MINI Malaysia melancarkan MINI Paul Smith Edition (EV) untuk pasaran tempatan iaitu sebuah edisi khas yang dihasilkan melalui kerjasama dengan pereka fesyen British terkenal, Paul Smith. Model edisi terhad berasaskan MINI Cooper SE menampilkan gabungan reka bentuk British klasik dengan teknologi mobiliti elektrik moden.
Kerjasama antara MINI dan Paul Smith sebenarnya telah bermula sejak pelancaran Mini Paul Smith Edition pada 1998 dan edisi baharu ini menandakan evolusi kerjasama tersebut ke era elektrifikasi. MINI Paul Smith Edition menampilkan elemen eksklusif seperti kemasan Nottingham Green pada cermin sisi, gril radiator dan penutup hab tayar selain bumbung berwarna sama yang dipadankan dengan jalur ikonik Paul Smith.

Ia turut dilengkapi rim aloi 18 inci Slide Spoke dengan kemasan Dark Steel serta logo Paul Smith. Sentuhan unik lain termasuk paparan ucapan “hello” dalam tulisan tangan Paul Smith pada cermin sebelum memasuki kenderaan, selain kemasan khas seperti MINI Black Band dan tulisan “Paul Smith” di bahagian belakang.
Tempat duduknya menggunakan model JCW berwarna Nightshade Blue dengan upholsteri Vescin digabungkan bersama corak Shadow Stripe yang diinspirasikan daripada jalur ikonik Paul Smith. Panel instrumen juga menampilkan kemasan jalur yang sepadan manakala mesej tulisan tangan “Every day is a new beginning!” tertera pada pelapik pintu.

Selain itu, sistem paparan menawarkan tiga latar belakang eksklusif rekaan Paul Smith dalam mod Personal bagi memberikan pengalaman visual yang lebih peribadi kepada pemandu. MINI Paul Smith Edition menghasilkan 218 hp dan 330 Nm tork dengan pecutan 0–100 km/j dalam 6.7 saat serta kelajuan maksimum 170 km/j.
Ia dilengkapi bateri 54.2 kWh yang menawarkan jarak pemanduan antara 387 hingga 402 km serta menyokong pengecasan pantas DC sehingga 95 kW yang membolehkan bateri dicas dari 10% ke 80% dalam masa kurang 30 minit. Di Malaysia, MINI Paul Smith Edition ditawarkan pada harga RM222,222 atau RM228,522 bersama pakej Servis & Pembaikan Inklusif MINI (tanpa insurans).


Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







