Banyak peranti Apple seperti iPhone 12 terkenal dengan keutamaannya untuk dilengkapi port Lightning, membuatkannya unik berbanding puluhan jenama telefon pintar yang telah menggunakan port USB-C. Kini, badan Kesatuan Eropah (EU) mungkin akan memaksa Apple untuk memperkenalkan port USB-C dalam peranti mereka bermula tahun hadapan.
Penggubal undang-undang dalam EU telah pun bersetuju untuk menguat kuasakan undang-undang baru bagi menggalakkan pengeluar telefon pintar untuk menggunakan satu sahaja jenis pengecas. Tujuan undang-undang ini diperkenalkan adalah bagi memudahkan pengguna dan mengurangkan impak terhadap alam sekitar.
Cabang eksekutif dalam EU kini dilaporkan sedang menyediakan draf untuk undang-undang tersebut yang akan dibentangkan pada bulan hadapan. Sebelum ini, Apple mengatakan tindakan tersebut akan menjejaskan inovasi dan akan meningkatkan jumlah bahan buangan kerana pelanggan terpaksa membuang kabel dan pengecas lama mereka dan menggantikannya dengan yang baru.
Adakah anda bersetuju dengan tindakan EU ini? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Reuters







