Google kini memperkenalkan ciri keselamatan terbaharu untuk telefon Android yang membolehkan peranti dimulakan semula secara automatik sekiranya tidak dibuka kunci selama tiga hari berturut-turut. Tujuan utama ciri ini adalah untuk melindungi data peribadi pengguna.
Apabila telefon dimulakan semula, ia akan berada dalam mod keselamatan di mana semua data disulitkan dan tidak boleh diakses sehingga pengguna memasukkan PIN, kata laluan atau corak kunci secara manual. Fungsi cap jari atau pengecaman wajah tidak akan berfungsi sehingga peranti dibuka secara sah.
Ciri ini sangat berguna jika telefon anda hilang atau dicuri kerana ia mengurangkan risiko orang lain dapat mengakses maklumat penting di dalam peranti anda. Berbeza dengan tetapan semula kilang, data anda tidak akan dipadam dan cuma perlindungan tambahan akan diaktifkan. Google akan memperkenalkan ciri ini secara berperingkat melalui kemas kini Google Play Services.
Menariknya, pengguna boleh memilih sama ada mahu mengaktifkan ciri ini atau tidak bergantung pada keperluan masing-masing. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: 9to5Google







