Jenama peranti mampu milik oleh Nothing, CMF by Nothing, baru sahaja melancarkan telefon pintarnya yang pertama iaitu CMF Phone 1 pada awal bulan ini dan kini syarikat itu mengeluarkan beberapa dokumen CAD rasmi mengenai telefon tersebut kepada orang awam.
Dokumen tersebut menunjukkan ukuran telefon itu dengan mendalam bagi memudahkan anda mencetak sendiri aksesori dan sarung (cover) untuknya, menggunakan pencetak 3D. Selain menunjukkan ukuran badan telefon, CMF turut berkongsi dimensi untuk skru-skru kecil yang digunakan bagi memasang seluruh komponen telefon.



Wow – fire! Should we release the CAD file publicly? It will be fun to see what our community can come up with. https://t.co/YOvOXufhGd
— Carl Pei (@getpeid) July 9, 2024
Tindakan ini berlaku selepas seorang pengguna memberi cadangan kepada CMF untuk menghasilkan sarung Phone 1 yang mempunyai slot untuk sehelai kad. Tidak lama kemudian, CEO Nothing, Carl Pei, menulis dalam X bahawa syarikatnya harus mengeluarkan fail CAD kepada orang awam supaya para pelanggan boleh mencetak aksesori mereka sendiri.
CMF menjemput para pengguna Phone 1 untuk berkongsi rekaan unik yang dihasilkan sendiri ke dalam laman web rasmi CMF. Syarikat itu akan memilih beberapa rekaan dan menghasilkannya secara besar-besaran.
Beberapa pengguna CMF juga telah berkongsi hasil cetakan mereka sendiri dalam laman web Nothing Community.


Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk mencubanya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Nothing







