HUAWEI secara rasmi mengumumkan harga dan ketersediaan HUAWEI Pura X View selepas memperkenalkannya secara ringkas bulan lalu. HUAWEI Pura X View menampilkan rekaan skrin lebar bersaiz 6.39 inci dengan nisbah aspek 16:9.5 dan resolusi 2232 × 1320 piksel.
Nisbah skrin yang lebih lebar direka bagi mengurangkan ruang hitam (black bars) ketika menonton video serta memberikan ruang paparan lebih luas untuk dokumen, buku dan permainan video. Skrin peranti menyokong kecerahan puncak 6,500 nits, pemalapan PWM 2160Hz serta bingkai nipis 1.05mm. Ukuran badannya pula mempunyai ketebalan 6.68mm dan berat 201 gram.

Ia dikuasakan cip pemprosesan Kirin 9030S yang digandingkan dengan sistem penyejukan VC liputan penuh dan antena jenis “ring-type gain” untuk kawalan haba dan kualiti isyarat. Selain itu, peranti turut dimuatkan dengan bateri anod silikon berkapasiti 7,000mAh serta sistem empat mikrofon bagi tujuan panggilan dan arahan suara.
HUAWEI Pura X View menjalankan sistem operasi HarmonyOS 7 yang memperkenalkan ciri pemindahan fail jarak jauh Huawei Share. Untuk fotografi, telefon dilengkapi kamera utama 200MP RYYB dengan saiz sensor 1/1.28-inci dan bukaan f/1.8. Sistem fotografinya ditampung oleh sensor warna utama “red maple”, periskop telefoto 50MP serta kamera ultra-lebar 112 darjah.


HUAWEI Pura X View ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu Shadow Red, Linen Gray, Zero White dan Phantom Black. Bagi harga jualan di China, model 12/256GB dijual pada 5,999 yuan (~RM3,625), varian 12/512GB pada 6,999 yuan (~RM4,229) manakala varian tertinggi 12/1TB ditawarkan pada harga 8,499 yuan (~RM5,135).
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







