fbpx
More

    Ulasan Samsung A34 5G – Prestasi bagus dengan reka bentuk ringkas

    Samsung Galaxy A34 5G telah dilancarkan di Malaysia pada bulan Mac lepas menggantikan barisan Galaxy A yang terdahulu. Peranti ini membawa harga RM1,599 yang agak mahal bagi telefon kelas pertengahan dengan spesifikasi standard.

    Di bawah merupakan pengalaman saya setelah menggunakan Galaxy A34 5G selama dua minggu. Seperti biasa, ada beberapa perkara yang saya suka dan kurang suka. Baca ulasan ini untuk tahu lebih lanjut.

    Reka bentuk – Kemasan matte dan reka bentuk ringkas berikan rupa premium  

    Reka bentuk Galaxy A34 5G bukanlah sesuatu yang istimewa. Ia menggunakan skrin Super AMOLED FHD+ 6.6 inci di bahagian hadapan, bahan plastik di bahagian belakang dan sisi. Warna yang saya dapat ini merupakan Awesome Lime yang agak berlainan berbanding jenama lain di Malaysia. Sekiranya anda tidak berminat dengan warna ini, anda masih boleh memilih Awesome Violet atau Silver.

    Skrin Super AMOLED FHD+ 6.6 inci
    Waterdrop notch, kamera swafoto 13MP

    Bahagian hadapannya mempunyai bezel yang agak tebal. Selain itu, ia mempunyai takuk titisan air (waterdrop notch) menempatkan kamera swafoto 13MP. Walaupun ia menggunakan panel plastik di bahagian belakang, namun dengan kemasan matte, ia memberikan hasil premium. Cap jari yang tinggal juga tidak terlalu jelas. Secara jujur, saya agak suka dengan kemasan ini.

    Bahagian belakangnya juga mempunyai tri-kamera yang terdiri daripada kamera utama 48MP + ultra-lebar 8MP + makro 5MP dengan flash LED. Bonggol kamera peranti ini juga nipis tanpa sebarang dataran kamera menjadikan ia kelihatan minimal dan ringkas.

    Panel belakang dengan kemasan matte
    Kamera utama 48MP + ultra-lebar 8MP + makro 5MP dengan flash LED

    Bahagian sisi telefon melengkung sedikit di mana sisi kanan terdapat butang kuasa dan butang audio manakala sisi kiri tiada sebarang butang kawalan. Bahagian atas telefon mempunyai slot dwi-SIM dan bahagian bawahnya pula terdapat port USB-C dan pembesar suara stereo.

    Di sini, saya agak kecewa kerana di dalam kotak pembelian, Samsung tidak menyediakan pengecas dan sarung silikon seperti jenama-jenama terkenal yang lain. Anda hanya akan mendapat kabel pengecasan USB-C ke USB-C, pin SIM dan beberapa dokumen.

    Tiada pengecas dan sarung silikon disediakan

    Spesifikasi – Lebih sesuai untuk produktiviti

    • Skrin Super AMOLED Full HD+ 6.6 inci, kadar segar semula 120Hz
    • Cipset MediaTek Dimensity 1080
    • RAM 8GB
    • Storan 256GB, boleh dibesarkan dengan kad microSD sehingga 1TB
    • Kamera utama 48MP + kamera ultra-lebar 8MP + kamera makro 5MP
    • Kamera swafoto 13MP
    • Bateri 5,000mAh
    • Sistem operasi One UI 5.1 berdasarkan Android 13
    • Sistem keselamatan Samsung Knox
    • Ukuran 161.3 x 78.1 x 8.2mm, 199g
    • Penarafan kalis air dan habuk IP67
    • Pilihan warna Awesome Lime, Awesome Graphite, Awesome Violet dan Awesome Silver

    Cipset Dimensity 1080 yang digunakan sudah cukup bagus untuk meningkatkan produktiviti dan penggunaan harian anda. Ia mempunyai RAM 8GB dan storan 256GB dengan penambahan kad SD sehingga 1TB yang secara peribadi saya dapati cukup memandangkan saya hanya menggunakan aplikasi biasa. Perlu diingat semula bahawa kad SD perlu dibeli secara berasingan.

    Di hadapan, terdapat skrin Super AMOLED Full HD+ 6.6 inci dengan kadar segar semula 120Hz. Kecerahan skrin boleh meningkat sehingga 1000 nits hasil sokongan ciri Samsung Vision Booster yang diperkenalkan tahun lepas pada Samsung Galaxy S22. Oleh itu, bacaan pada skrin tidak terganggu di bawah cahaya matahari yang terik. 

    Dalam pada itu, ia turut dilindungi oleh Gorilla Glass 5 Corning daripada kerosakan terutamanya sekiranya ia terjatuh atas permukaan yang tidak rata. Namun, anda masih perlu berjaga-jaga kerana ia setakat telefon kelas pertengahan yang masih memerlukan perlindungan skrin tambahan.

    Sudah tentu, dengan skrin AMOLED, ia memberikan warna yang terang dan pekat. Seperti Galaxy A54 5G, Galaxy A34 5G boleh mengurangkan pelepasan cahaya biru kepada sekurang-kurangnya 6.5% hampir separuh daripada kemampuan A33 5G apabila anda mangaktifkan Eye comfort shield di bahagian tetapan.

    Pengimbas cap jari dalam paparan optik pada Galaxy A34 berfungsi dengan hebat dengan pengesanan pantas. Ia tidak lengah dan dalam masa satu saat, anda boleh membuka kunci skrin tanpa sebarang masalah. Kemudian, anda tidak perlu terlalu risau kerana ia mempunyai penarafan IP67 yang kalis habuk dan air. Sudah pasti, kuantiti air adalah seperti percikan hujan yang tidak terlalu banyak.

    Daripada segi audio, Galaxy A34 5G mempunyai pembesar suara stereo khusus di bahagian bawah dan di bahagian posisi telinga pengguna bertindak sebagai saluran kedua. Bunyi yang dihasilkan agak kuat dan jelas tetapi ia masih memerlukan kekuatan bass. Namun, ini bukanlah satu isu yang besar kerana telefon ini lebih sesuai digunakan untuk pekerjaan dan tugasan harian.

    Baterinya berkapasiti 5,000mAh dengan pengecasan 25W memberikan pengecasan 100% dalam masa 1 jam 15 minit dan 50% dalam 30 minit. Samsung mengiklankan bahawa hayat bateri mampu bertahan sehingga dua hari, namun, sepupu saya menonton YouTube selama 1 jam 30 minit tanpa henti pada kuasa bateri 50% dan bateri berkurangan sebanyak 46%, meninggalkan 4% sebagai baki. Di sini, saya kurang pasti sama ada perkara yang diiklankan adalah benar ataupun tidak.

    Daripada segi operasi, Galaxy A34 5G menggunakan One UI 5.1 berdasarkan Android 13 yang mudah digunakan dan difahami. A34 5G juga layak mendapat sokongan kemas kini termasuk empat peningkatan OS dan sehingga lima tahun kemas kini keselamatan. Beberapa pengeluar telefon pintar lain menjanjikan tahap sokongan yang sama untuk beberapa peranti mereka, tetapi hanya Samsung yang menawarkannya untuk peranti yang berpatutan seperti Galaxy A34 5G dan juga Galaxy A33 5G tahun lepas.

    Prestasi – Tidak sesuai untuk penggunaan lama

    Saya tidak terlalu mengharapkan prestasi daripada cipset MediaTek Dimensity 1080. Namun, A34 memberikan prestasi yang lancar tanpa lengah. Satu lagi aspek iaitu RAM Plus meningkatkan jumlah RAM yang tersedia secara maya membantu lebih banyak aplikasi kekal terbuka di latar belakang. Sebagai contoh, saya membuka aplikasi ‘Asphalt 9’, kemudian beralih ke YouTube sambil memuat turun PUBG Mobile dan 3D Mark di Play Store.

    A34 juga boleh digunakan untuk gaming tetapi ketika saya bermain game PUBG Mobile dan Asphalt 9 pada sesi yang panjang telah menyebabkan kawasan sekitar kamera belakang menjadi sedikit panas. Anda perlu meletakkannya seketika untuk membiarkan suhu turun kemudian sambung bermain game.

    Kedua-dua game ini dimainkan pada tetapan grafik tertinggi pada 120Hz dan ia tidak memberi sebarang masalah serta berfungsi dengan lancar. Kadar bingkai penuh hanya boleh digunakan untuk beberapa aplikasi dan ini tidak termasuk kedua-dua game yang saya mainkan. Seperti yang dinyatakan di atas, kuasa bateri menurun dengan cepat, oleh itu, bermain game dalam masa yang lama tidak disarankan.

    Saya memainkan PUBG Mobile

    Untuk bahagian fotografi, saya tidak akan ulaskan terlalu panjang kerana ia seperti kebanyakan telefon pintar kelas pertengahan Galaxy yang lain. Kameranya berfungi dengan lancar dan menghasilkan imej sekadar baik.

    Untuk mod standard, warna dalam imej adalah pekat tetapi gambar waktu malam meninggalkan sedikit noise. Dengan ini, saya sarankan anda untuk menggunakan mod malam. Mod potret pula boleh disuaikan sehingga kuasa tujuh untuk lebih fokus pada objek manakala kamera makro 5MP cukup baik dan masih boleh menghasilkan imej dengan jelas pada jarak 3-4cm. 

    Mod yang disediakan

    Kamera ini sangat tidak sesuai untuk dizum kerana imej yang dihasilkan amat kabur. Ia boleh dizum sebanyak 10x tetapi itu sangat tidak disarankan. Imej ultra lebar di dalam bilik saya mampu mengambil ruang seluas 15 kaki pada jarak 12 kaki. 

    Bagi mod kamera, A34 5G mempunyai kesemuanya daripada sesuatu yang asas seperti mod Makanan kepada Pro dan mod video Pro yang membolehkan anda mengawal kelajuan pengatup dan banyak lagi. 

    Ia juga boleh mengambil video hiperlapse, ciri yang diperkenalkan pada Galaxy S23 tetapi nampaknya ia terdapat pada semua peranti yang dilancarkan dengan One UI 5.1. Rakaman video terhad kepada 4K@30 fps mempunyai jumlah perincian dan julat dinamik yang baik tetapi anda seharusnya tidak mengharapkan lebih untuk rakaman video pada waktu malam kerana rakaman video pada waktu siang juga tidak begitu baik. 

    A34 5G juga mempunyai kamera swafoto 13MP memberikan imej yang lebih baik di luar dan di dalam rumah. Disebabkan pencahayaan tidak seperti cahaya di luar, oleh itu, imej di dalam rumah terdapat sedikit noise tetapi tidak begitu jelas.

    Kesimpulan – Prestasi Galaxy A, tapi dengan rekaan Galaxy S

    Samsung Galaxy A34 5G kelihatan premium dengan reka bentuk minimal dan ringkas. Kemasan matte membuatkan ia kelihatan lebih eksklusif. Pengalaman saya menggunakan telefon ini cukup bagus untuk tontonan, mendengar muzik dan tugasan harian.

    Dengan harga RM1,599 ini agak mahal bagi saya kerana terdapat beberapa peranti lain yang menawarkan aksesori dan spesifikasi yang menarik. Salah satunya adalah POCO X5 Pro 5G yang berharga RM1,099 menawarkan cipset Snapdragon 778G, kamera 108MP, menyokong kadar penyegaran 120Hz, bateri 5,000mAh dan pengecasan pantas 67W. Kekurangan telefon ini adalah ia tidak menawarkan kemas kini seperti Galaxy A34 dengan empat peningkatan OS dan sehingga lima tahun kemas kini keselamatan.

    Xiaomi 12 Lite pula berharga RM1,599 yang dilancarkan pada Ogos 2022. Ia menawarkan cipset Snapdragon 778G 5G, skrin AMOLED 6.55 inci, resolusi FullHD+, kadar segar semula 120Hz, kadar bacaan sentuh 240Hz dan kamera 108MP. Kekurangannya pula adalah kapasiti bateri yang kecil 4,300mAh tanpa penarafan kalis air dan habuk serta kemas kini untuk hanya beberapa tahun sahaja.

    Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Qualcomm umumkan Snapdragon X Plus, cipset komputer riba berasaskan ARM

    Qualcomm Technologies, Inc. memperkenalkan Snapdragon X Plus, mengembangkan portfolio platform siri Snapdragon X yang terkenal. Snapdragon X Plus adalah CPU Qualcomm Oryon...

    WhatsApp sedang uji ciri berkongsi fail tanpa sambungan internet

    WhatsApp sedang bersiap untuk kemas kini penting yang satu memberi tumpuan kepada membolehkan perkongsian fail melalui rangkaian tempatan dan menambah ciri mengambil...

    CelcomDigi perkenalkan pakej “roaming” khas untuk jemaah umrah dan haji

    Syarikat telekomunikasi CelcomDigi kini memperkenalkan pakej perayauan baharu Hajj Roaming Pass yang dikhaskan untuk para pelanggan yang ingin menunaikan ibadat haji atau...

    Infinix GT 20 Pro akan dilancar di Malaysia pada 2 Mei 2024

    Infinix Malaysia bakal melancarkan telefon pintar terbaru, Infinix GT 20 Pro, pada hari Khamis, 2 Mei 2024. Telefon kelas pertengahan ini bakal...

    Tesla Model 3 Performance rasmi di Malaysia, 0-100km/j hanya 3.1 saat bermula RM242,000

    Hari ini, Tesla Malaysia telah melancarkan Tesla Model 3 Performance secara rasmi. Untuk pengetahuan, Tesla Model 3 Performance telah dilancarkan sebelum laporan...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X