsa dalam acara Mobile World Congress pada tahun hadapan.

Reka bentuk flip bermaksud telefon itu akan mempunyai garisan lipat yang mendatar dan membuatkannya nampak seperti telefon lipat pada awal 2000-an. Contoh telefon flip adalah Samsung Galaxy Z Flip5, OPPO Find N2 Flip dan Motorola Razr.

Setakat ini, semua telefon lipat yang dilancarkan oleh HONOR mempunyai bentuk fold, iaitu garisan lipatan yang menegak. Ini termasuklah untuk HONOR Magic V, HONOR Magic Vs dan HONOR Magic V2.

Jika HONOR mengikuti perancangan ini, ia bakal menjadi syarikat terbaru yang menawarkan telefon lipat flip selepas Samsung, Motorola dan OPPO. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon flip HONOR dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Reframed

Exit mobile version