fbpx
More

    Ulasan HONOR X7b 5G – ‘Entry level’ tapi macam ‘mid-range’?

    HONOR X7b versi 5G telahpun dilancarkan pada 22 April 2024 di pasaran Malaysia dengan harga RM899 memberikan spesifikasi tersendiri dan membawa storan terbesar dalam kelasnya. Telefon kelas permulaan ini menawarkan prestasi yang mencukupi untuk penggunaan harian anda. Di bawah merupakan perkara yang anda perlu tahu sekiranya anda terfikir untuk membeli HONOR X7b 5G.

    Rekaan – Tahap estetika tetapi bukanlah mewah

    Dengan sekali pandang, HONOR X7b 5G mengagumkan dengan reka bentuknya yang bergaya, menawarkan kedua-dua estetika dan kefungsian kepada pengguna. Ia mempunyai reka bentuk empat lengkung 63° dengan latar belakang 3D memberikan cengkaman selesa dan terletak baik di tangan. Walaupun kapasiti baterinya yang besar, peranti ini mengekalkan profil nipis pada 8.24mm dengan badan yang ringan pada 199g menjadikannya mudah dibawa di dalam poket seluar.

    Walaupun panel belakangnya kelihatan bergaya dengan kemasan seperti kaca dan jalur seperti berlian, ia masih meninggalkan kesan cap jari dan akan kelihatan kotor sekiranya anda tidak membersihkannya dengan kerap. Tri-kamera belakangnya juga agak besar membantu ia kelihatan premium tapi tidaklah mewah.

    Bahagian kamera belakangnya membawa bonggol kamera yang tidak tebal tetapi juga tidak nipis, menunjukkan ia tidak terlalu mengganggu penggunaan telefon apabila dibaringkan secara mendatar. Beralih ke panel hadapan, ia membawa kamera swafoto di bahagian atas tengah tetapi ia tidaklah menganggu tontonan atau permainan anda. Terdapat satu pembesar suara stereo di penjuru skrin di bahagian atas tengah untuk menjaminkan kualiti panggilan audio yang baik.

    Di bahagian kanan, X7b membawa butang audio timbul dan butang kuasa nipis yang juga berfungsi sebagai pengimbas cap jari. Di bahagian sisi kiri menempatkan slot kad dwi-SIM manakala bahagian bawahnya membawa satu lagi pembesar suara stereo, port USB-C untuk pengecasan dan bicu audio 3.5mm.

    Kemasan seperti kaca dan jalur seperti berlian
    Kamera swafoto di bahagian atas tengah
    Bonggol kamera tidak mengganggu
    Butang audio timbul dan butang kuasa nipis di sisi kanan
    Sisi kiri menempatkan slot kad dwi-SIM
    Bahagian bawah: Pembesar suara stereo, port USB-C dan bicu audio 3.5mm

    HONOR X7b 5G menawarkan dua warna iaitu Crystal Silver yang saya dapat dan Emerald Green sekiranya anda inginkan pilihan lain. Pada pendapat saya, pilihan warna pertama mungkin lebih sesuai bagi pengguna yang ringkas atau introvert manakala Emerald Green lebih sesuai kepada pengguna yang aktif atau ekstrovert.

    Di dalam kotak pembelian, anda akan mendapat HONOR X7b 5G, pelindung skrin yang telah dipasang, sarung silikon, pin SIM, kabel USB-C dan pengecas 35W. Walaupun ia merupakan telefon kelas permulaan, ia masih menyediakan segala keperluan penting untuk sesebuah peranti, tidak seperti telefon mewah yang memerlukan pembelian asing untuk pelindung telefon, kabel dan pengecas.

    Dalam kotak pembelian

    Spesifikasi – Skrin luas untuk tontonan, mesra pengguna

    Berikut adalah spesifikasi ringkas HONOR X7b 5G:

    • Cipset MediaTek Dimensity 6020
    • Paparan Hyper-Transmissive X7b 6.8 inci, nisbah skrin-ke-badan 91.3% dan kadar segar semula 90Hz
    • RAM 16GB dan storan 256GB (Tambahan 8GB RAM Turbo)
    • Kamera belakang: Kamera utama ultra-jelas 108MP, kamera makro dan kedalaman 2MP 
    • Kamera swafoto 8MP
    • Bateri 6,000mAh dengan pengecasan HONOR SuperCharge 35W
    • Spesifikasi lain: MagicOS 7.2 berdasarkan Android 13, dwi pembesar suara Surround Stereo, pengimbas cap jari
    • Warna: Crystal Silver dan Emerald Green

    Telefon pintar ini dilengkapi dengan cipset MediaTek Dimensity 6020, menawarkan prestasi yang mantap dan responsif untuk memenuhi keperluan penggunaan harian dan juga tugas berat. Sepanjang saya menggunakannya, ia tidak menunjukkan sebarang lag, glitch dan bergerak dengan lancar ketika menukar aplikasi.

    Walaupun dengan kadar segar semula 90Hz, paparan Hyper-Transmissive X7b sebesar 6.8 incinya dengan bezel yang sangat nipis memberikan pengalaman visual yang luas dan mendalam. Warna skrin cukup pekat dan terang manakala sentuhan ketika bermain game adalah sangat responsif tanpa sebarang masalah. Bagi saya, ini cukup mengagumkan jika dibandingkan dengan beberapa peranti dalam kelas yang sama.

    Skrin masih boleh dilihat di bawah cahaya matahari terik

    HONOR X7b 5G turut menggabungkan teknologi terkini untuk mengatasi masalah kepenatan mata semasa penggunaan skrin yang berpanjangan. Teknologi Dynamic Dimming pada peranti akan menyesuaikan tahap kecerahan dan mengekalkan kualiti visual sambil mengurangkan tekanan pada mata. Walaupun ia menyokong kadar segar semula 90Hz, ia juga menawarkan sokongan sehingga 850nits kecerahan puncak, membuatkan skrin masih boleh dilihat jelas di bawah cahaya matahari yang terik.

    Pada waktu malam, Teknologi Paparan Malam Sirkadian pada HONOR X7b 5G secara automatik mengubah paparan kepada warna yang lebih hangat selepas matahari terbenam, mengurangkan pengeluaran cahaya biru. Penyesuaian ini mengekalkan pengeluaran melatonin, mengakibatkan peningkatan sebanyak 20% dalam tahap melatonin membuatkan saya lebih selesa menonton ‘The Big Bag Theory’ dalam bilik yang gelap sebelum tidur.

    Tambahan pula, dwi pembesar suara Surround Stereo memberikan pengalaman audio yang mengagumkan. Ia memberikan peningkatan audio sebanyak 200% membuatkan saya tenggelam dalam permainan dan juga filem. Bunyi persekitaran yang kuat juga tidak memberi masalah kerana saya hanya perlu menekan butang naik untuk tingkatkan bunyi ketika dalam panggilan suara.

    HONOR X7b 5G dilengkapi dengan RAM 8GB dengan tambahan RAM Turbo 8GB untuk meningkatkan prestasi sistem. Bukan itu sahaja, ia membawa storan terbesar dalam kelasnya pada 256GB di mana pengguna boleh menyimpan banyak aplikasi, foto, video dan fail penting tanpa perlu risau mengenai masalah kehabisan ruang dengan cepat. HONOR mengatakan bahawa X7b 5G boleh menyimpan lebih 56,000 gambar, 22,000 lagu atau 900 video HD secara tempatan.

    Ia dilengkapi dengan kamera belakang yang boleh tahan hebatnya termasuk kamera utama ultra-jelas 108MP untuk gambar yang tajam dan kaya dengan butiran, kamera makro untuk menangkap butiran halus dan sensor kedalaman 2MP untuk kesan bokeh yang dramatik. Untuk kamera swafoto pula, HONOR X7b 5G dilengkapi dengan sensor 8MP yang menghasilkan gambar biasa sahaja, tidak terlalu baik dan tidak terlalu kabur seperti yang dijangkakan.

    Dikuasakan oleh bateri besar 6,000mAh, saya tidak terlalu risau tentang penggunaan jangka panjang terutamanya ketika dalam perjalanan jauh. Bank kuasa mungkin tidak diperlukan sekiranya perjalanan anda hanya mengambil masa satu atau dua hari. Prestasi kuasanya akan saya jelaskan di bahagian seterusnya.

    Perkara yang saya suka mengenai peranti in adalah sistem operasinya, MagicOS 7.2 berdasarkan Android 13 yang mesra pengguna, mudah dan ringkas seperti iPhone. Telefon pintar lain seperti Samsung A34 5G menawarkan dua jenis antara muka, di mana apabila anda menatal daripada kanan ke kiri, ia memberikan halaman aplikasi yang sering digunakan manakala tatal daripada bawah ke atas menunjukkan antara muka perpustakaan aplikasi. Bagi saya, ini agak melecehkan.

    Jangan risau kerana HONOR X7b 5G membantu anda untuk meningkatkan produktiviti kerja. Kesemua aplikasi masih boleh diakses melalui bar pintas di bahagian kiri atau kanan skrin seperti dalam tangkapan skrin. Anda kemudiannya boleh menyimpan bar aplikasi di sisi sekiranya anda perlu menggunakannya kembali.

    Bar pintas di bahagian kiri atau kanan skrin
    Tab aplikasi
    Tab yang dibuka boleh disimpan di sisi skrin

    Semasa dalam permainan, saya masih boleh melakukan perkara lain seperti melihat media sosial atau fail kerja menggunakan ‘Game Manager‘ yang terletak di bahagian atas kiri skrin. Fail yang dipilih akan menunjukkan tab kecil seperti dalam tangkapan skrin untuk saya kekal fokus pada kerja. Anda boleh dengan mudah menambah fail kerja ke dalamnya untuk kemudahan akses.

    Ciri lain seperti pengimbas cap jari dan muka berfungsi dengan baik, namun setelah menggunakannya dalam beberapa hari, ia agak lambat untuk membuka skrin kunci yang mengambil sekurang-kurangnya satu hingga dua saat. Ada kalanya, ia tidak dapat mengecam cap jari dan muka saya di mana saya terpaksa membuka skrin kunci menggunakan nombor PIN.

    Game Manager
    Boleh menambah aplikasi lain
    Tab kecil ketika bermain game

    Prestasi – Lancar, responsif dan penggunaan yang lama

    Berikut adalah keputusan Geekbench 6 dan 3DMark HONOR X7b 5G:

    Geekbench 6
    3DMark

    HONOR X7b 5G memberikan prestasi mantap dan responsif, menjadikannya pilihan yang ideal untuk kegunaan harian dan tugas yang mencabar. Seperti yang saya katakan di atas, peranti ini tidak menunjukkan sebarang lag dan glitch malah cukup mengagumkan untuk mengendalikan pelbagai tugas dengan mudah, daripada melayari internet hingga menjalankan aplikasi yang memerlukan daya pemprosesan yang tinggi.

    X7b 5G juga boleh digunakan untuk gaming seperti Mortal Kombat dan Call of Duty. Walaupun saya bermain game selama satu jam, telefon pintar ini tidak panas dan masih dalam suhu yang sama. Skrin turut menyumbang dengan memberikan tindak balas yang lancar bagi menghasilkan hasil permainan yang berkualiti.

    Mortal Kombat
    Call of Duty

    Prestasi baterinya sangat mengagumkan tidak seperti telefon pintar lain. Ini dibuktikan apabila saya bermain game selama satu jam dan bateri hanya menurun daripada 100% kepada 94%. Tontonan YouTube pula hanya mengambil 20% kuasa bateri untuk penggunaan selama empat jam dan 42 minit tanpa henti. Pengecasan penuh bermula daripada kuasa sifar pula hanya mengambil masa satu jam dan 40 minit menggunakan pengecas HONOR SuperCharge 35W.

    Beralih kepada kamera dan fotografi, kameranya beresolusi 108MP dan dilengkapi dengan sensor besar berukuran 1/1.67 inci. Susunan ini secara signifikan meningkatkan pencerahan cahaya, disokong oleh teknologi 9-dalam-1 pixel binning, menghasilkan saiz piksel sebesar 1.92μm. Selain itu, kameranya juga dilengkapi dengan Mod Potret dengan 2X zum, menambah kepelbagaian kepada keupayaan kamera, membolehkan pengguna menangkap pelbagai situasi dengan mudah dan fleksibel.

    Gambar yang dizum juga tidak terlalu pecah atau kabur malah memberikan butiran yang jelas. Saya amat suka gambar rumput yang diambil kerana warnanya yang pekat seolah-olah warna sebenar. Sekiranya anda mengambil gambar di dalam bangunan yang hanya memberikan cahaya melalui lampu daripada beberapa arah, gambar tidak begitu memuaskan dan akan menghasilkan sedikit noise apabila dizum.

    Hasil gambar waktu malam masih kelihatan pekat dan jelas. Ia masih berfungsi dengan baik tidak kira dalam apa-apa mod yang dipilih. Namun, ini tidak berlaku pada kamera swafoto sewaktu malam hari, mungkin juga kerana ia hanya membawa sensor 8MP. Oleh itu, saya tidak menyarankan anda membuat rakaman vlog atau strim langsung menggunakan kamera swafoto.

    Mod makro turut memainkan peranan yang baik dengan butiran yang sagat jelas.. Kedua-dua gambar mod makro di bawah ditangkap pada jarak 4cm menunjukkan perincian tanah rumput yang berketul-ketul dan peluh air sejuk daripada botol jenama CHAGEE.

    Mod lain untuk kamera
    Kamera swafoto: Mod standard (kiri), Mod Potret (kanan)
    Kamera swafoto: Tanpa flash (kiri), dengan flash (kanan)

    Kesimpulan – Kelas permulaan tetapi prestasinya seperti kelas pertengahan

    Saya amat menyarankan HONOR X7b 5G bagi mereka yang mencari telefon pintar di bawah julat harga RM900. Walaupun peranti ini merupakan telefon kelas permulaan, tetapi prestasi yang di bawa cukup menakjubkan seperti kelas pertengahan. Cipset, storan yang luas dan kuasa baterinya membantu untuk meningkatkan produktiviti anda dengan antara muka mesra pengguna dan prestasi yang lancar.

    Terdapat peranti lain juga yang anda boleh pertimbangkan seperti OPPO A98 5G yang kini berharga RM999 menawarkan cipset Snapdragon 695 5G, skrin FHD+ 120 Hz 6.72 inci dan storan yang boleh dikembangkan sehingga 1TB melalui kad mikroSD. iQOO Z9x 5G juga boleh dimasukkan dalam senarai anda yang menampilkan skrin IPS LCD FHD 120Hz 6.72 inci dan dikuasakan oleh cipset Snapdragon 6 Gen 1 berharga RM722 (dalam promosi) untuk versi 8/256GB.

    Jadi, adakah HONOR X9b 5G menjadi pilihan anda? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Siri Xiaomi Pad 7 akan dilancarkan Oktober ini, boleh ‘plug and play’ dengan EV...

    Xiaomi mungkin bersiap sedia untuk pelancaran beberapa peranti perdana pada Oktober ini termasuk siri tablet perdana baharunya, siri Xiaomi Pad 7. Barisan...

    Nokia 3210 yang ikonik pada 90-an kini diberi nafas baharu dengan 4G

    HMD Global yang merupakan syarikat di sebalik peranti Nokia sedang melakar nostalgia. Menjelang pelancaran semula Nokia 6310, HMD Global kini juga sedang...

    Xiaomi 15 akan jadi peranti pertama dengan Snapdragon 8 Gen 4, bakal dilancar Oktober...

    Minggu lepas, satu laporan mendakwa bahawa Xiaomi mempunyai hak pelancaran pertama eksklusif untuk cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 4 yang akan datang....

    Samsung Galaxy Tab S6 Lite (2024) rasmi di Malaysia: Skrin 10.4″, sokong S Pen...

    Samsung Malaysia mengumumkan bahawa tablet Samsung Galaxy Tab S6 Lite (2024) telah tiba di pasaran Malaysia secara rasmi dengan memori RAM 4GB...

    DNB, Ericsson bekerjasama untuk memajukan perusahaan di Malaysia melalui teknologi 5G

    Digital Nasional Berhad (DNB) dan Ericsson, sebuah syarikat teknologi komunikasi global yang terkemuka telah mengumumkan secara rasmi rancangan untuk memacu transformasi digital...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X