Qualcomm didakwa sedang menghasilkan versi baharu bagi cipset Snapdragon 8 Elite Gen 5 yang dijadualkan dilancarkan ke pasaran lewat tahun ini. Cip varian baharu membawa nombor model SM8850-1-AB dan dilaporkan mencatatkan markah ujian Geekbench 6 yang hampir serupa dengan Snapdragon 8 Elite Gen 5 standard.
Walau bagaimanapun, cipset dijangka ditawarkan pada tanda harga lebih rendah berbanding model standard bersiri SM8850-AC. Menurut pendedahan, cip tersebut akan digunapakai pada peranti yang berada dalam lingkungan harga bawah CNY 4,000 (~RM2,417).

Langkah ini membolehkan pengeluar menawarkan pemproses berprestasi tinggi pada penawaran peranti yang lebih mampu milik. Jika dilancarkan, ia bakal menjadikan SM8850-1-AB sebagai variasi keempat dalam keluarga cipset berkenaan.
Sebelum ini, Qualcomm telah menawarkan versi standard SM8850-AC, versi tujuh teras SM8850-5-AC pada Oppo Find N6 serta versi SM8850-1-AD yang digunakan oleh Samsung untuk siri Galaxy S26 dan Galaxy Z Fold8.
Pengenalan versi terbaharu dijangka menjadi pilihan utama bagi pengeluar telefon pintar kategori flagship killer yang mahu mengekalkan nisbah harga dan prestasi tinggi tanpa perlu beralih ke cipset generasi seterusnya, Snapdragon 8 Elite Gen 6, yang diramal lebih mahal.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Weibo







