WhatsApp kini sedang membangunkan ciri baharu yang membolehkan pengguna menambah dan menguruskan pelbagai akaun dalam satu aplikasi. Ciri ini telah diperkenalkan kepada pengguna Android dalam kemas kini beta sebelum ini dan kini, ia sedang diuji untuk iOS melalui program TestFlight.
Dengan ciri ini, pengguna boleh mengakses akaun WhatsApp peribadi dan profesional dalam satu aplikasi tanpa memerlukan peranti berasingan atau aplikasi selari seperti WhatsApp Business. Pengguna juga boleh memilih untuk menetapkan akaun baharu dari awal atau memautkannya melalui kod QR, menjadikannya lebih fleksibel dan mudah digunakan.

Setiap akaun akan beroperasi secara bebas dalam aplikasi dengan pemberitahuan, sembang, sandaran dan tetapan tersendiri. Ciri ini amat berguna bagi mereka yang menggunakan telefon dengan dwi-SIM membolehkan mereka menguruskan kedua-dua nombor dalam satu aplikasi.
WhatsApp masih dalam proses pembangunan ciri ini dan dijangka akan melancarkannya dalam kemas kini akan datang untuk pengguna iOS. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: WABetaInfo






