Pada hujung minggu lepas, Acer baru sahaja melancarkan sebuah lagi komputer riba OLED 16 inci paling ringan di dunia iaitu Swift Edge (SFA16-41). Walaupun komputer riba ini kelihatan lebih kurang sama dengan siri Swift yang lain, Swift Edge telah menerima dua anugerah iaitu anugerah Red Dot 2022 dan anugerah Good Design 2022.
Beratnya hanya 1.17kg dan berukuran 12.95mm tinggi. Menggunakan casis magnesium-aluminium ultra nipis menjadikannya komputer riba yang lebih mudah alih dan tahan lama. Ia juga dikuasakan oleh pemproses siri AMD Ryzen 6000 . Cipset ini hadir dengan sehingga 8 teras Zen 3+ berprestasi tinggi yang dibina pada teknologi proses 6 nm termaju.

Terdapat dua model Swift Edge iaitu satu dengan AMD Ryzen 7 6800U dan varian AMD Ryzen 5 6600U. Konfigurasi memori juga berbeza kerana varian yang lebih tinggi menggunakan 1TB Gen4 NVMe SSD dan RAM LPDDR5 16GB manakala yang lain dipasangkan dengan 512GB Gen4 NVMe SSD dan RAM LPDDR5 8GB.
Swift Edge menampilkan paparan 4K OLED beresolusi 3840×2400 dengan sokongan gamut warna 100% DCI-P3, kecerahan puncak 500 nits dan masa tindak balas kurang daripada 0.2ms. Komputer riba ini turut menampilkan bezel nipis dengan nisbah skrin-ke-badan 92%, pensijilan paparan VESA DisplayHDR True Black 500 dan TÜV Rheinland Eyesafe.

Selain itu, ia juga menyokong sambungan generasi akan datang seperti WiFi 6E dan kamera web FHD dengan teknologi Temporal Noise Reduction. Bahagian sambungan terdapat port HDMI 2.1, dua port USB-C 3.2 Gen 2, dua port USB-A dan bicu audio. Daripada segi keselamatan, ia menggunakan pemproses keselamatan tahap 2 Microsoft Pluton.
Swift Edge telah diprapasang dengan Microsoft Office Home & Student 2021 dan waranti dua tahun dengan Waranti Pengembara Antarabangsa. Acer Swift Edge dengan cipset AMD Ryzen 7 dijual pada harga RM6,299 dan AMD Ryzen 5 dijual pada harga RM5,299. Kedua-dua varian boleh didapati di Acer eStore, kedai rasmi Acer di Shopee dan Lazada bermula dari 8 Oktober 2022.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.






