fbpx
More

    Adakah anda masih boleh gunakan telefon atau peranti dengan versi Android lama? Ini yang anda perlu tahu:

    Pada waktu ini, kebanyakan jenama telefon pintar dengan sistem operasi Android menjanjikan tempoh kemas kini utama (major updates) selama sekurang-kurangnya dua tahun dan kemas kini keselamatan (security updates) selama sekurang-kurangnya tiga tahun. Ada juga yang menawarkannya sehingga tujuh tahun, seperti yang berlaku untuk siri Samsung Galaxy S24.

    Kami sentiasa mencadangkan anda untuk dapatkan peranti yang boleh menggunakan sistem operasi Android terkini kerana ia lebih mudah diurus dan anda boleh nikmati pelbagai fungsi menarik, namun ada kalanya peranti yang sudah lama pun masih berfungsi dengan baik.

    Atau mungkin anda sendiri rasa sukar untuk berpisah dengan peranti lama atas pelbagai faktor. Tidak kisahlah apa-apa pun sebab anda, dalam artikel ini kami ingin menjawab soalan, “Adakah anda masih boleh gunakan telefon atau peranti yang menggunakan versi Android yang lama?”. Teruskan membaca artikel oleh pengarang TechNave Bahasa Inggeris ini untuk mengetahuinya:

    Ya… tapi hanya untuk keadaan tertentu

    Kita semua tahu bahawa peranti yang menggunakan sistem operasi Android yang lama tidak mempunyai tahap keselamatan yang setaraf dengan peranti terkini. Ini adalah kerana peranti tersebut tidak lagi menerima kemas kini keselamatan, dan penggodam atau virus mungkin sudah mengetahui cara untuk menerobos benteng keselamatan sistem operasi dalam peranti tersebut.

    Sungguh pun begitu, ini bukanlah satu isu yang besar jika anda tidak menggunakan peranti tersebut untuk melakukan tugas-tugas melibatkan wang seperti perbankan, atau menggunakannya untuk mengakses internet secara amnya. Ini adalah kerana apabila ia dihubungkan kepada internet, ini adalah salah satu cara penggodam dan virus boleh menceroboh peranti anda.

    Jadi, anda boleh gunakan peranti lama untuk bermain game secara luar talian (offline) atau baca e-buku dan e-komik yang dimasukkan ke dalamnya. Atau anda boleh sekadar gunakan peranti itu untuk mengambil gambar, merakam video dan mencipta kandungan.

    Walaupun demikian, memandangkan hampir setiap filem, video, muzik dan hiburan terkini boleh dinikmati secara penstriman (streaming), ketiadaan internet akan mengehadkan fungsi yang boleh digunakan pada peranti lama anda. Lebih-lebih lagi jika anda bergantung kepada peranti untuk melakukan perbankan melalui kod QR dan transaksi wayarles yang memerlukan hubungan internet.

    Walaupun kami tidak mencadangkan anda gunakan telefon lama untuk tugasan-tugasan penting, peranti yang masih mempunyai sistem operasi Android yang ketinggalan selama satu atau dua tahun masih boleh dipakai dengan selamat (sistem operasi Android yang terkini ialah Android 14).

    Anda juga dinasihatkan untuk melayari laman web yang selamat dan mempunyai reputasi yang boleh dipercayai. Jika anda pergi ke laman web yang mempunyai tawaran aneh seperti skim cepat kaya dan program kewangan yang meragu-ragukan, atau klik pada iklan dan pautan yang mencurigakan, anda boleh mengalami masalah serius. Dengan melawati laman-laman “gelap” ini, ia akan membawa risiko yang tinggi kerana kewujudan malware, virus dan godaman, lebih-lebih lagi untuk peranti dengan versi Android yang lama.

    Tidak… versi yang lebih lama adalah lebih tidak stabil dan tidak selamat

    Betul, dengan tabiat penjagaan yang rapi, peranti Android anda boleh bertahan jauh lebih lama daripada dua tahun. Sungguh pun begitu, dengan sistem operasi yang lebih lama, ia akan menjadi lebih tidak stabil. Ini maksudnya anda tidak boleh pasang aplikasi-aplikasi terkini.

    Jika anda boleh pasang aplikasi terkini sekali pun, ia boleh beku (freeze) atau tersangkut secara tiba-tiba. Adakah anda akan berpuas hati sewaktu menonton Netflix atau YouTube kemudan peranti anda akan jadi tersangkut setiap 10 minit? Atau sewaktu anda memandu, tiba-tiba aplikasi pengemudian GPS terpadam dengan sendiri, pasti anda akan rasa geram.

    Kes seperti ini hanya akan menjejaskan pengguna yang mempunyai peranti versi Android 10 dan ke bawah, jadi jika anda ingin membeli peranti Android yang harganya terlalu murah, mungkin ia mempunyai versi Android yang sudah ketinggalan (kami pernah nampak peranti yang masih menggunakan Android 4.4!)

    Walaupun sebuah peranti lama masih boleh digunakan, lebih baik anda mengabaikannya kerana anda akan mempunyai masalah dalam jangka masa panjang. Jika anda ingin membeli peranti Android versi lama untuk anak yang masih kecil, usah lakukannya kerana anda tidak boleh strim sebarang kandungan dan ia mungkin akan tersangkut.

    Jika anda ingin mengetahui cara untuk membuang peranti lama dengan betul, anda boleh baca panduan kami tentang cara mengurus sisa elektronik.

    Apakah pendapat anda? Adakah anda sendiri menggunakan peranti Android lama? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    [Diterjemahkan daripada TechNave Bahasa Inggeris]

     

    Artikel Terkini

    Zahid Hamidi ingin kerajaan beri tablet kepada setiap pelajar

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan akan memastikan setiap pelajar dan murid dibekalkan dengan sebuah tablet supaya mereka...

    Nokia 3210 rasmi di Malaysia dengan sambungan 4G, port USB-C berharga RM339

    Minggu lepas, HMD melancarkan Nokia 3210 klasik yang diberi nafas baharu dengan sambungan 4G dan port pengecasan USB-C untuk meraikan ulang tahun...

    Apple perkenalkan kawalan peranti dengan mata dan ‘Music Haptics’

    Ketika Google I/O sedang berlangsung, Apple berjaya mencuri perhatian dengan mengumumkan beberapa ciri keupayaan akses yang akan membolehkan orang kurang upaya menggunakan...

    Infinix GT 20 Pro antara telefon terawal sokong MLBB dan PUBG dalam 120 fps

    Infinix yang merupakan penaja telefon gaming rasmi untuk tahun kedua berturut-turut di PUBG MOBILE Super League (PMSL) di Eropah, Rantau Timur Tengah...

    Astro bakal siar semua perlawanan siaran langsung UEFA EURO 2024 di SPOTV

    Astro Malaysia mengumumkan bahawa kesemua 51 siaran langsung perlawanan UEFA EURO 2024 akan disiarkan dalam kualiti Definisi Tinggi (HD) melalui dua saluran...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X