Site icon TechNave BM

Nothing OS 3.0 versi stabil kini dilancarkan kepada pengguna

Nothing telah memulakan ujian beta untuk kemaskini Nothing OS 3.0 berdasarkan Android 15 sejak Oktober dan kini, syarikat tersebut akhirnya melancarkan versi stabil kepada pengguna. Kemaskini ini sedang dilancarkan secara berperingkat kepada pengguna Nothing Phone (2) dan Nothing Phone (2a).

Proses penerimaan ini dijangka mengambil masa beberapa hari sebelum semua peranti menerima kemas kini. Malah, Nothing menyatakan bahawa pelancaran penuh mungkin hanya selesai menjelang akhir tahun ini.

Jika anda menggunakan salah satu daripada dua telefon pintar ini dan belum menerima notifikasi kemaskini, anda boleh menyemak secara manual di Tetapan > Kemaskini Sistem. Nothing OS 3.0 turut memperkenalkan beberapa ciri baharu termasuk aplikasi asli Nothing Gallery yang kini dilengkapi fungsi carian lanjutan dan alat penyuntingan yang diperluas.

Reka bentuk skrin kunci juga telah diperbaharui dan kini boleh disesuaikan sepenuhnya termasuk dengan Shared Widgets yang membolehkan interaksi bersama rakan dan keluarga. Selain itu, terdapat Countdown Widget baharu manakala Smart Drawer berasaskan AI secara automatik mengkategorikan aplikasi ke dalam folder.

Pengguna juga boleh menikmati Quick Settings yang ditambah baik, fungsi Pop-up View yang lebih lancar, tipografi baharu di seluruh sistem operasi serta beberapa peningkatan visual dan prestasi. Kemaskini ini dijadualkan tiba untuk Nothing Phone (1), Nothing Phone (2a) Plus, dan CMF Phone 1 pada awal tahun 2025.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Nothing

Exit mobile version