fbpx
More

    Ulasan Razer Kishi – ‘Gaming controller’ mudah alih mantap namun gagal berfungsi dengan banyak ‘game’ popular

    Gaming controller untuk telefon pintar biasanya adalah produk yang agak meragukan kerana ia selalunya tidak terlalu responsif serta tidak dapat berfungsi dengan pelbagai jenis telefon atau game. Namun apabila ia boleh digunakan bersama telefon pintar anda, ia membawa tahap kawalan intuitif mirip konsol yang langsung tidak mampu disaingi oleh kawalan skrin sentuh.

    Apabila Razer Kishi Universal Mobile Game Controller diumumkan beberapa minggu lalu, kami berasa agak teruja apabila aksesori ini dikatakan boleh berfungsi dengan kebanyakan telefon, tidak memerlukan bateri dan yang paling penting, ia dibina oleh Razer iaitu sebuah jenama yang sinonim dengan kelengkapan gaming yang bermutu tinggi.

    Jadi apakah yang membezakan Razer Kishi dengan gaming controller yang lain dalam pasaran? Jom baca ulasan kami di bawah.

    Razer Kishi boleh dipasangkan dengan kebanyakan telefon yang mempunyai ukuran dan bentuk tertentu.
    Barang-barang yang anda dapat dalam kotak Razer Kishi.

    Sekali pandang, Razer Kishi nampak dan rasa mengagumkan. Pegangannya (grip) adalah selesa di tangan manakala semua butangnya dan batang kawalan (thumbstick) analog mudah dicapai oleh jari serta rasa amat responsif. Sewaktu ia berada dalam mod kecil, ia mudah dimasukkan ke dalam mana-mana beg. Alat ini tidak memerlukan bateri atau pengecasan, namun masih terdapat penghubung USB Type-C di bahagian pemegang kanan, jadi anda boleh mengecas telefon anda sewaktu bermain game.

    Sebaik sahaja anda membuka kunci di belakang, Razer Kishi akan dipisahkan kepada dua bahagian yang disambungkan dengan sekeping getah elastik dan boleh dipanjangkan untuk dipadankan dengan kebanyakan telefon (sehingga yang berukuran 6.4 inci). Rekaan ini adalah amat baik bagi memudahkan pelesapan haba di belakang. Telefon pintar anda akan dimuatkan ke dalam pemegang silikon untuk cengkaman yang erat tanpa meninggalkan kesan calar. Ia tidak mempunyai masalah untuk memuatkan Samsung Galaxy Note 9 dan Huawei P30 Pro kami, namun sebarang peranti yang lebih besar daripada ini seperti telefon berukuran 7 inci atau tablet mungkin akan mengalami masalah.

    Apabila ia tidak dibuka, Razer Kishi mempunyai saiz yang kecil dan mudah untuk dimasukkan ke dalam beg.
    Kunci di belakang memastikan Razer Kishi kukuh sewaktu dalam mod kecil.
    Port USB Type-C ini boleh digunakan untuk mengecas telefon anda sewaktu sesi ‘gaming’.
    Butang penjuru (shoulder buttons) Razer Kishi sangat responsif.
    Sebaik sahaja anda membuka kunci, anda boleh memisahkannya.
    Ia dihubungkan kepada telefon anda melalui penghubung USB Type-C.

    Satu lagi kekangan yang anda mungkin hadapi adalah Razer Kishi hanya meyokong USB Type-C, jadi jika telefon anda mempunyai microUSB, anda tidak boleh menggunakan alat ini. Proses untuk memasangkan telefon anda dengan Razer Kishi boleh menjadi sesuatu yang agak leceh (beberapa kali terjatuh sewaktu kami memasangnya) namun sebaik sahaja ia dipasang, gabungan telefon pintar dan Razer Kishi bagai pinang dibelah dua; ia rasa sangat selesa seperti pegangan Nintendo Switch. Sungguh pun pembesar suara telah ditutup oleh alat ini, audio tidak menjadi masalah kerana dua pengalir udara yang berada di pemegang kanan memberi laluan kepada bunyi.

    Namun tidak lama selepas itu, kami boleh melihat kekurangan yang terbesar dalam Razer Kishi. Walaupun ia berfungsi secara plug-and-play selepas anda memasangnya, aplikasi Razer Kishi hanya boleh berfungsi dengan beberapa game mudah alih yang lama. Mungkin terdapat beberapa game menarik yang boleh disokong seperti Shadow Fight 3, namun game yang lebih popular pada waktu ini seperti COD Mobile dan PUBG Mobile tidak disokong oleh Kishi dan tetap tidak berfungsi walaupun kami sudah menambahnya secara manual. Selain itu, lebih elok jika aplikasi Kishi mempunyai fungsi carian (search) kerana kami terpaksa menatal (scroll) dengan banyak sewaktu menggunakannya.

    Melalui lubang ini, audio daripada telefon boleh didengari dengan jelas walaupun pembesar suara telah ditutup.
    Rekaan bahagian belakang Razer Kishi membenarkan pelesapan haba.

    Apakan daya, kami teruskan penggunaan Razer Kishi kami dengan game Garou: Mark of the Wolves (yang mempunyai grafik lama namun beroperasi dengan sangat pantas dan lancar) dan kami mendapati kawalan Kishi adalah amat baik dan responsif. Walau bagaimanapun, kami tidak mampu melakukan aksi khas special moves (melibatkan turutan bawah > depan + serangan bebola api) pada batang kawalan analog di sebelah kiri, sebaliknya ia hanya boleh dilakukan pada butang arah dpad. Mujur, kami tidak perlu mengubah banyak tetapan dalam game itu untuk menggunakan Kishi.

    Beralih kepada game yang lebih moden iaitu Shadow Fight 3, Razer Kishi hanya berfungsi sewaktu pertarungan (fights) dan tidak boleh digunakan sewaktu membuat pilihan dalam menu. Mujur batang kawalan kiri berfungsi dengan butang serangan tanpa sebarang lag. Sementara itu, aplikasi pelancaran (launcher) Kishi pula kadang-kala tidak stabil dan menyebabkan game untuk kembali ke laman utama (homescreen). Namun jika anda sambung bermain sejurus selepas itu, ia boleh digunakan tanpa sebarang masalah.

    Secara keseluruhan, Razer Kishi adalah sebuah perkakasan gaming yang sangat menarik. Rekaan dan mutu binaannya sangat kukuh, tidak memerlukan pengecasan, boleh dipasang dengan agak mudah dan langsung tidak mempunyai lag. Malang sekali, ia tidak menyokong game-game yang lebih moden. Daripada segi kekangan peranti pula, ia hanya berfungsi dengan USB Type-C dan tidak boleh dipasangkan bersama tablet.

    Jika anda tidak kisah memainkan game lama, Razer Kishi yang berharga RM369 ini tentunya adalah sebuah alat gaming yang perlu dimiliki. Namun jika anda adalah pemain PUBG atau COD, mungkin anda boleh tunggu lagi atau lihat pada controller yang lain. 

    Jika anda bermain Fortnite, ini mungkin sesuatu yang boleh memanfaatkan anda. Ini adalah kerana Razer memaklumkan kepada kami bahawa Kishi bakal boleh menyokong semua game Android yang menyokong controller HID (human interface devices) seperti Fortnite. Mungkin pembina PUBG dan COD juga bakal menambahkan sokongan ini pada masa depan.

    Adakah Razer Kishi bakal menjadi peranti gaming wajib anda? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Ciri-ciri dan spesifikasi teknologi

    Berikut adalah ciri-ciri dan spesifikasi teknologi Razer Kishi:

    • Batang kawalan analog yang boleh ditekan (clickable)
    • Boleh dimuatkan dengan pelbagai saiz telefon
    • Latency ultra-rendah
    • Membenarkan pengecasan telefon daripada palam elektrik (pass through charging)
    • Rekaan ergonomik

    Keperluan sistem:

    • Port USB Type-C atau Lightning yang berada di tengah-tengah telefon
    • Android 8.0 atau lebih tinggi
    • iOS 9 atau lebih tinggi
    • Samsung Galaxy S8/S8+/S9/S9+/S10/S10+/S20/S20+/Note 8/Note 9/Note 10/Note 10+
    • Google Pixel 2/2 XL/3/3XL/4/4XL
    • Razer Phone 1 & 2
    • iPhone 11/11 Pro/11 Pro Max, iPhone XR/XS/XS Max
    • Had ukuran peranti yang boleh dimuatkan: (Tinggi: 145.3 – 163.7mm, Lebar: 68.2-78.1mm, Ketebalan: 7.0-8.8mm)

    Kelebihan – Rekaan ergonomik yang sinonim dengan kualiti Razer, tidak mempunyai lag, tidak memerlukan bateri

    Kekurangan – Hanya berfungsi dengan USB Type-C, saiz telefon tertentu dan sesetengah game lama

    Kesimpulan – Mantap jika anda bermain game yang boleh dimainkan dengan Razer Kishi

     

    Artikel Terkini

    Siri iQOO Z9 5G dilancar di Malaysia: SD 7 Gen 1 & bateri 6,000mAh...

    Seperti khabar angin sebelum ini, iQOO Malaysia telah melancarkan dua model telefon pintar terbaru mereka untuk pasaran tempatan iaitu iQOO Z9 5G...

    KWSP umumkan Akaun 3, penstrukturan semula bermula 11 Mei 2024

    Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersedia untuk mendedahkan Akaun 3 atau akaun Fleksibel pada 25 April hari ini, menandakan penstrukturan semula yang...

    AS akan haramkan TikTok jika ia tidak dilepaskan daripada syarikat China

    Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden telah menandatangani satu rang undang-undang yang akan mengharamkan penggunaan platform media sosial TikTok dalam negara itu,...

    Qualcomm umumkan Snapdragon X Plus, cipset komputer riba berasaskan ARM

    Qualcomm Technologies, Inc. memperkenalkan Snapdragon X Plus, mengembangkan portfolio platform siri Snapdragon X yang terkenal. Snapdragon X Plus adalah CPU Qualcomm Oryon...

    WhatsApp sedang uji ciri berkongsi fail tanpa sambungan internet

    WhatsApp sedang bersiap untuk kemas kini penting yang satu memberi tumpuan kepada membolehkan perkongsian fail melalui rangkaian tempatan dan menambah ciri mengambil...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X