fbpx
More

    Ulasan HONOR 9X Pro – Pengalaman pakai telefon gaming dengan HMS

    Jika HONOR 9X merupakan peranti kasual dengan gaya yang tersendiri, HONOR 9X Pro pula boleh dikatakan berprestasi untuk varian Pro. Setahu kami, ini adalah peranti berspesifikasi agak tinggi untuk telefon pintar kelas pertengahan dengan harga yang berpatutan (RM999).

    HONOR 9X Pro yang sepatutnya dilancarkan 19 Mac ditunda kepada tarikh pelancaran baru berikutan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan Malaysia. Kami mendapat peluang untuk merasakan sendiri pengalaman menggunakan peranti ini. Sebagai permulaan, kami sudah menjangka bahawa HONOR 9X Pro merupakan peranti dengan grafik yang baik untuk peranti gaming. Ketahui pengalaman jujur kami menggunakan HONOR 9X Pro dengan ekosistem aplikasi Huawei Mobile Services (HMS).

    Reka bentuk – Arus X dengan warna menarik

    Apa yang paling menarik adalah imbasan X pada panel belakangnya! Kami tidak tahu mengenai pilihan warna lain, tetapi warna Phantom Purple dengan bayangan X di belakang sangat memukau. Sebenarnya, pilihan warna yang ditawarkan agak sama dengan HONOR 9X iaitu Magic Night Black dan Phantom Purple.

    Mungkin peranti ini agak sedikit berat (206 g), tetapi sepadan kerana paparannya berukuran 6.59 inci. Paparan IPS LCD beresolusi 2340 x 1080 piksel ini hadir dengan nisbah skrin-ke-badan 92%. Seperti HONOR 9X, versi Pro turut hadir dengan rekaan kaca cermin di bahagian panel depan dan belakang, dikelilingi bingkai aluminium yang menambahkan unsur premium. Bezel yang nipis juga merupakan ciri reka bentuk yang disukai pada peranti ini.

    Panel belakang HONOR 9X Pro
    Sebelah kanan peranti: Sensor cap jari sisi dan butang volume
    Sebelah kiri: Kosong seperti jiwamu
    Bahagian atas: Slot mikroSDXC (berkongsi dengan slot SIM)
    Bahagian bawah peranti: Gril pembesar suara, bicu audio 3.5mm dan port USB Type-C
    Imbasan X pada panel belakang

    Ciri dan spesifikasi teknologi

    Pengguna teknologi sendiri mungkin sudah boleh membayangkan prestasi peranti yang dihuni cipset 7nm HiSilicon Kirin 810 bersama RAM 6GB dan storan sebesar 256GB (akan diulas pada perkara yang seterusnya). Apa yang dinyatakan adalah antara spesifikasi-spesifikasi yang paling menonjol pada HONOR 9X Pro.

    Spesifikasi lain pula adalah lebih kurang sama dengan peranti lain di pasaran teknologi kini. Namun, apa yang menggembirakan adalah HONOR tidak cuba untuk menghanyutkan kewujudan bicu audio 3.5mm ke lautan sepi. Sebenarnya, kelainan di antara HONOR 9X dan versi Pro ini adalah pada cipset, GPU, kedudukan sensor cap jari dan storan dalaman. Tanpa berlengah lagi, semak ringkasan spesifikasi di bawah yang telah disenaraikan untuk kemudahan anda.

    • Cipset HiSilicon Kirin 810 (7nm)
    • GPU Turbo 3.0
    • RAM 6GB + ROM 256 GB
    • Dwi-SIM Hibrid , slot mikroSDXC
    • Paparan IPS LCD 6.59 inci
    • 3 Kamera Belakang 48MP (lensa utama) + 8MP (ultra-lebar) + 2MP (sensor kedalaman)
    • Kamera Hadapan Pop-Up 16MP
    • Sensor Cap Jari (di sisi peranti)
    • Bicu audio 3.5mm
    • EMUI 9.1 berasaskan Android Pie 9
    • Bateri 4000 mAh bersama pengecasan 10W
    • Berukuran 163.1 x 77.2 x 8.8mm dengan berat 206g

    Untuk makluman anda, versi Pro ini tidak hadir dengan Google Mobile Services. Namun, anda tidak perlu khuatir kerana Huawei dan HONOR mempunyai ekosistem aplikasinya yang tersendiri, Huawei Mobile Services yang menggunakan Huawei AppGallery.

    Sebagai tambahan, kami ingin memaklumkan ciri teknologi pada peranti ini seperti split screen atau skrin yang boleh dibahagikan kepada dua. Ciri ini memudahkan anda untuk melakukan perkara lain tanpa perlu keluar daripada aplikasi yang sedang digunakan.

    Boleh melalukan perkara lain tanpa menutup aplikasi yang sedang digunakan

    Prestasi – Inilah realiti tanpa GMS, tetapi gaming mantap

    Bermula dengan kelemahannya, kami tidak dapat menyangkal lagi bahawa ketiadaan Google Mobile Services pada mulanya agak janggal. Namun, setelah mencuba beberapa aplikasi yang dimuat turun melalui Huawei AppGallery, kami menjangkakan cepat atau lambat ekosistem aplikasi ini bakal menarik lebih ramai pembangun aplikasi.

    Huawei AppGallery yang tersedia sudah bagus, tetapi dengan kewujudan lebih banyak aplikasi asas, pastinya servis aplikasi akan lebih mantap. Apa pun, untuk aplikasi yang tidak tersedia seperti WhatsApp, Facebook dan Instagram, anda boleh cuba memuat turunnya melalui fail APK. Sememangnya, ramai pengguna yang memuat turun fail APK, tetapi anda juga perlu ambil tahu tentang kelemahan dan risiko memuat turun fail tersebut. Jika anda ingin menonton YouTube, anda boleh berbuat demikian di pelayar (browser) Huawei.

    Gaming? Kami terdiam. Sebelum mengulas dengan lebih lanjut, terlebih dahulu kami telah melancarkan ujian penanda aras AnTuTu untuk peranti ini. Melalui gambar di bawah, anda boleh melihat mata yang dicapai dalam ujian penanda aras AnTuTu yang agak memuaskan untuk peranti kelas pertengahan, mengalahkan Redmi Note 8 Pro dan Xiaomi Mi 9T.

    Kami telah memuat turun game seperti Asphalt 9, Lords Mobile dan Mobile Royale pada HONOR 9X Pro. Untuk peranti kelas pertengahan, prestasi gamingnya agak mantap. Terima kasih kepada HONOR GPU Turbo 3.0 dengan kolaborasi cipset Kirin 810! Semasa game dimainkan dalam masa yang agak lama, kami agak terkejut kerana peranti hanya suam, tidak terlalu panas. Masuk akal untuk peranti ini tidak panas kerana kewujudan sistem penyejukan cecair bergred PC (PC-grade liquid cooling system).

    Asphalt 9 yang lancar
    Game Lords Mobile
    Lihatlah grafik yang bagus ini!

    Bateri yang hadir pada HONOR 9X pro adalah kapasiti bateri yang biasa dipasarkan dalam pasaran teknologi, 4000 mAh dengan pengecasan 10W. Walau bagaimanapun, terdapat waktu dimana peranti ini digunakan secara kasual (penggunaan harian tanpa gaming berat), bateri mampu bertahan sehingga 2 hari.

    Beralih kepada kamera, peranti ini hadir dengan tetapan tiga kamera belakang. Untuk prestasi kamera peranti kelas pertengahan, kamera utama 48MP bersama 8MP ultra-lebar dan 2MP sensor kedalaman berfungsi dengan baik. Untuk pengetahuan anda, anda boleh menukar lensa kamera belakang sama ada ingin menggunakan 48MP atau 48MP AI Ultra Clarity (anda boleh lihat tetapannya dan hasil gambarnya di bawah). AI Ultra Clarity sesuai digunakan untuk rakaman gambar objek dengan pencahayaan yang baik.

    Antara muka kamera dengan kamera pop-up yang aktif
    Anda boleh memilih tetapan resolusi yang anda mahu

    Mod malam ‘AIS Night Mode 2.0’ juga memuaskan. Anda digalakkan menggunakan mod malam untuk menangkap gambar waktu malam sama ada dengan pencahayaan yang baik atau rendah. Mod malam akan mengurangkan kekasaran (noise) gambar dan warna gambar akan kelihatan lebih jelas. Kamera biasa tanpa mod malam akan menyebabkan gambar waktu malam agak kasar. Teknologi AI turut membantu dalam memberi kejelasan warna dalam gambar. Contohnya, jika anda mengambil gambar langit, AI akan dapat mengesannya dan bakal menghasilkan gambar yang cantik untuk dipandang.

    Untuk kamera selfie 16MP pula, kualitinya agak baik. Namun, untuk pengguna yang jujur dengan paras rupa, mungkin anda akan memilih kamera pada peranti lain. Hal ini kerana kamera selfienya bakal membuatkan anda seperti indah khabar dari rupa dengan fungsi Beauty yang boleh diubah suai. Apa pun, ini lah masanya untuk anda kelihatan mulus dan suci. Jom tengok hasil gambarnya!

    Lensa biasa 48MP. Anda boleh melihat asap dalam gambar yang agak jelas.
    Sedapnya buah harum manis! Gambar sebelah kiri dengan lensa 48MP AI Ultra Clarity, manakala di sebelah kanan adalah lensa utama 48MP biasa (anda boleh lihat larutan warna yang lebih menarik pada sebelah kiri)
    Lensa biasa 48MP (diambil semasa Perintah Kawalan Pergerakan)
    Lensa biasa 48MP
    Lensa biasa 48MP (bandingkan dengan gambar di bawah)
    Lensa 48MP dengan fungsi ultra-lebar
    Gambar jarak dekat
    Gambar jarak dekat (saya digigit kerengga semasa mengambil gambar ini)
    Lensa utama 48MP dengan mod potret. Berjaya memotretkan objek dengan latar belakang kabur.
    Gambar atas menggunakan lensa biasa, gambar di bawah dengan mod malam
    Kamera selfie 16MP

    Kesimpulan – Gaming? Ya.

    Agak susah untuk membuat satu kesimpulan keseluruhan peranti ini. Sejujurnya, HONOR 9X Pro mungkin menjadi pilihan saya jika Huawei AppGallery memiliki senarai game yang bagus. Kami percaya Huawei AppGallery bakal mendapatkan pembangun aplikasi game yang hangat dimainkan. Hal ini kerana masa depan peranti ini agak cerah untuk prestasi gaming bagi peranti kelas pertengahan. Kami sangat menyukai grafiknya! Sesiapa juga boleh terpukau dengan peranti RAM 6GB dan ROM 128GB dengan harga sebegini.

    Namun, jika anda ingin memiliki peranti dengan harga lebih kurang sama dengan fungsi GMS, anda boleh cuba semak OPPO A91. Apa pun, OPPO A91 mempunyai ROM yang lebih rendah, 128GB sahaja. Jika anda tidak kisah dengan ROM 128GB, lebih baik pula anda semak versi sebelumnya, HONOR 9X. Sebelum ini, kami juga sudah mengulas tentang HONOR 9X yang hadir dengan servis Google.

    Anda ada ulasan lebih untuk ulasan ini? Lontarkan pertanyaan atau komen anda di laman Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk ulasan telefon pintar selanjutnya.

     

    Artikel Terkini

    KWSP bakal umumkan Akaun 3 pada hari ini sebagai Akaun Fleksibel

    Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersedia untuk mendedahkan Akaun 3 atau akaun Fleksibel pada 25 April hari ini, menandakan penstrukturan semula yang...

    AS akan haramkan TikTok jika ia tidak dilepaskan daripada syarikat China

    Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden telah menandatangani satu rang undang-undang yang akan mengharamkan penggunaan platform media sosial TikTok dalam negara itu,...

    Qualcomm umumkan Snapdragon X Plus, cipset komputer riba berasaskan ARM

    Qualcomm Technologies, Inc. memperkenalkan Snapdragon X Plus, mengembangkan portfolio platform siri Snapdragon X yang terkenal. Snapdragon X Plus adalah CPU Qualcomm Oryon...

    WhatsApp sedang uji ciri berkongsi fail tanpa sambungan internet

    WhatsApp sedang bersiap untuk kemas kini penting yang satu memberi tumpuan kepada membolehkan perkongsian fail melalui rangkaian tempatan dan menambah ciri mengambil...

    CelcomDigi perkenalkan pakej “roaming” khas untuk jemaah umrah dan haji

    Syarikat telekomunikasi CelcomDigi kini memperkenalkan pakej perayauan baharu Hajj Roaming Pass yang dikhaskan untuk para pelanggan yang ingin menunaikan ibadat haji atau...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X