Agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam membina infrastruktur 5G negara, Digital Nasional Berhad (DNB), menyatakan mereka sentiasa terbuka dan telus dalam soal pemberian tender dan kontrak untuk pembinaan infrastruktur 5G negara.
Mereka membuat kenyataan ini susulan daripada laporan oleh media Singapura, Channel News Asia (CNA), yang menyatakan terdapat pertelingkahan antara syarikat-syarikat telekomunikasi (mobile network operatorts, MNO) dengan DNB, lantas menyukarkan pembinaan infrastruktur 5G.
Laporan tersebut juga mendakwa DNB tidak telus dalam menjalankan operasi dalamannya, berkenaan pemberian kontrak kepada vendor pihak ketiga seperti Ericsson, serta peroleahan perisian dan platform perkhidmatan awam yang berpotensi menguntungkan.
DNB menafikan dakwaan itu dengan tegas. Mereka menjelaskan bahawa pemberian kontrak peralatan rangkaian 5G melibatkan proses penilaian yang ketat, dan Ericsson berjaya mencapai skor tertinggi dalam semua prasyarat yang dikenakan. Proses tender itu melibatkan firma perkhidmatan profesional global yang bebas serta 50 pakar tempatan dan antarabangsa yang berpengalaman dalam rangkaian 5G.
Pelbagai pihak juga telah menyemak semula proses tersebut, termasuklah kajian semula dasar rangkaian 5G oleh Jemaah Menteri pada 2022 dan 2023.
Berkenaan Perjanjian Langganan Saham (SSA) di antara DNB dengan MNO pula, ia masih berterusan hingga kini. DNB menyatakan mereka akan kekal fokus dalam melaksanakan rangkaian 5G terbaik pada kos yang ditetapkan dan mempercepatkan trasnformasi digital negara.
Agensi itu juga mengingatkan pihak media tempatan dan antarabangsa untuk menerbitkan laporan berdasarkan maklumat yang tepat dan disahkan sahaja.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: DNB