Ramai pelajar di Malaysia kini pasti sedang menanti peranti percuma daripada inisiatif PerantiSiswa bagi memudahkan pembelajaran mereka. Walau bagaimanapun, anda perlu berwaspada terhadap sebarang laman web palsu yang mengambil kesempatan di atas inisiatif ini.
Terbaru, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) telah menafikan kesahihan sebuah laman web untuk semak kelayakan dan permohonan PerantiSiswa. Laman web tersebut adalah https://www.sistemguruonline.my/2022/04/permohonan-laptop-tablet-1.htm.
Ketua Setiausaha K-KOMM, Datuk Seri Mohammad Mentek, berkata laman web tersebut adalah laman web persendirian dan bukannya saluran rasmi daripada kerajaan. Beliau mengingatkan bahawa laman web rasmi PerantiSiswa hanya akan beroperasi mulai 15 April 2022.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap maklumat yang tular di media sosial dan buat semakan menyeluruh menggunakan sumber rasmi untuk maklumat yang tepat.
Sebelum ini, menteri K-KOMM Tan Sri Annuar Musa telah berkongsi rupa peranti yang akan diterima daripada program PerantiSiswa. Ia disahkan bakal mempunyai skrin 10 inci dan RAM 4GB.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: BERNAMA

