Site icon TechNave BM

Rekaan OnePlus 13 tertiris, tiada banyak perubahan daripada OnePlus 12

OnePlus bakal melancarkan telefon pintar andalan (flagship) seterusnya, OnePlus 13, pada bulan ini dan ia mungkin akan dilengkapi cipset andalan terbaru oleh Qualcomm. Kini OnePlus telah memuat naik sebuah poster acahan (teaser) untuk OnePlus 13 yang menunjukkan bahawa ia tidak banyak berbeza dengan OnePlus 12 sebelum ini.

Poster acahan itu sepadan dengan beberapa gambar awal yang telah tertiris dan menunjukkan rekaan telefon itu sepenuhnya. Telefon itu mempunyai bonggol kamera berbentuk bulat yang didekatkan pada bahagian sisi kanan, dan menempatkan tiga lensa serta lampu denyar LED.

Poster acahan rasmi daripada OnePlus
Gambar OnePlus 13 yang tertiris
Sudut yang lebih dekat pada bonggol kameranya

Sungguh pun begitu, bonggol kamera kini tidak lagi dicantumkan dengan rangka telefon di bahagian sisi. OnePlus 13 masih mempunyai teknologi fotografi Hasselblad seperti OnePlus 12, namun kini logo Hasselblad tidak lagi terletak pada atas bonggol kamera, sebaliknya ia dipindahkan ke bahagian luar bonggol kamera.

Spesifikasi yang sudah tertiris mengenai telefon ini termasuklah kameranya yang terdiri daripada sensor kamera utama Sony LYT808 50MP, kamera ultra-lebar dengan sensor Samsung JN5 50MP dan kamera periskop telefoto dengan sensor Sony LYT600 yang boleh zum optikal sejauh 3x. Di hadapan pula terdapat kamera swafoto 16MP.

Spesifikasi lain yang dikhabarkan termasuklah bateri 6,000mAh, pengecasan pantas 100W, pengecasan wayarles 50W, raring kalis air IP69 dan skrin BOE X2 LTPO 120Hz. Baru-baru ini, markah penanda aras OnePlus 13 dengan nombor model CPH2653 telah didedahkan dalam Geekbench, dengan markah yang agak tinggi untuk prestasi teras tunggal dan multi-teras.

Markah Geekbench untuk OnePlus 13

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version