fbpx
More

    Ulasan Canon EOS R6: Kamera “full-frame” yang bagus untuk gambar, kurang untuk video

    Kamera tanpa cermin (mirrorless) dengan sensor bingkai penuh (full-frame) biasanya hanya akan digunakan oleh ahli fotografi profesional kerana harganya yang sangat mahal. Namun kadangkala syarikat kamera ada menghasilkan kamera-kamera bingkai penuh yang lebih murah dan ditujukan kepada penggemar hobi fotografi, dan Canon EOS R6 adalah salah satu daripada kamera tersebut.

    Walaupun ia tidak mempunyai resolusi yang tinggi seperti pada “abangnya” Canon EOS R, tidak bermakna EOS R6 adalah kamera yang tidak mempunyai kelebihannya sendiri. Selain harganya yang lebih murah, EOS R6 mempunyai penstabilan dalam badan (in-body stabilisation, IBIS) dan rakaman video 4K 10-bit sehingga 60 bingkai sesaat (fps). Jadi adakah Canon EOS R6 kamera bingkai penuh yang terbaik untuk mereka yang tidak ingin berbelanja besar? Ayuh baca ulasan kami untuk mengetahuinya.

    Daripada segi luaran, Canon EOS R6 mempunyai badan yang agak kompak berbanding kamera tanpa cermin yang lain. Malah, kamera ini juga agak ringan dengan hanya 680g termasuk bateri tanpa lensa dipasang, jadi ia tidak akan terlalu membebankan beg kamera anda. Walaupun apabila ia digabungkan dengan lensa RF 24-105mm f/4L IS USM, kamera ini masih tidak rasa terlalu berat.

    Untuk ruang genggaman (grip) pula, EOS R6 memberikan genggaman yang selesa di belah kanan untuk tangan saya yang agak besar. Badan magnesiumnya pula adalah kukuh seperti yang anda boleh jangkakan daripada Canon dan ia adalah kalis kepada renjisan air dan debu, namun perlu diingati bahawa ia bukanlah kalis air sepenuhnya.

    Di belakang, kamera ini dilengkapi skrin sentuh LCD berukuran 3.0 inci yang boleh dipusing ke tepi dan ke hadapan, menjadikannya kamera bingkai penuh yang sesuai untuk kegunaan vlogging atau rakaman swafoto dalam studio. Jika anda jenis yang lebih gemar menggunakan pemidang tilik elektronik (electronic viewfinder, EVF), skrin tersebut mempunyai 3.69 juta titik (dots) yang memberikan butiran gambar jelas serta kadar segar semula yang tinggi.

    Selain daripada itu, EOS R6 mempunyai pelbagai butang yang boleh dijangka daripada kamera pada taraf ini, di mana kebanyakan butang boleh diprogramkan mengikut kesesuaian anda. Di sebelah kanan EVF terdapat sebatang joystick kecil yang boleh digunakan untuk mengubah titik fokus serta tetapan lain. Kehadiran dua roda kawalan (control dial) juga akan memudahkan anda untuk mengawal kamera secara manual sepenuhnya.

    EOS R6 turut dilengkapi pelbagai port untuk meluaskan kegunaannya, termasuklah bicu audio 3.5mm berasingan untuk mikrofon dan fon telinga, port USB-C untuk pengecasan, port micro HDMI serta bicu 2.5mm untuk alat kawalan jauh. Terdapat juga dua slot kad memori yang boleh menyokong kelajuan UHS-II.

    Apabila anda menghidupkan kamera ini, sistem menu yang terdapat dalam EOS R6 adalah agak rumit. Mujur skrinnya menyokong sentuhan penuh, jadi anda hanya perlu menyentuh skrin untuk membelek-belek ruangan menu. Ini adalah satu kelebihan yang penting kerana terdapat banyak kamera daripada jenama lain yang mempunyai skrin sentuh, namun sentuhan hanya dihadkan untuk beberapa fungsi asas sahaja. Saya sudah terbiasa dengan sistem menu kamera Sony jadi saya akui agak kekok untuk saya mengendali menu EOS R6. Pastikan anda bersedia untuk meluangkan sedikit masa untuk mempelajari selok-belok menu EOS R6 selepas anda membelinya.

    Kini mari kita mengulas tentang prestasi fotografinya. Teknologi autofokus phase-detect (PDAF) Dual Pixel CMOS berfungsi dengan sangat baik untuk memudahkan anda mengambil gambar yang jelas dengan pantas, jadi ia sesuai untuk mengambil gambar subjek yang bergerak laju seperti burung, kereta, atlit dan sebagainya. Autofokus EOS R6 juga boleh menjejak (track) mata atau muka subjek dengan pantas, malah ia juga boleh digunakan untuk mata haiwan.

    Penstabilan IBIS lima paksi dalam EOS R6 juga amat membantu dalam mengambil gambar di luar tanpa bantuan tripod. Walaupun dengan kelajuan shutter yang agak perlahan untuk penggambaran pada waktu malap, saya masih boleh mengambil gambar dengan jelas.  

    Kadar penggambaran EOS R6 juga agak pantas, dengan 12 fps menggunakan shutter mekanikal dan 20 fps menggunakan shutter elektronik. Mungkin ia tidak selaju beberapa kamera di luar sana yang boleh mencapai 25 fps, namun jika anda tidak mengambil gambar subjek yang sepantas lipas kudung, kadar 20 fps sudah lebih daripada memadai untuk kebanyakan situasi.

    Seperti yang anda boleh harapkan pada kamera bingkai penuh, EOS R6 boleh mengambil gambar pada waktu malap dengan baik, di mana nilai ISO boleh ditinggikan sehingga 25,600 sebelum noise muncul dalam gambar. Fail JPG yang dihasilkan dalam kamera juga nampak kemas dan cantik.

    Dengan prestasi fotografi yang bagus, adakah prestasi video EOS R6 setaraf dengan fotografinya? Daripada segi spesifikasi, kamera ini mempunyai kebolehan rakaman yang baik, dengan resolusi 4K 60p 10-bit, rakaman HDR, profil warna C-Log, autofokus Dual Pixel yang boleh mengunci fokus pada subjek saya dengan pantas serta IBIS yang lancar untuk rakaman bergerak.

    Walau bagaimanapun, kebolehan rakaman EOS R6 dihadkan dengan satu isu yang agak besar di mana ia akan menjadi terlalu panas dan berhenti merakam selepas lebih kurang 25 minit jika anda merakam dalam 4K. Ini tentu akan menyukarkan sebarang kerja yang melibatkan rakaman panjang seperti yang sering kami lakukan dalam studio TechNave.

    Turut mengeruhkan keadaan adalah EOS R6 memerlukan masa yang agak lama untuk melesapkan haba dan kembali berfungsi seperti biasa. Jika anda menggunakan kamera tanpa menunggu haba untuk hilang sepenuhnya, anda hanya boleh merakam selama beberapa minit sebelum ia berhenti berfungsi.

    Canon EOS R6 boleh menjadi terlalu panas dengan cepat sewaktu rakaman 4K

    Ini membuatkan EOS R6 sukar dicadangkan untuk kegunaan dalam tempoh lama seperti temu bual, acara perkahwinan, rakaman muzik, rakaman studio dan sebagainya. Kami di TechNave sendiri sering meluangkan masa lebih sejam untuk merekod video YouTube kami, jadi kamera yang cepat panas seperti EOS R6 memang tidak boleh dipakai. Isu ini tidak muncul jika anda merakam menggunakan resolusi 1080p, tetapi anda tidak akan mendapat butiran yang jelas seperti dalam resolusi 4K.

    Selain daripada itu, mutu video yang dihasilkan daripada EOS R6 nampak cantik, terutamanya video 4K yang nampak amat jelas. Malah dengan saiznya yang agak kompak, ia sesuai dijadikan kamera vlogging atau pun untuk merekod detik-detik istimewa bersama keluarga dan rakan-rakan. Autofokusnya juga mampu menjejak subjek saya dengan selesa tanpa sebarang peralihan fokus (focus hunting). Buat mereka yang gemar menyunting video, rakaman C-Log 10-bit boleh memberikan ruang pelarasan warna (colour grading) yang lebih luas sewaktu pasca penerbitan.

    Jadi adakah Canon EOS R6 yang dijual pada harga RM11,999 (badan sahaja) berbaloi dengan harganya? Jika anda inginkan kamera bingkai penuh hanya untuk mengambil gambar, kami merasakan kamera ini adalah sangat mantap memandangkan ia lebih murah berbanding kamera bingkai penuh yang lain.

    Walau bagaimanapun, jika anda adalah ahli videografi profesional yang sering mengambil video dalam tempoh yang lama, sukar untuk kami cadangkan EOS R6 kerana isu habanya. Jika anda tak kisah dengan video 1080p, barulah kamera ini sesuai untuk dijadikan alat rakaman. Alternatif yang sesuai kepada EOS R6 adalah Canon EOS R, Sony Alpha 7C atau Sony α7 III.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Ciri teknologi dan spesifikasi

    • Dimensi: 138.4mm × 97.5mm × 88.4mm
    • Berat: 680g
    • Sensor full-frame CMOS 20.1 MP
    • Pemproses imej DIGIC X
    • Pemasangan lensa Canon RF
    • Dua ruang kad memori, bicu audio 3.5mm untuk fon telinga dan mikrofon, port USB-C, port micro HDMI, port 2.5mm untuk alat kawalan jauh
    • Jurang ISO 100-102,400
    • Kelajuan shutter mekanikal dan elektronik 1/8000 hingga 30 saat
    • Rakaman video sehingga 4K 60p
    • Penstabilan lima paksi dalam badan (IBIS)
    • Skrin LCD sentuh 3.2 inci
    • Resolusi EVF 3.7 juta titik

    Kelebihan: Harga murah untuk kamera bingkai penuh, kebolehan fotografi yang sangat baik

    Kekurangan: Isu kepanasan sewaktu merakam video 4K

    Kesimpulan: Sesuai untuk penggemar fotografi yang inginkan kamera bingkai penuh sekadar hobi atau kerja sambilan

     

    Artikel Terkini

    Nothing mengacah produk audio yang akan datang tidak lama lagi

    Nothing yang merupakan jenama dengan reka bentuk yang menarik kini telah menyiarkan pengacah rasmi mengenai pelancaran produk audio yang akan datang. Seperti...

    Selepas PDRM, Imigresen mungkin turut akan menggunakan kamera badan

    Sebelum ini, kami laporkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memakai kamera badan secara beransur-ansur mulai Oktober ini. Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)...

    Fungsi Gemini dalam Google Messages kini tersedia untuk pengguna di Malaysia

    Google Gemini merupakan bot sembang AI oleh Google dengan model berbilang bahasa. Namun, untuk mengakses Gemini Ultra, anda perlu melanggan pelan Google...

    Imej janaan Google Pixel 9 tertiris tanpa kanta periskop, model XL turut bakal dilancar

    Sebelum ini, terdapat imej janaan yang tertiris menunjukkan pandangan pertama Google Pixel 9 dan 9 Pro. Kini, sumber mendedahkan bahawa model standard...

    Fahmi Fadzil: Kerajaan akan bincang mengenai model rangkaian dwi 5G minggu depan

    Satu mesyuarat mengenai model rangkaian dwi 5G dijangka diadakan minggu depan menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. Beliau mendedahkan perkara ini semasa pelancaran...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X