Site icon TechNave BM

Nothing sahkan kewujudan Nothing Phone (2a) sebagai telefon pertama 2024

Nothing mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan Nothing Phone (2a) sebagai telefon pintar yang terbaru selepas Nothing Phone (2) diperkenalkan pada tahun lepas.

Nothing masih belum berkongsi sebarang maklumat mengenai reka bentuk atau spesifikasi telefon tersebut, namun syarikat teknologi itu mengatakan Phone (2a) akan menyediakan pengalaman telefon pintar harian yang optimal dan mengutamakan fungsi-fungsi teras. Phone (2a) akan mempunyai beberapa ciri-ciri daripada Phone (2), sambil memastikan bahawa ia adalah lebih canggih daripada Nothing Phone (1).

Khabar angin tentang Phone (2a) telah pun mula tersebar sejak Disember tahun lalu, di mana beberapa gambar awal dan spesifikasinya telah pun tertiris. Berdasarkan gambar yang telah tertiris, rekaannya menunjukkan bonggol kamera yang mendatar, manakala corak lampu LED Glyph Interface pula terdiri daripada tiga lampu di sekeliling bonggol kamera.

Rekaan belakang Nothing Phone (2a) yang tertiris

Spesifikasi yang telah tertiris termasuklah cipset MediaTek Dimensity 7200, RAM 8GB, storan dalaman 128GB, skrin AMOLED 6.7 inci, sistem operasi Android 14 dengan antara muka Nothing OS 2.5, dwi-kamera belakang 50MP+50MP dan kamera swafoto 16MP.

Nothing Phone (2a) dijangka akan diperkenalkan dalam acara Mobile World Congress (MWC) 2024 yang akan berlangsung pada 27 Februari di Barcelona, Sepanyol. Syarikat itu telah pun mengesahkan kehadirannya dalam MWC.

Selain Nothing Phone (2a), Nothing turut mengumumkan alat pembangunan Glyph Developer Kit yang membenarkan pembina aplikasi dalam platform Android untuk memanfaatkan kawalan lampu Glyph Interface di belakang telefon-telefon Nothing.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan Nothing Phone (2a) dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version