MediaTek telah melancarkan cipset Helio G91 terbaharu dengan peningkatan daripada Helio G88 yang diperkenalkan tiga tahun lalu. System-on-chip (SoC) baharu ini direka untuk meningkatkan prestasi dan keupayaan telefon pintar bajet.
Ia menawarkan sokongan untuk paparan FHD+ 90Hz dan penderia kamera utama sehingga 108MP, peningkatan yang ketara daripada sokongan 64MP seperti sebelum ini. Konfigurasi CPU okta-teras Helio G91 termasuk dua teras Arm Cortex-A75 yang berjalan sehingga 2.0GHz dan enam teras Cortex-A55 pada 1.8GHz diganding bersama GPU ARM Mali-G52 MC2 pada 1.0 GHz.
G91 mempunyai sokongan untuk memori LPDDR4x sehingga 8GB serta storan eMMC 5.1. Selain itu, MediaTek turut menyertakan sokongan fotografi lanjutan seperti bokeh dwi kamera, penstabilan imej elektronik (EIS) dan Rolling Shutter Compensation (RSC).
Ia juga menampilkan teknologi permainan MediaTek HyperEngine yang direka untuk mengoptimumkan prestasi CPU, GPU serta memori berdasarkan faktor kuasa, haba dan permainan masa nyata. Cipset ini menyokong dwi 4G VoLTE serta Wi-Fi 5. Terakhir, G91 menyertakan enjin navigasi inersia untuk penjejakan lokasi yang tepat di kawasan tanpa perkhidmatan GPS.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Mediatek







