Pada Disember lalu, Xiaomi melancarkan telefon pintar andalan terbaharunya iaitu Xiaomi 13 dan Xiaomi 13 Pro. Walau bagaimanapun, pelancaran itu hanya untuk pasaran China dan masih menunggu kedua-dua ini diperkenalkan ke pasaran global. Kini, model global telefon ini mula mendapat pensijilan di negara selain China.
Xiaomi 13 Pro global telah dikesan dalam pangkalan data Biro Piawaian India (BIS) dan juga NBTC Thailand. Nombor model untuk telefon ini ialah 2210132G. Xiaomi 13 juga telah diperakui oleh NBTC dengan nombor model 2211133G. Dalam kedua-dua nombor model, “G” akhir itu bermaksud “global”.
Xiaomi 13 hadir dengan skrin OLED 1080×2400 6.36 inci 120Hz, cipset Snapdragon 8 Gen 2, RAM 8/12GB dan storan 128/256/512GB. Bahagian belakang terdapat kamera utama 50MP dengan OIS, ultra lebar 12MP dan zum optik 3.2x 10MP. Bahagian hadapan pula terdapat kamera swafoto 32MP.
Baterinya berkapasiti 4,500 mAh dengan sokongan pengecasan berwayar 67W, pengecasan wayarles 50W dan sokongan pengecasan wayarles berbalik 10W. Xiaomi 13 Pro berkongsi banyak spesifikasi tersebut tetapi mempunyai paparan 6.73 inci 1440×3200 yang lebih besar, bateri 4,820 mAh dengan pengecasan berwayar 120W dan persediaan kamera belakang yang berbeza.
Varian pro hadir dengan kamera utama 50.3MP dengan OIS, ultra lebar 50MP dengan autofokus untuk makro dan zum optik 50MP 3.2x. Adakah anda berminat dengan peranti ini? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

