realme dijangka akan melancarkan telefon pintar andalan realme GT 7 Pro pada akhir tahun ini. Terdapat khabar angin bahawa Xiaomi 15 dan 15 Pro akan membuat pelancarannya sebagai telefon pertama di dunia yang menggunakan cipset Snapdragon 8 Gen 4 pada bulan Oktober di China. Dengan pengumuman realme GT 5 Pro pada Disember 2023, kemungkinan besar GT 7 Pro akan dilancarkan di China pada bulan yang sama.
Walau bagaimanapun, terdapat spekulasi bahawa GT 7 Pro mungkin menjadi telefon pertama dengan Snapdragon 8 Gen 4 yang dipasarkan secara global. Setakat ini, maklumat mengenai peranti ini telah dibocorkan sedikit demi sedikit dengan kebocoran terbaru datang dari penjejak maklumat terkenal, Digital Chat Station (DCS) yang memberi maklumat tentang saiz bateri dan kemampuan pengecasannya.

Mengikut DCS, GT 7 Pro akan menyerupai peranti pesaing, mungkin OnePlus 13 dengan paparan rata atau hampir rata. Peranti ini akan dilengkapi dengan bateri silikon-negatif elektrod 6,000mAh yang menyokong pengecasan pantas 100W. Walaupun mempunyai bateri besar, telefon ini akan tetap memiliki profil yang langsing, dengan ketebalan kira-kira 8.5mm.
GT 7 Pro juga akan menampilkan tri-kamera belakang dalam modul segi empat tepat termasuk sensor utama 50MP dan kamera telefoto periskop yang mungkin menggunakan sensor Sony IMX882 dengan zum optikal 3x. Laporan terdahulu juga mencadangkan bahawa GT 7 Pro akan menjadi telefon pertama realme yang menyertakan pengimbas cap jari ultrasonik dalam skrin dan menawarkan kalis habuk dan air dengan penarafan IP69.
Maklumat lain mengenai telefon ini masih belum didedahkan. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Gizmochina







