Samsung telah mengumumkan perkembangan penghasilan DRAM GDDR7 24GB yang pertama di dunia yang direka untuk memenuhi keperluan pengkomputeran AI generasi akan datang. Cip memori baharu ini bukan sahaja kapasiti terbesar tetapi juga terpantas dalam industri.
Ia dijangka akan digunakan dalam GPU teratas tahun depan dan memberikan peningkatan ketara dalam prestasi serta kecekapan tenaga. Samsung memperkenalkan cip memori DRAM GDDR7 24GB yang dilengkapi teknologi Pulse-Amplitude Modulation (PAM3) yang boleh mencapai kelajuan pemindahan data sehingga 40Gbps.

Ini adalah peningkatan 25% berbanding cip GDDR generasi sebelumnya. Dalam persekitaran tertentu, ia juga boleh mencapai kelajuan setinggi 42.5Gbps. Cip memori ini dibina menggunakan proses pembuatan 10nm generasi ke-5 Samsung. Walaupun memiliki lebih banyak memori, saiz cip kekal sama seperti versi terdahulu.
Samsung juga telah menjadikan cip ini lebih cekap tenaga, mengurangkan penggunaan kuasa sebanyak 30% melalui pilihan reka bentuk pintar seperti pengurusan kawalan jam dan sistem dwi VDD. Untuk mengurangkan kuasa tersisa, Samsung menggunakan teknik power gating yang membantu mengawal kebocoran kuasa.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Samsung







