More

    Ulasan HONOR 400 Pro – Telefon “mid-range” dengan AI inovatif

    Untuk telefon kelas pertengahan (mid-range) yang dilancar pada 2025, kita sudah boleh jangkakan pelbagai fungsi kecerdasan buatan (AI) yang terdapat di dalamnya, di mana sebelum ini biasanya ia hanya dikhaskan untuk telefon andalan (flagship). HONOR 400 Pro merupakan salah satu telefon kelas pertengahan 2025 yang sarat dengan fungsi AI, selain daripada pelbagai spesifikasi lain yang canggih dan mengasingkannya daripada telefon jenama lain.

    Antara fungsi AI unik yang terdapat pada telefon ini adalah AI Image to Video yang boleh menukarkan sebaran imej kepada video pendek, serta lain-lain fungsi AI yang standard. Spesifikasi dalamannya juga menarik, dengan cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 dan pengecasan pantas 100W, dan ia dijual pada harga yang agak kompetitif iaitu RM2,699.

    Jadi adakah ini telefon kelas pertengahan yang paling berbaloi pada tahun ini? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya.

    Rekaan – Kemas dengan corak minimalis

    Saya tidak pasti jika saya seorang sahaja yang berfikir seperti ini, namun imej pertama yang timbul dalam minda saya apabila saya melihat rekaan belakang telefon ini adalah susunan lensanya nampak seperti Mickey Mouse, dengan tiga bulatan hitam yang disusun seperti hidden Mickey.

    Rekaan belakang HONOR 400 Pro
    Bonggol kamera nipis menempatkan tiga lensa
    Bahagian sisi yang melengkung
    Skrin dengan lubang berbentuk pil di bahagian atas

    Apa-apa pun, HONOR 400 Pro mempunyai rekaan yang nampak kemas, dengan bonggol kamera yang tidak terlalu tebal. Warna yang kami dapat ini ialah biru Tidal Blue dan ia menampilkan corak garisan air. Jika anda tidak berminat dengan warna ini, ia turut ditawarkan dalam warna kelabu Lunar Grey dan hitam Midnight Black, dan kedua-dua warna ini tidak mempunyai sebarang corak.

    Untuk sudahannya, ia mempunyai permukaan matte yang tidak meninggalkan kesan cap jari langsung. Bahagian sisinya pula agak melengkung jadi ia agak selesa apabila digenggam. Telefon ini turut mempunyai rating kalis air IP69 yang bermaksud ia kalis debu sepenuhnya serta dilindungi daripada air, termasuklah daripada semburan air yang deras.

    Telefon ini didatangkan bersama sarung lutsinar di dalam kotak, namun saya perlu katakan bahawa sarung ini nampak agak aneh kerana ia tidak muat dengan HONOR 400 Pro.

    Sarung lutsinar yang disertakan dalam kotak, tidak boleh dipakai, malah saiz lubang untuk bonggol kamera pun tidak sama

    Spesifikasi – Setaraf flagship 2024!

    Berikut merupakan spesifikasi penuh untuk HONOR 400 Pro: 

    "
    "
    • Skrin AMOLED 6.55 inci, resolusi 1.5K (2736×1264), kadar segar semula 120Hz, kecerahan puncak 5,000 nits
    • Cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3
    • RAM 12GB
    • Storan 512GB
    • Kamera utama 200MP + kamera ultra-lebar 12MP + kamera telefoto 50MP
    • Kamera hadapan 50MP
    • Bateri 6,000mAh
    • Pengecasan pantas 100W, pengecasan wayarles 50W
    • Pembesar suara stereo
    • Sistem pembesar suara Android 15 dengan MagicOS 9.0
    • Sokongan Wi-Fi 6, Bluetoof 5.4
    • Harga: RM2,699
    Ringkasan spesifikasi HONOR 400 Pro

    Saya rasa kita sudah biasa dengan kehadiran skrin AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz dalam telefon kelas pertengahan, jadi ia memang akan menghasilkan pengalaman tontonan yang cantik untuk filem dan game. Kecerahan puncak setinggi 5,000 nits juga bermaksud ia boleh dilihat dengan mudah bawah cahaya matahari terik.

    Perkara yang lebih menarik adalah ia menggunakan cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3, iaitu cipset yang banyak digunakan dalam telefon andalan pada 2024.

    Ini bermaksud HONOR 400 Pro boleh menghasilkan prestasi yang sangat tinggi. Walaupun ia tidak setaraf dengan Snapdragon 8 Elite yang digunakan oleh telefon andalan tahun ini, Snapdragon 8 Gen 3 sememangnya masih relevan untuk tahun ini dan akan menawarkan prestasi pantas dalam game atau kegunaan harian.

    Untuk pasaran Malaysia, ia hanya ditawarkan dalam satu varian memori sahaja iaitu RAM 12GB dan storan dalaman 512GB. Saya berpendapat ini adalah jumlah RAM yang cukup untuk kebanyakan tugas, dan storan ini juga cukup besar dan tiada masalah walaupun telefon ini tidak mempunyai kad microSD.

    Kapasiti baterinya juga sangat besar iaitu 6,000mAh, serta turut menyokong kadar pengecasan yang sangat tinggi iaitu 100W SuperCharge dan pengecasan wayarles 50W. Kadar ini adalah lebih tinggi daripada sesetengah telefon lain yang jauh lebih mahal, dan lebih menarik, pengecas 100W turut disertakan dalam kotak!

    Antara muka (UI) HONOR 400 Pro, ia tidak mempunyai App Drawer seperti kebanyakan telefon Android lain

    Sistem operasinya menggunakan Android 15 dengan antara muka MagicOS9 dan ia bakal menerima kemas kini selama enam tahun. Ia menampilkan pelbagai fungsi AI seperti AI Image to Video, AI Cutout dan AI Eraser. Saya akan ulas mengenai prestasi AI dalam seksyen seterusnya.

    Prestasi – Mantap untuk hampir semua tugas

    Berikut adalah markan penanda aras untuk HONOR 400 Pro yang kami sudah lakukan:

    Geekbench menunjukkan ia mempunyai prestasi yang setaraf telefon andalan yang dilancar pada 2024, seperti Samsung Galaxy S24
    Ujian 3DMark Wild Life Stress Test selama 20 minit menunjukkan prestasinya menurun daripada Minit 1 hingga Minit 6, namun ia berjaya menstabilkan prestasinya sehingga minit ke-20
    Game CarX Street boleh dimainkan dengan tetapan grafik tinggi tanpa sebarang masalah

    Ternyata, ia mempunyai prestasi yang mampu menyaingi telefon andalan tahun lepas dan lebih daripada mampu untuk melakukan tugas-tugas harian seperti melayari laman web, menonton video, melayari media sosial dan sebagainya. Untuk gaming yang berat pun, telefon ini boleh memainkannya tanpa sebarang masalah dalam grafik yang tinggi, malah suhunya suam sekitar 40°C sahaja.

    Untuk hayat bateri, saya berpendapat ia mempunyai hayat yang sangat cemerlang. Saya pernah menggunakannya sejak pagi kemudian sehari suntuk saya menggunakannya untuk mengambil banyak gambar dan video, memandu menggunakan Google Maps serta menonton filem dalam Netflix, dan pada waktu malam saya masih mempunyai baki sekitar 40%.

    Sejak pengecasan penuh pada waktu pagi, walaupun saya banyak menggunakan kamera, GPS dan menonton Netflix sepanjang 12 jam, ia masih mempunyai baki 50% pada waktu malam
    Pengecasan daripada 10% hingga 80% mengambil masa 35 minit, manakala hingga 98% mengambil masa 45 minit
    Anda perlu aktifkan sendiri jika anda inginkan kadar pengecasan maksimum, dengan menekan lama pada tengah-tengah skrin

    Pengecasannya juga sangat pantas, di mana jika saya mengecas menggunakan pengecas 100W yang disertakan dalam kotak, pengecasan selama 30 minit sudah cukup untuk mengecas dari 10% hingga 80%, manakala pengecasan penuh mengambil masa 45 minit. Perlu diingati bahawa jika anda ingin aktifkan kadar pengecasan maksimum 100W, anda perlu aktifkannya secara manual. Suhu telefon juga akan jadi sangat panas, jadi saya tidak galakkan anda mengecas sambil menggunakan telefon ini.

    Kini saya ingin mengulas mengenai prestasi kameranya. Kualiti kameranya nampak sangat cantik dalam situasi terang dan malap. Pada waktu ini, memang boleh dijangka untuk telefon kelas pertengahan menghasilkan gambar yang cantik dalam situasi terang, namun gambar yang cantik boleh juga diambil dalam situasi malap dengan jumlah noise yang rendah. Sungguh pun demikian, saya berpendapat kualiti swafoto mungkin agak hambar jika dibandingkan dengan telefon kelas pertengahan lain, terutamanya jika ia diambil dalam bangunan.

    Gambar kamera utama
    Gambar ultra-lebar
    Gambar kamera utama
    Gambar kamera utama
    Gambar ultra-lebar
    Gambar zum 3x
    Gambar kamera utama
    Gambar mod malam
    Gambar mod malam
    Gambar mod malam
    Gambar swafoto potret
    Gambar swafoto potret

    Perbandingan zum 1x, zum 3x, zum 5x, zum 10x, zum 30x dan zum 50x

    Untuk rakaman video, anda boleh rekod menggunakan kamera belakang hingga resolusi 4K 60fps, manakala kamera hadapan boleh merakam video 4K 30fps sahaja. Kualiti videonya nampak memuaskan dan penstabilannya nampak bagus walaupun jika anda merakam sambil berjalan.

    Sekarang saya ingin ulas mengenai fungsi-fungsi AI pula. Ciri AI utama pada HONOR 400 Pro adalah ia merupakan telefon pertama dalam dunia yang dilengkapi AI Image to Video yang boleh menukarkan gambar kepada video pendek. Fungsi ini memang menarik (dan mungkin sedikit menakutkan) namun kadang-kala video yang dihasilkan itu bukanlah video yang saya mahukan. 

    Sebagai contoh, sewaktu sesi taklimat media untuk HONOR 400 Pro, saya mengambil gambar dengan gaya berlari, dan saya harapkan fungsi AI Image to Video boleh hasilkan video saya berlari, namun apa yang berlaku adalah dinosaur di latar belakang pula yang bergerak, manakala saya statik sahaja. Berikut adalah beberapa contoh AI Image to Video yang saya sudah lakukan:

    Perlu juga diingati bahawa fungsi AI Image to Video hanya boleh digunakan sebanyak 10 kali sehari. Jadi ini mungkin akan menyukarkan anda untuk tukar setiap gambar anda kepada video pendek. 

    Fungsi AI lain seperti AI Cutout dan AI Eraser berfungsi dengan sangat baik, dengan potongan yang kemas untuk AI Cutout, manakala AI Eraser boleh mengisi ruang kosong dengan teknologi AI generatif yang nampak kemas.

    AI Eraser boleh memadamkan orang di belakang saya dengan kemas
    AI Cutout juga boleh memotong subjek dalam gambar dengan tepat dan kemas

    Kesimpulan – Mid-range bagus, walaupun dengan gimik AI

    Secara keseluruhan, HONOR 400 Pro merupakan sebuah telefon kelas pertengahan yang mantap dan sangat berbaloi dengan harganya. Ia mempunyai skrin yang cantik, cipset hampir flagship yang boleh memainkan pelbagai game terkini dengan prestasi yang bagus, hayat bateri yang lama dan pengecasan yang sangat pantas (siap ada pengecas dalam kotak!).

    Jika anda mengharapkan fungsi AI yang lengkap pada HONOR 400 Pro, mungkin anda akan berasa agak kecewa kerana saya berpendapat implementasi AI Image to Video masih lagi tidak sempurna dan saya berharap HONOR akan melakukannya dengan lebih baik dengan kemas kini pada masa hadapan.

    Untuk alternatif yang sesuai, anda boleh lihat pada HONOR 400 (RM1,899) yang menawarkan segala ciri AI pada HONOR 400 Pro, namun HONOR 400 mempunyai cipset yang lebih perlahan, kadar pengecasannya lebih rendah dan ia tidak mempunyai kamera telefoto. Selain itu, realme GT 7 (RM2,599) juga mempunyai prestasi yang serupa dengan HONOR 400 Pro, namun telefon realme ini tidak mempunyai ciri AI yang setaraf HONOR 400 Pro. Jika anda mahukan telefon yang mempunyai rekaan yang menarik perhatian, OPPO Reno13 (RM2,299) adalah alternatif yang menarik.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Misteri video tular TV “diganggu” terbongkar, ini situasi sebenar yang berlaku

    Baru-baru ini, sebuah video yang tular di media sosial telah mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen. Melalui video tersebut, dua orang lelaki...

    Nvidia belum selesai isu lama, RTX 5090 kembali cetus kontroversi kabel kuasa cair

    Isu kabel kuasa cair pada kad grafik Nvidia nampaknya masih belum berakhir. Walaupun standard 12V-2×6 diperkenalkan untuk menggantikan masalah lama 12VHPWR, laporan...

    “Power bank” bakal pupus? HONOR mungkin hasilkan telefon dengan bateri 14,000mAh

    Kapasiti bateri telefon pintar nampaknya terus meningkat dan HONOR mungkin bakal menjadi antara pengeluar yang tolak trend itu lebih jauh. Menurut sumber,...

    Era game mahal bermula? GTA 6 diumum dengan harga permulaan RM339

    Selepas berbulan-bulan spekulasi dan pelbagai kebocoran harga, Rockstar akhirnya mengesahkan tanda harga rasmi untuk Grand Theft Auto VI (GTA 6). Pemain yang...

    Insta360 Luna Ultra rasmi di Malaysia – Sensor 1 inci dan sokong rakaman 8K...

    Insta360 hari ini melancarkan Luna Ultra untuk pasaran Malaysia iaitu kamera gimbal mercu baharu yang dibangunkan bersama Leica. Ditawarkan pada harga bermula...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    Ulasan Edifier W60 – Pilihan bajet dengan audio Hi-Res

    Edifier W60 merupakan fon telinga wayarles jenis over-ear yang direka khusus bagi pengguna yang mahukan fungsi pembatalan hingar aktif (ANC) pada harga...

    Ulasan vivo X300 Pro – Kamera ZEISS generasi baru untuk vivo!

    Dengan 2025 yang semakin hampir kepada penamatnya, vivo Malaysia tidak ketinggalan untuk melancarkan telefon pintar flagship generasi seterusnya dengan melancarkan vivo X300...