Site icon TechNave BM

Ulasan HONOR 9X Lite – Adik bongsu Lite dengan GMS, boleh tahan!

Untuk pengguna teknologi yang sudah lali dengan isu hangat industri telefon pintar, mungkin anda sudah tahu HUAWEI kini hadir dengan ekosistem HUAWEI Mobile Services (HMS). Kita sendiri sudah lama menetap dalam ekosistem Google Mobile Services (GMS), jadi pastinya penggunaan ekosistem baru adalah janggal untuk segelintir pengguna. HONOR yang merupakan salah sebuah jenama di bawah HUAWEI tergolong dalam komuniti peranti HMS. Namun, HONOR 9X versi Lite hadir dengan GMS, sama seperti HONOR 9X, berbeza dengan saudara HONOR 9X Pro.

Gelaran ‘Lite’ yang tidak asing lagi bagi kita adalah varian peranti yang pastinya muncul dengan harga yang paling berpatutan berbanding saudara-saudaranya dalam siri yang sama. HONOR 9X Lite muncul dengan cipset Kirin 710 (prestasi lebih kurang sama seperti HONOR 9X), dimensi yang lebih ringan, tetapan dwi-kamera 48MP, RAM 4GB dan paparan 6.5-inci yang lebih kecil, bersesuaian dengan versi Lite.

Reka Bentuk – Lebih ringan tetapi dengan bonjolan

Peranti ini hadir dengan reka bentuk cermin sama seperti saudara HONOR 9X yang lain, namun dengan gradien panel belakang yang berbeza. Tampil dengan warna bergradien hijau seperti Emerald Green, ia sebenarnya tidak kelihatan seperti telefon pintar dengan harga murah. Namun, bonjolan yang menempatkan tetapan dwi-kamera utamanya agak kelihatan lebih terbonjol berbanding varian HONOR 9X yang lain. Mungkin ianya tidak menjadi masalah jika anda memakai sarung telefon yang lebih tebal atau anda sememangnya memahami trend kamera terbonjol.

Seperti yang telah dinyatakan, peranti ini seringan 175g sahaja dengan dimensi berukuran 160.4 x 76.6 x 7.8 mm. HONOR 9X Lite juga tampil dengan skrin yang bersesuaian dengan ukuran dimensi yang dinyatakan di atas. Skrin IPS LCD FullView Display 6.5-inci beresolusi 1080 x 2340 piksel ini lengkap dengan nisbah skrin-ke-badan 84.4% (masih dalam lingkungan saiz standard untuk telefon pintar moden). Varian HONOR 9X Lite ini juga tidak hadir dengan kamera pop-up, tetapi dengan kamera skrin berlubang yang menghuni paparannya dan secara peribadi, kami tidak mempunyai masalah dengan skrin berlubang sebegini.

Panel hadapan dengan rekaan skrin berlubang
Panel belakang pilihan warna Emerald Green
Sebahagian aksesori yang ada dalam kotak
HONOR 9X Lite di tangan (selesa dan ringan)
Gril pembesar suara, mikro USB dan bicu audio 3.5mm
Butang ‘volume’ dan butang ‘power’
Slot mikroSDXC
Agak terbonjol sedikit, memuatkan kamera utama 48MP + 2MP (sensor kedalaman)
Kamera skrin berlubang 16MP

Ciri dan Spesifikasi Teknologi HONOR 9X Lite

Sebelum meneruskan pembacaan, perlu anda ketahui bahawa label ‘HONOR 8X’ yang ditunjukkan pada aplikasi penanda aras 3D Mark dan aplikasi CPU-Z adalah kerana persamaan nombor model dengan HONOR 9X Lite. Walau bagaimanapun, HONOR 9X Lite hadir dengan reka bentuk panel belakang dan tetapan kamera utama yang berbeza. Anda boleh membandingan ciri teknologi dan spesifikasi kedua-dua peranti pada pautan ini.

Lebih menarik, HONOR 9X Lite hadir dengan GMS. Pengguna telefon pintar yang masih janggal dengan ekosistem HMS pasti gembira dengan kewujudan GMS. Untuk ciri teknologinya yang lain selain daripada spesifikasi asas, anda boleh mendapatkan pelbagai ciri di tetapan ‘Accessibility’. Anda juga boleh menggunakan ciri ‘Split Screen’ seperti peranti Android yang lain.

Kehadiran GMS

Prestasi – Kurang lancar, tetapi grafik baik untuk peranti bawah harga RM700

Sebelum mula mengulas mengenai soal prestasi, tidak adil untuk kita membandingkannya dengan prestasi cipset yang lebih tinggi dan mahal. Sepanjang membaca ulasan ini, anda juga perlu sentiasa mengingatkan diri anda bahawa HONOR 9X Lite adalah peranti berharga bawah RM700. Untuk itu, anda semestinya sudah dapat mengagak bahawa prestasinya bukan selancar peranti berprestasi tinggi.

Setelah mengujinya, memang benar terdapat sedikit kurang prestasi kelancaran semasa bermain game. Namun, ianya tidak mendatangkan masalah yang besar memandangkan kekurangan kelancaran hanya sedikit (mungkin mudah dikesan jika anda terbiasa bermain game dengan kelancaran yang lebih padu). Apa pun, anda perlu tahu bahawa peranti ini menyokong GPU Turbo 3.0. Jadi, kekurangan kelancaran boleh ditutupi dengan kebaikan ini.

Semasa menatal aplikasi, jika menatal dengan laju, anda pasti dapat mengesan sedikit kelewatan juga. Kami mengujinya dengan bermain game besar seperti PUBG dan COD Mobile. Namun, di sebalik prestasi kelancarannya, kami juga mendapati bahawa peranti ini tidak cepat panas! Ia masih akan panas, tetapi mengambil masa yang agak lama untuk betul-betul panas. Untuk menguatkan lagi bukti prestasi HONOR 9X Lite, kami telah mengujinya dengan aplikasi penanda aras AnTuTu dan 3DMark.

Markah AnTuTu di bawah 200,000 menandakan prestasinya adalah pada tahap peranti kelas permulaan. Apa pun, sebenarnya keputusan ini bukan satu faktor yang anda perlu pertimbangkan jika anda tidak merancang untuk sering menggunakan peranti pada tahap klimaks. Penggunaan harian secara kasual termasuk lah gaming ringan langsung tidak menjadi masalah jika anda ingin memiliki HONOR 9X Lite.

Memandangkan markah AnTuTunya di bawah 200,000, maka kami hanya menjalankan Sling Shot biasa sahaja melalui 3DMark. Sebenarnya, hasil prestasi HONOR 9X Lite yang menggunakan Kirin 710F ini mungkin agak seperti peranti yang menggunakan Snapdragon 665.

Tetapan ‘default’ dan kelihatannya ini satu-satunya tetapan PUBG pada HONOR 9X Lite. Tiada pilihan kualiti grafik lain.

Berkenaan kapasiti bateri 3750mAh, secara ringkasnya kami pernah menggunakannya bermula dengan bateri yang dicas penuh. Peranti ini mampu bertahan lebih kurang 1 hari setengah sehingga anda perlu mengecasnya kembali (penggunaan harian biasa). Keputusan ini mungkin berubah jika anda menggunakan kuasanya dengan lebih kuat. Anda juga perlu diingatkan bahawa peranti ini hadir dengan sokongan pengecasan biasa 10W.

Kami merasakan kami tidak perlu mengulas lanjut tentang GMS yang terdapat pada HONOR 9X Lite. Kenapa ianya hadir dengan GMS? Mungkin kerana ia memiliki nombor siri yang sama dengan HONOR 8X (biarlah hanya HONOR yang tahu). Berkenaan kamera, anda mungkin berpuas hati jika anda bukan seorang yang mementingkan ciri fotografi. Prestasi kameranya boleh diibaratkan memadai untuk kegunaan biasa, bukan untuk meningkatkan kemahiran fotografi melalui telefon pintar.

Kameranya hadir dengan tetapan dwi-kamera utama 48MP (lensa utama) dan 2MP (sensor kedalaman). Terima kasih HONOR kerana memberikan lensa yang penting sahaja untuk kegunaan biasa. Hal ini kerana lensa telefoto atau makro sebenarnya tidak digunakan oleh individu yang tidak mempunyai perspektif dalam fotografi, tetapi masih ingin memiliki gambar yang baik. Jadi, tetapan kameranya sudah memadai bersama tetapan kamera hadapan 16MP (sama seperti HONOR 9X, tetapi berlainan reka bentuk). Inginkah anda melihat contoh gambar yang diambil melalui HONOR 9X Lite? Telusuri gambar di bawah!

Antara muka kamera
Kamera biasa 48MP
Jarak dekat menggunakan kamera biasa 48MP + 2MP kedalaman
Setelah dizum tahap maksima (gambar sebelah kanan)
Lensa 48MP
(Mod potret) Latar belakang kabur yang agak baik dan anda boleh memilih objek untuk difokuskan
Tanpa mod malam (bandingkan dengan gambar di bawah)
Dengan mod malam (cahaya tidak berselerak seperti gambar di atas)
Mod potret kamera selfie 16MP dengan fungsi AI Beauty
Kamera selfie biasa 16MP tanpa fungsi AI Beauty
Lensa 48MP di waktu mendung (Butiran gambar yang baik)

Kesimpulan – Ingat, ini telefon berharga bawah RM700!

Kenapa diingatkan sekali lagi tentang harganya? Supaya anda tidak lari dari landasan peranti dengan harga berpatutan. Secara keseluruhannya, HONOR 9X Lite berharga RM699 boleh dibeli jika anda ingin memiliki sebuah telefon pintar berpatutan dengan spesifikasi yang memadai untuk kegunaan harian. Gaming juga tidak menjadi masalah sekiranya anda tidak menjangkakan prestasi yang mantap. Langsung tiada masalah untuk kegunaan biasa memandangkan ia juga membawa nama HONOR 9X Lite, spesifikasi dan nama yang seiring. Versi Lite ini juga lebih ringan berbanding versi HONOR 9X yang lain!

Jika anda ingin memiliki peranti lain dengan harga yang sama, anda mungkin boleh memilih Redmi Note 9 atau Redmi Note 9S. Sebagai tambahan, anda boleh memilih HONOR 9X dengan prestasi cipset yang lebih kurang sama, lengkap dengan servis GMS dengan penambahan harga yang berbeza sedikit sahaja. Jika anda mementingkan kelancaran, anda boleh memilih HONOR 9X Pro, sebuah peranti yang berfokuskan gaming dengan HMS.

Anda ada ulasan lebih untuk peranti ini? Bincangkan bersama kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk lebih banyak ulasan teknologi terkini.

Exit mobile version