Selain daripada dua buah telefon boleh lipat Xiaomi yang dilancarkan, Xiaomi turut mengeluarkan tiga produk peranti boleh pakai baharu iaitu Xiaomi Watch S4 Sport, Xiaomi SmartBand 9 dan Xiaomi Buds 5.
Xiaomi Watch S4 Sport secara rasmi dikategorikan sebagai jam tangan pintar sukan profesional yang berharga bermula daripada 1,999 yuan (~RM1,288). Xiaomi Watch S4 Sport menampilkan rekaan bulat, badan titanium, kaca nilam serta tersedia dalam warna hitam dan jingga. Ia dilengkapi dengan mahkota berputar di sebelah kanan sarung.


Ia menyokong ujian lactate threshold yang membantu latihan berdasarkan kadar denyutan jantung yang diukur dan kadar untuk meningkatkan tahap daya tahan dengan berkesan. Ciri ini disokong oleh algoritma gerakan Suunto. Baterinya berkapasiti 586mAh yang boleh mencapai hayat bateri sehingga 15 hari dan dalam mod eSIM, ia menyokong hayat bateri selama 9 hari.
Ia dilengkapi dengan skrin AMOLED 1.43 inci dengan kecerahan puncak 2200nit. Watch S4 Sport telah lulus pensijilan PADI oleh organisasi menyelam profesional antarabangsa dan pensijilan menyelam EN13319 serta menyokong kedalaman 40 meter. Selain itu, ia juga menyokong kedudukan GNSS lima bintang dwi-frekuensi, import peta luar talian dan komunikasi bebas eSIM.


Terdapat tiga versi Xiaomi SmartBand 9 iaitu standard dengan harga 249 yuan (~RM160), versi NFC berharga 299 yuan (~RM192) dan versi khas seramik NFC berharga 349 yuan (~RM224). Xiaomi SmartBand 9 dilengkapi dengan pemproses BES 2700IMP dan GPU PSRAM 2.5D 16MB dan NAND 256MB.
Xiaomi SmartBand 9 juga telah menaik taraf motor linearnya untuk menyokong 20 mod getaran. Bahgian skrin menampilkan AMOLED 1.62 inci dengan kecerahan maksimum mencapai 1200nit dan kadar penyegaran 60Hz. Hayat bateri pula mencapai sehingga 21 hari. NFC pada model terpilih membolehkan pembayaran tanpa sentuh.
Ia mempunyai rintangan air sehingga 50 meter dan boleh dipakai ketika berenang. Pemantauan kesihatan kini mendapat peningkatan 16% dalam ketepatan kadar jantung bersama-sama dengan oksigen darah dan pengesanan tekanan. Lebih 150 mod senaman tersedia termasuk kursus larian berpandu. Sambungan melalui Bluetooth 5.4 dan menawarkan ciri pintar asas.


Xiaomi Buds 5 menggunakan reka bentuk separa dalam telinga dan ia dikatakan selesa serta tekanan tidak terasa ketika memakainya. Setiap putik mempunyai berat hanya 4.2g tetapi boleh bertahan selama 6.5 jam pada satu masa dengan tambahan masa mendengar sehingga 39 jam bersama bekas pengecas.
Buds 5 menyokong codec audio Lossless aptX Qualcomm (sehingga 2.1Mbps) dan telah ditala oleh pasukan Harman AudioEFX. Terdapat Pembatalan Bunyi Aktif dan pengurangan hingar AI untuk panggilan dengan 3 mikrofon. Audio spatial dan ketersambungan berbilang titik juga disediakan. Putiknya mempunyai penarafan IP54 untuk ketahanan terhadap peluh dan hujan.
Xiaomi Buds 5 berharga 699 yuan (~RM450) dan kini dijual di China. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan salah satu peranti di atas dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.






