Site icon TechNave BM

Ulasan realme 11 5G – Gabungan kamera dengan prestasi yang boleh tahan dalam julat harga RM1,199

realme 11 5G telah dilancarkan di Malaysia sekitar jam 12 tengahari semalam. Ia membawa reka bentuk yang segar dengan beberapa kualiti untuk segmen harga RM1,000 ke atas. Ia dilancarkan bersama realme Pad 2 dan realme Buds Air 5. Kali ini, realme seolah-olah menumpukan telefon pada harga yang berpatutan dengan kualiti imej yang boleh tahan kualitinya.

Dalam artikel ini, saya akan ulaskan realme 11 5G daripada segi reka bentuk, spesifikasi dan prestasi. Di bawah merupakan perkara yang saya suka dan juga tidak saya gemari mengenai peranti ini.

Rekaan – Segar dan ekstetik untuk telefon kelas pertengahan

Peranti ini menampilkan skrin 6.72 inci yang besar menawarkan pengalaman visual yang memuaskan. Bezel disekelilingnya agak tebal terutama di bahagian dagu telefon. Tetapi disebabkan saiz skrinnya yang besar, bezel tidak terlalu mengganggu pengalaman tontonan dan juga gaming. Ketebalannya pada 8.05mm tidak terlalu menggangu serta sangat ringan dan selesa dipegang dengan satu tangan.

Skrin hadapan: Bezel tebal terutama pada bahagian dagu telefon
Bahagian belakang dengan pulau kamera yang menonjol
Kamera swafoto 16MP

Peranti ini mempunyai bahagian belakang yang berkilauan dengan mudah menarik cahaya untuk mencipta garis warna yang menakjubkan. Panel belakangnya kelihatan seperti kaca dan mahal apabila dilihat walaupun pada jarak dekat. Namun begitu, setelah anda memegang realme 11 5G, anda boleh merasakan kemasan plastik yang mungkin membuatkan anda kecewa sedikit.

Panel belakangnya juga meninggalkan kesan cap jari tetapi disebabkan ia berkilauan, kesan cap jari tersebut tidak terlalu jelas. Walaupun begitu, terdapat beberapa kekurangan kecil di mana anda perlu mengelap telefon ini dengan kerap untuk sentiasa kelihatan bersih dan cantik. Binaan plastiknya masih kukuh tetapi tidak memberikan rasa premium yang sama seperti kaca atau logam.

Sisi kanan: Butang audio dan kuasa
Bahagian bawah: Satu pembesar suara, port USB-C dan bicu audio 3.5mm
Sisi kiri: Slot kad-SIM dan mikroSD

Di bahagian sisinya dikemaskan dengan bingkai besi, membawa butang audio dan butang kuasa yang juga berfungsi sebagai pengimbas cap jari di sebelah kanan manakala pemacu audio 3.5mm, port USB-C untuk pengecasan dan satu pembesar suara mono di bahagian bawah. Sebelah kirinya pula mempunyai slot kad dwi-SIM dan kad mikroSD.

Disebabkan rekaannya sangat minima, pulau kamera berwarna hitam itu kelihatan menonjol dengan saiznya yang besar pada sudut kiri. Ia menempatkan dwi-kamera yang terdiri daripada kamera utama 108MP dan sensor kedalaman 2MP serta lampu flash berbentuk pil di bahagian bawah. Bonggol kameranya agak tebal tetapi ia masih stabil dan tidak bergoyang apabila diletakkan di atas meja. Kameranya mungkin tidak mudah cacat sekiranya anda meletakkankannya secara mendatar kerana bezel sekeliling kameranya yang tebal.

Dwi kamera: Kamera utama 108MP + sensor kedalaman 2MP
Bonggol kamera tebal
Telefon stabil dan tidak bergoyang walaupun letak secara mendatar

Daripada segi keseluruhan reka bentuk, saya merasakan ia hanya kelihatan premium tetapi sedikit mengecewakan apabila anda memegangnya. Dengan pulau kamera yang menonjol, rekaannya agak pelik mungkin kerana saya lebih suka dengan pulau kamera yang lebih kecil. Saiznya yang besar juga tidak begitu membantu apabila disimpankan ke dalam poket.

Kemudian, di dalam kotak pembelian memberikan anda sarung silikon yang saya sarankan untuk pengguna memakaikannya bagi mengelakkan peranti daripada mudah kotor, pin SIM, kabel pengecas USB-A ke USB-C dan pengecas SUPERVOOC 67W.

Dalam kotak: Sarung silikon, pin SIM, kabel pengecas USB-A ke USB-C dan pengecas SUPERVOOC 67W.

Spesifikasi – Boleh tahan bagi segmen harganya

Berikut adalah spesifikasi penuh untuk realme 11 5G:

Bermula dengan skrin, realme 11 5G menawarkan skrin IPS LCD 6.72 inci dengan kadar segar semula 120Hz. Resolusinya standard pada 2400 x 1080 yang masih memberikan tontonan video atau game dengan cemerlang.

realme 11 5G di sebelah kiri, Samsung Galaxy A34 5G di sebelah kanan

Di bawah cahaya yang terik, anda masih boleh melihat skrin tetapi tidak begitu jelas. Saya meletakkan realme 11 5G dan Samsung Galaxy A34 5G bersebelahan dengan kecerahan penuh dan mengaktifkan mod keselasaan mata. Berdasarkan imej di atas, Galaxy A34 5G masih memberikan kecerahan yang lebih tinggi.

Walaupun ia mungkin tidak seterang paparan AMOLED pada Samsung Galaxy A34 5G, ia masih memberikan kualiti visual yang memuaskan untuk hiburan dan tugas harian. Skrinnya mudah ditatal dan tidak memberikan sebarang masalah sepanjang penggunaan.

Ia dikuasakan oleh cipset MediaTek Dimensity 6100+ memberikan prestasi yang baik dalam menjalankan aplikasi dan pelbagai tugas harian. Cipsetnya cukup bagus membolehkan pelancaran aplikasi yang pantas, game bergrafik tinggi tanpa sebarang lag dan pengendalian pelbagai tugas dengan mudah.

Dengan RAM 8GB dan storan 256GB, ini sudah cukup bagus untuk pengguna menyimpan data, foto dan video. Anda juga tidak perlu risau kerana RAM boleh dikembangkan dengan tambahan 8GB memberikan jumlah 16GB dan storan boleh diluaskan sehingga 2TB menggunakan kad mikroSD.

Sistem kamera telefon ini menawarkan pelbagai peningkatan prestasi termasuk peningkatan dalam pengambilan gambar dalam cahaya rendah. Pengguna boleh mengharapkan gambar yang jelas dan tajam dalam keadaan pelbagai cahaya kecuali apabila dizum.

Baterinya standard pada 5,000mAh di mana paras kuasa meningkat dengan cepat ketika pengecasan. Saya mengecas telefon ini dari 0% ke 43% dalam masa 15 minit manakala 43% ke 100% mengambil masa 32 minit. Dengan ini, anda tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mula melakukan kerja atau bermain game.

Prestasi baterinya agak menakjubkan kerana saya bermain game Genshin Impact selama 30 minit dan bateri hanya menurun dari 91% ke 79%. Kemudian, saya memainkan YouTube selama satu jam tanpa henti dan bateri menurun dari 69% ke 58%, memberikan jumlah penurunan hanya 11%. Ini menunjukkan anda tidak perlu risau untuk mengecas telefon apabila dalam perjalanan yang lama.

Beberapa telefon Android memberi dua jenis antara muka untuk membuka senarai aplikasi termasuk realme 11 5G. Sekiranya anda hanya inginkan satu jenis antara muka untuk mengelakkan kekeliruan, anda boleh pergi ke bahagian Tetapan, klik pada ‘Skrin Utama & Skrin Kunci’ dan pilih Mod skrin utama. Anda mempunyai dua pilihan iaitu Mod standard atau Mod laci.

Pilihan antara Mod standard atau Mod laci

Di bawahnya menempatkan pembesar suara mono tunggal. Audionya agak bingit yang memerlukan kualiti bass yang lebih baik. Sekiranya anda ingin mendengar lagu atau bermain game dengan kualiti audio yang bagus, saya menyarankan anda untuk menyambungkannya ke fon telinga.

Prestasi – Boleh dimasukkan dalam senarai pertimbangan

Seperti dalam ulasan sebelum ini, saya menggunakan Geekbench dan 3DMark untuk menjalankan ujian penanda aras. Dalam mata larian Geekbench 6, realme 11 5G mendapat 704 mata untuk teras tunggal dan 1875 untuk berbilang teras. Ujian 3Dmark pula menunjukkan suhu teras tertinggi pada 39 °C dan mencapai kestabilan 99.3%.

Saya bermain game Genshin Impact dan PUBG MOBILE untuk ujian prestasi di mana ia dimainkan pada kadar bingkai 30fps dan kadar penyegaran semula 120Hz. Tiada sebarang lag semasa permainan dalam masa satu jam dan operasi berjalan dengan lancar. Ia dilengkapi dengan sistem penyejukan yang cekap, oleh itu, anda tidak perlu risau untuk sesi gaming yang panjang.

Setelah keluar daripada game, masih boleh melakukan tugas lain

Ia menyokong fungsi Hyperboost untuk meningkatkan lagi pengalaman gaming pengguna. Sambil bermain game, anda juga boleh melakukan tugas lain. Anda boleh meneruskan tugas lain dalam tab kecil setelah keluar daripada game dan simpannya di bahagian sisi untuk membuka tab seterusnya. Lebih 20 tab yang dibuka dan peranti masih berjalan dengan cukup baik tanpa lag.

Gambar yang dihasilkan turut menakjubkan walaupun ia hanya disokong oleh dwi-kamera belakang. Kamera utama 108MP menyediakan butiran yang mencukupi, menghasilkan gambar yang tajam dan kualiti warna yang hebat walaupun dalam keadaan cahaya rendah dengan sokongan sensor kedalaman 2MP.

Mod yang disediakan dan flash pada kamera swafoto

Jika dilihat pada gambar yang dihasilkan, anda boleh lihat ketajaman yang tinggi dengan noise yang sangat sedikit. Sekiranya anda berminat dalam fotografi, anda boleh mencuba mod Street untuk kualiti gambar sinematik. Gambar yang dizum 10x dan 20x semestinya pecah memberikan butiran gambar yang kabur tetapi warna subjek masih pekat.

Kemudian, terdapat mod ‘tilt-shift‘ untuk tangkapan gambar di mana bahagian sisinya kabur dalam keadaan mendatar manakala bahagian atas dan bawahnya kabur dalam keadaan menegak. Begitu juga untuk rakaman video yang turut berfungsi seperti ‘time-lapse‘. Kualiti video tidak seberapa bagus pada waktu siang dan malam. Tetapi jika anda inginkan kualiti yang lebih baik, anda boleh menggunakan mod Filem.

https://bm.technave.com/wp-content/uploads/2023/08/VID20230831112838-2-1.mp4
Video Mod Standard
https://bm.technave.com/wp-content/uploads/2023/08/VID20230831064624-2-1.mp4
Video dalam Mod Filem

Warna ungu dan merah jambu langit pada waktu malam membuatkan gambar seperti dilukis dan tidak kesemua telefon lain mampu menghasilkan warna-warna palet. Hampir kesemua warna ditunjukkan dalam gambar seperti realiti.

Kamera swafotonya pada 16MP masih memberikan tekstur kulit tanpa pengaktifan mod cantik. Mod potretnya masih boleh tahan tetapi masih boleh dipertingkatkan untuk lebih fokus kepada subjek.

Kesimpulan – Prestasi bertenaga untuk julat harga sedemikian

realme 11 5G adalah telefon pintar kelas pertengahan serba boleh yang menggabungkan paparan bertenaga dan kualiti gambar menakjubkan walaupun hanya dwi-kamera. Cipset Dimensity 6100+ memastikan penggunaan harian yang lancar dan pengalaman gaming yang yang memuaskan dalam julat harga RM1,199. Hayat baterinya boleh dipercayai dan penyejukan yang berkesan untuk permainan berjam-jam.

Sebagai alternatif, anda juga boleh mempertimbangkan telefon kelas pertengahan lain seperti vivo Y78 5G yang memiliki kamera utama OIS 64MP, kamera kedalaman 2MP dan makro 2MP. Ia menggunakan cipset Snapdragon 695 5G, skrin AMOLED 6.78 inci dan bateri 5,000mAh dengan pengecasan 44W pada harga RM1,399.

Anda juga boleh mempertimbangkan OPPO Reno 8T 5G yang kini berharga RM1,399 di laman web rasminya. Ia dilengkapi dengan cipset Snapdragon 695 5G, kamera potret 108MP + mikro 40x + kamera kedalaman 2MP bersama-sama kamera swafoto 32MP. Baterinya berkapasiti 4,800mAh dengan sokongan pengecasan pantas SUPERVOOC 67W.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version