Site icon TechNave BM

Selepas OPPO, vivo juga akan menawarkan telefon dengan sokongan 5.5G pada tahun ini

Selepas OPPO memperkenalkan telefon pintar pertama dengan sokongan rangkaian 5.5G, kini vivo turut mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan sebuah kemas kini bagi membenarkan penggunaan 5.5G dalam peranti andalan (flagship) mereka iaitu siri vivo X100 dan vivo X Fold3.

Fungsi tersebut akan diberikan dalam sebuah kemas kini OTA (over-the-air) bermula bulan April 2024. Apabila dihubungkan dengan rangkaian 5.5G, ia membenarkan pengguna untuk menikmati kelajuan internet lebih pantas sebanyak 300% berbanding 5G standard.

Pengurus produk vivo, Han Boxiao, turut berkongsi sebuah gambar yang menunjukkan kelajuan internet dalam sebuah vivo X100 Pro yang menyokong rangkaian 5.5G. Ia menunjukkan kelajuan muat turun 3,619.19Mbps dan kelajuan muat naik 160.75Mbps, jauh lebih laju berbanding 5G standard.

vivo X100 telah pun dilancar di Malaysia sebagai telefon pintar Android andalan pertama dalam negara ini untuk tahun 2024, dijual pada harga bermula RM3,499. vivo X Fold3 pula baru sahaja dilancar di China dan setakat ini masih tiada maklumat mengenai keberadaannya di Malaysia.

Buat masa ini, masih tidak banyak syarikat telefon yang menawarkan peranti 5.5G kerana rangkaian itu masih belum digunakan secara meluas. Di Malaysia, Maxis pernah menunjukkan demonstrasi penggunaan 5.5G namun setakat ini masih tiada perancangan untuk pengenalannya secara komersial.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Weibo

Exit mobile version