fbpx
More

    Ulasan Razer Blackshark V2 – ‘Headphone’ muktamad untuk penggiat e-sukan serius

    Pada hujung bulan lalu, Razer telah memperkenalkan tawaran terbaru dalam barisan fon kepala (headphone) gaming iaitu Razer Blackshark V2 yang dipasarkan sebagai sebuah produk lengkap dengan pelbagai ciri-ciri khas untuk kegunaan e-sukan. Dengan harga setinggi RM599 sepasang, pelanggan tentunya menjangkakan pengalaman audio yang terbaik dalam fon kepala premium ini. Untuk ketahui sama ada produk Razer ini berbaloi dengan harga tersebut, jom baca ulasan kami di bawah.

    Razer Blackshark V2 bukanlah fon kepala yang kecil dan kompak. Sebaik sahaja ia dibawa keluar daripada kotak, anda boleh lihat keseluruhan saiznya yang besar terutamanya apabila dilihat pada earcup bersaiz lebar serta kusyen yang agak tebal. Namun saiz besar ini bukanlah sekadar pada estetika sahaja kerana ia memang mempunyai fungsinya sendiri.

    Earcup yang besar dan agak dalam serta kusyennya yang tebal akan mengurangkan bunyi daripada luar yang boleh mengganggu anda sewaktu bermain game. Pembatalan hingar dalam Blackshark V2 adalah pasif (passive noise cancellation) yang bermaksud fon kepala ini bergantung pada material dan rekaannya bagi mengurangkan bunyi gangguan daripada luar.

    Rupa Razer Blackshark V2 bersama mikrofon kardioid.
    Tombol kawalan audio yang besar di bahagian kiri.
    Penjenamaan Razer yang halus di atas headphone.
    ‘Earcup’ yang besar dan dalam, dikelilingi kusyen lembut untuk keselesaan serta menutup telinga dengan lebih menyeluruh.
    Bahagian tengah turut dilengkapkan dengan kusyen untuk keselesaan di atas kepala.
    Blackshark V2 dihubungkan melalui kad bunyi USB (kiri) untuk gaming namun jika anda ingin menggunakan headphone ini bersama peranti mudah alih, ia boleh disambung melalui bicu audio 3.5mm (kanan).

    Sebaik sahaja kami mengenakan fon kepala ini pada kepala kami, memang boleh terasa seperti telinga kami terasing daripada bunyi persekitaran. Kusyen yang terdapat pada earcup memang boleh menutup telinga kami dengan baik dan selesa.

    Walaupun fon kepala ini besar, tidak bermakna ia terasa berat di kepala. Dengan berat hanya 262 gram, ia langsung tidak mendatangkan sebarang beban yang berlebihan.  Rekaannya yang fleksibel juga membolehkan ia dipakai secara selesa untuk pelbagai saiz kepala. Sebagai contoh, saiz kepala saya agak besar (untuk rujukan, saiz songkok saya ialah 10) namun saya rasakan Blackshark V2 masih mempunyai ruang untuk dipakai oleh kepala yang lebih besar.

    Headphone ini memang bersaiz besar, hampir 1/3 daripada panjang kepala saya.
    Kusyen yang mengelilingi earcup memang akan menutup telinga anda dengan sempurna.

    Luaran earcup diperbuat daripada plastik namun ini tidaklah bermakna ia nampak murah. Mutu buatannya rasa amat kukuh di tangan, memang sepadan dengan harganya. Majoriti fon kepala ini mempunyai warna hitam kecuali pada sedikit elemen hijau yang memang sudah sinonim dengan penjenamaan Razer. Di bahagian earcup kiri, terdapat tombol (knob) kawalan kelantangan suara, butang bisu (mute) dan juga mikrofon yang boleh dicabut. Dengan kabelnya yang fleksibel, kedudukan mikrofon pula boleh dilaraskan untuk lebih jauh atau dekat dengan mulut anda.

    Walaupun mikrofonnya boleh dicabut, ini tidak bermakna Blackshark V2 sesuai untuk dibawa ke mana-mana. Pada pendapat saya, fon kepala ini direka untuk diletakkan di atas meja komputer dan dibiarkan di situ sahaja. Ini adalah kerana fon kepala ini terlalu besar untuk dimasukkan ke dalam beg manakala earcup pula tidak boleh dilipat untuk membungkuskannya secara mudah. Secara teori, anda boleh menyambungkan fon kepala ini dengan telefon anda melalui bicu audio 3.5mm namun anda akan mempunyai masalah untuk membawa headphone besar ini bersama anda.

    Anda boleh menghubungkan Blackshark V2 dengan komputer melalui bicu audio 3.5mm namun untuk pengalaman terbaik sewaktu gaming, anda perlu hubungkannya menggunakan kad bunyi 7.1 USB. Sebaik sahaja anda memasang kad bunyi, anda diberi pilihan untuk memasang (install) beberapa perisian Razer namun saya menasihatkan anda untuk memasang Razer Synapse sahaja jika anda berminat untuk melaras audio secara terperinci.

    Melalui perisian Razer Synapse, anda boleh mengaktifkan teknologi THX Spatial Audio bagi memudahkan anda untuk mendengar audio persekelilingan (surround sound) dengan lebih jelas. Di sini juga anda boleh menetapkan THX Game Profiles buat beberapa game yang menyokongnya. THX Game Profiles yang baru dilancarkan pada 6 Ogos 2020 adalah tetapan penalaan (tuning) audio yang dilaraskan sendiri oleh pembina game khas untuk Blackshark V2. Pada waktu artikel ditulis, THX Game Profiles hanya disokong oleh 16 game dan akan ditambah lagi pada masa hadapan.

    Pastikan anda memasang Razer Synapse untuk mendapat kualiti audio terbaik daripada Blackshark V2.
    Melalui Razer Synapse, anda boleh melaras pelbagai tetapan audio untuk Blackshark V2.
    Dalam perisian Razer Synapse, game yang menyokong THX Game Profiles akan dipaparkan dengan logo “THX” (contoh pada Battlefield 1) manakala game yang tidak menyokong teknologi itu akan dipaparkan dengan logo controller sahaja (contoh pada Batman: Arkham City dan Battlefield 4)
    Pastikan anda pilih THX Spatial Audio pada tetapan komputer anda untuk nikmati bunyi persekitaran (surround sound) 7.1 yang lebih jelas. Razer USB Sound Card hanya akan memberikan bunyi stereo, bukan bunyi persekitaran.

    Saya rasa teknologi yang terdapat dalam Blackshark V2 ini akan paling dihargai oleh pemain first-person shooter (FPS) yang memerlukan pengawasan persekitaran (situational awareness) tinggi pada setiap masa. Saya telah cuba memainkan game FPS popular seperti Battlefield 4, Battlefiend 1 dan Counter-Strike Global Offensive (CS:GO) dan saya mampu mengenal pasti bunyi kedudukan musuh-musuh saya dengan mudah daripada bunyi-bunyi tembakan senapang dan langkah kaki. Pembatalan hingar pasif juga berfungsi dengan baik untuk membantu saya mendengar bunyi-bunyi penting ini dengan lebih teliti.

    Game seperti Battlefield 4 terkenal dengan kehadiran jet, helikopter dan pelbagai kenderaan pantas yang sering mengubah kedudukannya. Teknologi THX Spatial Audio dalam Blackshark V2 memudahkan saya untuk mengenal pasti kedudukan kenderaan-kenderaan ini dan mengambil langkah yang tepat sama ada untuk mencari perlindungan atau menghapuskannya dengan roket.

    Battlefield 4 mempunyai pelbagai kenderaan yang bergerak pantas dan sering mengubah kedudukan, seperti helikopter ini. THX Spatial Audio membantu saya mengesan posisi sasaran yang bergerak pantas ini.

    Manakala dalam game FPS yang melibatkan pertempuran sesama askar sahaja seperti CS:GO, saya boleh mengenal pasti kedudukan musuh dan kawan dengan jelas melalui bunyi tembakan serta langkah kaki. Dengan maklumat ini saya boleh merancang sama ada untuk menyerang musuh daripada tepi (flanking), secara berhadapan atau tunggu rakan sepasukan untuk membantu saya.

    Mikrofon yang dilengkapi bersama Blackshark V2 juga adalah sangat baik. Saya sebenarnya tidak berpeluang untuk menguji mikrofon dalam game FPS kerana saya bermain dalam pelayan (server) awam tetapi saya telah mengujinya dalam game sosial VRChat, di mana rakan-rakan saya mengatakan kualiti suara saya amat jelas. Malah dengan corak penerimaan satu arah (unidirectional) anda boleh pasti bahawa mikrofon hanya akan menerima bunyi daripada mulut anda sahaja.

    Malah, mikrofon ini juga boleh digunakan untuk membuat komentar secara langsung sewaktu anda menyiarkan (streaming) permainan anda. Mikrofonnya tidaklah sebaik mikrofon condenser seperti HyperX Quadcast, namun saya jamin ia jauh lebih baik daripada mikrofon yang berada pada komputer riba atau earphone daripada telefon anda. Berikut adalah sampel suara daripada mikrofon Blackshark V2 dan perbandingan dengan mikrofon lain:

    Jadi bagaimana dengan pula dengan THX Game Profiles? Selepas bermain dua game yang disokong teknologi itu iaitu Battlefield 1 dan CS:GO, saya rasa ia tidak jauh beza sangat pun dengan THX Spatial Audio yang biasa. Jadi kalau game anda tidak disokong oleh THX Game Profiles usah risau kerana THX Spatial Audio sudah memadai. 

    Mungkin bagi pemain e-sukan yang profesional dan telah meluangkan ribuan jam ke dalam game, mereka mungkin boleh mendengar perbezaannya namun bagi gamers santai seperti saya, THX Game Profiles ini rasa seperti gimik pemasaran yang tidak mempunyai faedah yang besar berbanding THX Spatial Audio. Anda nilai sendiri perbezaannya dalam video pengenalan THX Game Profiles oleh Razer di bawah:

    Walaupun Battlefield 1 menyokong THX Game Profiles, tidak banyak bezanya apabila ia dipasang atau ditutup.

    Jika anda adalah penggiat e-sukan profesional atau serius dalam sesi gaming anda, Blackshark V2 adalah produk yang anda perlu pertimbangkan. Dengan penghasilan audio dan mikrofon yang jelas, ia boleh memberikan lebih kelebihan kepada anda untuk menewaskan musuh dengan pantas. 

    Pada harga RM599, memang ia agak mahal tetapi jika anda dahagakan kemenangan, ini adalah harga yang anda perlu bayar. Untuk makluman, fon kepala ini ada dijual dalam varian yang lebih rendah iaitu Blackshark V2 X berharga RM349, namun ia tidak dilengkapi kad bunyi 7.1 USB jadi saya tidak pasti kalau mutu bunyinya adalah sama dengan Blackshark V2.

    Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk memiliki fon kepala ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Spesifikasi dan ciri-ciri

    Berikut adalah spesifikasi penuh fon kepala Blackshark V2:

    • Jurang frekuensi: 12 Hz – 28 kHz
    • Impedans (Impedance): 32 Ω @ 1 kHz
    • Pemacu (Driver): Pemacu dinamik Razer™ TriForce Titanium 50mm
    • Diameter earcup (dalaman): 65 x 40 mm / 2.56 inci x 1.57 inci
    • Jenis hubungan: Bicu audio 3.5mm dengan kad bunyi 7.1 USB
    • Panjang kabel: 1.8 m / 5.91 kaki
    • Kabel dijahit (braided)
    • Berat kasar: 262 gram / 0.6 paun
    • Kusyen telinga berbentuk bujur dengan pengudaraan (breathable)
    • Pembatalan hingar pasif

    Fon kepala ini dilengkapi mikrofon HyperClear Cardioid Mic yang mempunyai spesifikasi di bawah:

    • Jurang frekuensi: 100Hz-10KHz
    • Nisbah suara-ke-hingar (signal-to-noise): 60dB
    • Kepekaan (sensitivity) (@1kHz): -42dB V/Pa,1KHz
    • Corak penerimaan suara: Satu arah (unidirectional)

    Kelebihan dan kelemahan

    Kelebihan: Rekaan yang sangat ringan dan selesa, pembatalan hingar pasif yang berfungsi dengan baik, kualiti bunyi persekitaran jelas yang memudahkan pemain untuk mengenal pasti ancaman dalam game, mikrofon jelas dan fleksibel

    Kekurangan: Harga yang mahal, sukar untuk dibawa ke mana-mana, THX Game Profiles tidak banyak beza dengan THX Spatial Audio

    Kesimpulan: Sesuai dipakai oleh penggiat e-sukan serius yang meluangkan majoriti masa bermain game serta inginkan kelebihan ekstra untuk menumpaskan pihak lawan

     

    Artikel Terkini

    KWSP bakal umumkan Akaun 3 pada hari ini sebagai Akaun Fleksibel

    Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersedia untuk mendedahkan Akaun 3 atau akaun Fleksibel pada 25 April hari ini, menandakan penstrukturan semula yang...

    AS akan haramkan TikTok jika ia tidak dilepaskan daripada syarikat China

    Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden telah menandatangani satu rang undang-undang yang akan mengharamkan penggunaan platform media sosial TikTok dalam negara itu,...

    Qualcomm umumkan Snapdragon X Plus, cipset komputer riba berasaskan ARM

    Qualcomm Technologies, Inc. memperkenalkan Snapdragon X Plus, mengembangkan portfolio platform siri Snapdragon X yang terkenal. Snapdragon X Plus adalah CPU Qualcomm Oryon...

    WhatsApp sedang uji ciri berkongsi fail tanpa sambungan internet

    WhatsApp sedang bersiap untuk kemas kini penting yang satu memberi tumpuan kepada membolehkan perkongsian fail melalui rangkaian tempatan dan menambah ciri mengambil...

    CelcomDigi perkenalkan pakej “roaming” khas untuk jemaah umrah dan haji

    Syarikat telekomunikasi CelcomDigi kini memperkenalkan pakej perayauan baharu Hajj Roaming Pass yang dikhaskan untuk para pelanggan yang ingin menunaikan ibadat haji atau...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X