Xiaomi melancarkan telefon pintar lipat terbaharu Xiaomi 18 Fold di China yang menampilkan rekaan yang dinamakan sebagai “mid-fold” iaitu gabungan saiz antara telefon lipat kulit kerang dan gaya lipatan buku. Xiaomi 18 Fold dilengkapi skrin luar berukuran 5.38 inci dan skrin dalam berukuran 7.58 inci dengan nisbah aspek kira-kira 2:1.
Apabila dibuka, ketebalan peranti ini adalah 5.02mm manakala ketebalan semasa dilipat adalah 10.68mm dengan berat keseluruhan 219 gram. Ia hadir dengan kerangka rata, bucu membulat dan tetingkap kamera berbentuk “racetrack” di bahagian belakang. Papan kekunci pada skrin peranti ini direka 8 peratus lebih lebar berbanding telefon standard saiz 6.9 inci.

Bagi ketahanan, peranti dilindungi cermin Dragon Crystal Glass 3.0, kerangka aloi aluminium siri 7, engsel Dragon Bone Hinge serta pengesahan ketahanan jatuh sehingga 1.2 meter. Peranti dikuasakan cip rekaan dalaman Xiaomi iaitu XRING O3 dan ia telah melepasi skor 5 juta mata dalam ujian penanda aras AnTuTu dengan peningkatan prestasi berbilang teras CPU sebanyak 60 peratus serta prestasi GPU sebanyak 85 peratus berbanding generasi terdahulu.
Xiaomi 18 Fold turut menjadi peranti pertama di dunia yang menggunakan pemprosesan memori standard LPDDR6 daripada Changxin Memory. Bahagian fotografi menggunakan sistem tiga kamera talaan Leica yang terdiri daripada kamera utama 200MP, periskop telefoto 50MP dengan zum optikal 3.5x dan sudut lebar 50MP.

Bekalan kuasa ditampung oleh bateri Jinshajiang berkapasiti 6,000mAh yang menyokong pengecasan pantas berwayar 67W dan pengecasan wayarles 50W. Selain versi standard, Xiaomi turut memperkenalkan Ceramic Special Edition yang menggunakan panel belakang seramik silikon nitrida yang lebih ringan dan kukuh.
Edisi khas ini terhad kepada 1,500 unit sahaja dengan penawaran RAM 16GB dan storan 1TB. Xiaomi 18 Fold dijual pada harga bermula 10,999 yuan (~RM7,144) untuk model 12/256GB, 11,999 yuan (~RM7,793) untuk 12/512GB dan 12,999 yuan (~RM8,443) untuk 16/512GB. Model varian tertinggi 16/1TB dijual pada harga 14,999 yuan (~RM9,742) manakala Ceramic Special Edition dijual pada harga 15,999 yuan (~RM10,391).

Tempahan kini dibuka di China dan jualan global akan diumumkan kelak. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







