Samsung melancarkan telefon pintar kelas asas baharu iaitu Samsung Galaxy A08 secara senyap untuk pasaran global. Peranti ini memfokuskan kepada ketahanan penggunaan harian serta sokongan perisian berpanjangan untuk kategori telefon bajet. Samsung Galaxy A08 dilengkapi skrin LCD berukuran 6.7 inci dengan resolusi HD+ dan kadar segar semula 90Hz.
Bagi prestasi pemprosesan, peranti dikuasakan oleh cip MediaTek Helio G99 yang dipadankan bersama RAM sehingga 6GB dan storan dalaman 128GB. Storan peranti ini juga boleh diperluaskan menerusi slot kad microSD. Sistem kameranya menampilkan tetapan dwi-kamera belakang dengan sensor utama 50MP dan sensor kedalaman 2MP.

Pada bahagian hadapan, terdapat kamera 8MP yang diletakkan di dalam takuk skrin untuk swafoto dan panggilan video. Galaxy A08 dibekalkan dengan bateri berkapasiti 6,000mAh yang menyokong pengecasan pantas berwayar 25W. Walaupun membawa bateri bersaiz besar, badan peranti kekal berukuran 8mm ketebalan dengan berat 197 gram.
Ia turut menerima penarafan IP64 untuk perlindungan daripada debu dan percikan air. Galaxy A08 beroperasi menggunakan sistem One UI berasaskan Android 16 dengan sokongan kemas kini sistem operasi sehingga enam generasi dan kemaskini keselamatan selama enam tahun. Antara ciri fizikal lain yang disediakan termasuk sokongan dwi-SIM 4G, sambungan Wi-Fi, Bluetooth, port USB-C serta jek audio 3.5mm.

Samsung belum mengumumkan tarikh ketersediaan rasmi dan harga penawaran bagi pasaran tempatan. Walau bagaimanapun, senarai awal di beberapa pasaran luar menunjukkan harga jualan peranti ini dijangka sekitar $170 (~RM750). Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







