TECNO telah mengumumkan telefon pintar mampu milik yang terbaru iaitu TECNO Spark 30. Ia mempunyai skrin berukuran 6.78 inci dengan resolusi Full HD+, kadar segar semula 90Hz dan kecerahan puncak 800 nits, manakala di bahagian atas pula terdapat kamera swafoto 13MP dalam lubang punch-hole.
Spesifikasi dalamannya terdiri daripada cipset MediaTek Helio G91, RAM 8GB, storan dalaman 128GB atau 256GB, bateri 5,000mAh dan kadar pengecasan 18W melalui port USB-C. Ia menggunakan sistem operasi Android 14.


Dalam laman webnya, TECNO mengatakan telefon ini boleh digunakan sehingga lima tahun, namun tidak pasti sama ada tempoh lima tahun itu dimaksudkan untuk kemas kini Android, hayat keseluruhan bateri atau prestasi telefon.
Kamera utamanya pula menggunakan sensor Sony IMX682 64MP. Walaupun ia mempunyai tiga “lubang” berwarna hitam di belakang, besar kemungkinan hanya satu sahaja daripada lubang itu mempunyai lensa, manakala dua lagi lubang sekadar hiasan.
Ciri-ciri lain termasuklah pengimbas cap jari di bahagian sisi, rating kalis air IP64, dwi-pembesar suara Dolby Atmos dan NFC.
Harga untuk TECNO Spark 30 masih belum diketahui. Jika anda berminat dengan generasi sebelumnya, TECNO Spark 20 Pro telah dilancar untuk pasaran Malaysia pada bulan Feburari lalu dan ia dijual pada harga bermula RM699.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: TECNO







