Polisi tarif import yang diperkenalkan oleh Presiden Donald Trump telah mencetuskan pelbagai reaksi terutamanya dalam sektor teknologi. Pada awalnya, peranti elektronik seperti telefon pintar dan komputer riba turut termasuk dalam senarai barang yang dikenakan tarif, namun ia telah dikecualikan buat sementara waktu.
Difahamkan, Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook, memainkan peranan penting dalam mendapatkan pengecualian ini. Menurut laporan The Washington Post, Cook berjaya menghubungi Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick, minggu lalu untuk menjelaskan bagaimana tarif tersebut boleh menyebabkan harga iPhone meningkat.
Beliau juga dipercayai berbincang dengan pegawai kanan Rumah Putih tanpa mengkritik dasar Trump secara terbuka yang merupakan satu pendekatan berhati-hati yang dilihat memberi kesan positif. Namun, pengecualian ini hanya bersifat sementara.
Dalam laporan terbaharu, Lutnick memberitahu ABC News bahawa pihak kerajaan masih mempertimbangkan untuk mengenakan “tarif tumpuan khas” ke atas peranti elektronik seperti telefon dan komputer riba terutamanya yang berkaitan dengan industri semikonduktor. Bagi yang kurang arif, tarif merupakan cukai yang dikenakan ke atas barangan import.
Tujuannya adalah untuk melindungi perniagaan tempatan agar mampu bersaing dengan produk luar negara. Sebagai contoh, kereta buatan tempatan seperti Proton berbanding kereta jenama asing. Namun, peranti pintar seperti iPhone bukanlah produk biasa. Ia menggunakan komponen dari pelbagai negara termasuk China yang kini dikenakan tarif import tinggi sehingga 245% ole AS.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







