Site icon TechNave BM

Nothing Phone (2a) mungkin akan dilancar sebagai telefon kelas pertengahan, dilengkapi Dimensity 7200

Pada waktu ini, Nothing telah melancarkan dua buah telefon pintar iaitu Nothing Phone (1) dan Nothing Phone (2), kedua-duanya telefon yang boleh dikatakan dalam kategori pertengahan atas (upper mid-range) jika dilihat pada cipset dan spesifikasinya. Kini Nothing dikhabar akan melancarkan sebuah telefon kelas pertengahan untuk peranti seterusnya iaitu Nothing Phone (2a).

Telefon ini dijangka akan menggunakan cipset MediaTek Dimensity 7200. Jika benar, ini akan menjadikan Phone (2a) sebagai telefon Nothing pertama yang menggunakan cipset oleh MediaTek.

Selain itu, rekaannya juga telah tertiris di mana ia menunjukkan bonggol kamera yang mendatar, manakala corak lampu LED Glyph Interface pula terdiri daripada tiga lampu di sekeliling bonggol kamera. Nampaknya untuk model kelas pertengahan ini, Nothing masih mengekalkan Glyph Interface yang sinonim dengan telefon mereka, namun jumlahnya lebih sedikit jika dibandingkan dengan Nothing Phone (2).

Rekaan belakang Nothing Phone (2a) yang tertiris

Reka bentuk daripada unit pengilangan awalnya (product validation test, PVT) juga sudah tertiris, di mana ia menujukkan rekaannya secara ringkas. Unit PVT selalunya memang lebih besar berbanding model sebenar, namun ia sudah menampakkan bonggol kamera yang mendatar.

Skrin pada unit PVT itu menunjukkan spesifikasi Nothing Phone (2a) yang mempunyai RAM 8GB, storan dalaman 128GB, skrin AMOLED 6.7 inci, sistem operasi Android 14 dengan antara muka Nothing OS 2.5, dwi-kamera belakang 50MP+50MP dan kamera swafoto 16MP. Ia memaparkan kapasiti bateri 1,000mAh, namun itu mungkin satu kesilapan pada perisiannya.

Unit PVT untuk Nothing Phone (2a)

Nothing Phone (2a) dijangka akan dilancarkan dalam acara Mobile World Congress (MWC) 2024 bersama Nothing Phone (3). Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Twitter, Twitter

Exit mobile version