fbpx
More

    Ulasan HONOR MagicBook X 16 – Berbaloi jika anda peminat skrin besar!

    Dalam pasaran komputer riba segmen pertengahan yang sesak, mungkin sukar untuk mencari peranti yang menawarkan keseimbangan ciri, prestasi dan nilai yang menarik. Banyak komputer riba dalam segmen ini menawarkan spesifikasi dan reka bentuk yang hampir sama, menyukarkan pengguna untuk membezakan dan membuat pilihan.

    Walau bagaimanapun, selalunya komputer riba baharu yang datang dalam pasaran akan cuba menembusi pasaran dan menawarkan sesuatu yang unik seperti yang dimiliki HONOR MagicBook X 16 (2024). Ia tidak menjanjikan prestasi menyaingi komputer riba andalan tetapi mampu mengimbangi aspek yang berbeza untuk mencapai kesempurnaan.

    Reka bentuk ringkas tetapi nampak premium
    Maklumat spesifikasi utama MagicBook X 16

    Saya telah menggunakan MagicBook X 16 selama hampir dua minggu untuk bekerja dan juga untuk kegunaan peribadi. Seperti mana-mana komputer riba lain, MagicBook X 16 mempunyai kekuatan dan kelemahannya. Teruskan membaca ulasan ini supaya anda boleh memutuskan sama ada komputer riba ini bernilai dengan wang anda atau tidak.

    Untuk pasaran Malaysia, HONOR hanya mengeluarkan satu konfigurasi MagicBook X 16 dengan menampilkan pemproses Intel Core i5-12450H Generasi ke-12 yang dipasangkan dengan RAM LPDDR4 8GB bersama-sama storan SSD 512GB untuk penyimpanan manakala grafik dikendalikan oleh grafik Intel UHD bersepadu.

    Pandangan penuh MagicBook X 16
    Cukup nipis dan ringan untuk kegunaan harian

    Untuk reka bentuk, HONOR MagicBook X 16 pastinya menarik perhatian kerana badan aluminiumnya memberikan rupa dan rasa yang premium manakala profilnya yang nipis dan saiz skrin yang besar menjadikannya sesuai untuk kegunaan harian serta hiburan. Ia juga mudah dibawa ke mana-mana kerana memiliki berat hanya 1.68kg dan berukuran 17.9mm nipis.

    Salah satu ciri reka bentuk yang menarik perhatian saya ialah bezel sempit yang mengelilingi paparan. Ini bukan sahaja memberikan komputer riba pengalaman tontonan yang lebih mengasyikkan tetapi juga membolehkan saiz skrin yang lebih besar tanpa meningkatkan kesan keseluruhan peranti. HONOR MagicBook X 16 berjaya memuatkan paparan 16 inci ke dalam badan yang bersaiz lebih hampir dengan komputer riba 15 inci biasa.

    Tiada pilihan pengimbas cap jari untuk keselamatan
    Bukaan maksimum MagicBook X16

    Kualiti binaan HONOR MagicBook X 16 juga cukup bagus tanpa melentur atau mempunyai kesan apabila tekanan dikenakan pada badannya. Engselnya lancar dan kukuh membolehkan pembukaan komputer riba dengan hanya sebelah tangan sahaja manakala bahagian bawah papan kekunci mempunyai tekstur matte untuk mengelakkan kesan tapak tangan dan menambah rasa premium serta menyediakan tempat berehat untuk pergelangan tangan semasa menaip.

    Papan kekuncinya menggunakan saiz penuh dengan pad nombor untuk memudahkan pengguna namun satu kekurangan pada papan kekunci ini adalah kekurangan rasa selesa untuk menaip mungkin disebabkan mekanismenya yang pendek. Jadi, saya perlu mengambil masa untuk membiasakan diri.

    Papan kekunci bersaiz penuh

    Tetapi sebaik sahaja saya menyesuaikan diri dengan mekanismenya, papan kekunci ini menyediakan pengalaman menaip yang baik dengan maklum balas sentuhan yang memuaskan. Salah satu ciri yang mungkin tertinggal pada komputer riba ini adalah pengimbas jap cari untuk keselamatan yang dipertingkatkan kerana kebanyakan komputer riba terkini mempunyai ciri tersebut.

    Pad jejak juga mempunyai saiz yang besar dan responsif sesuai dengan tangan saya yang agak besar. Bahagian skrin MagicBook X 16 menggunakan paparan IPS anti-silau 16 inci dengan resolusi 1920 x 1200 piksel. Skrinnya menyerlahkan warna yang terang, butiran yang tajam dan secara tidak langsung seronok untuk melakukan penyemakan dokumen, melayari internet atau menikmati beberapa sesi menonton Netflix.

    Keadaan skrin apabila terkena terikan matahari
    Cipset Intel Core i5-12450H Generasi Ke-12 (8 Teras 12 Benang)

    Walaupun skrinnya terang, ia hanya terpakai di dalam rumah. Satu perkara yang saya tidak suka tentang paparan ini ialah ia tidak dapat memberikan kejelasan dengan baik apabila berada di luar. Walaupun HONOR mengatakan bahawa skrin boleh mencapai tahap kecerahan 300 nits, namun saya hampir tidak dapat melihat apa yang ada pada paparan jika berada bawah terikan matahari.

    Walau bagaimanapun, kemasan matte pada skrin mampu mengimbangi kejelasan butiran yang agak baik kerana ciri anti-silaunya. Ia turut hadir dengan pensijilan TUV Rheinland Low Blue Light dan teknologi bebas kelipan untuk perlindungan mata. Ini yang saya bagitahu pada awal ulasan ini di mana HONOR mampu mengimbangi kekurangan dengan ciri istimewa membuatkan penggunaanya hampir sempurna.

    Bahagian bawah MagicBook X 16
    Pembesar suara

    Selain paparan yang baik, sebuah komputer riba juga memerlukan pembesar suara yang baik. Jika tidak, ia akan mengecewakan pengguna kerana kebanyakan komputer riba Windows tidak mementingkan pembesar suara. HONOR MagicBook X16 mempunyai empat pembesar suara yang agak baik. Saya boleh memberikan gambaran bahawa jika anda berada di dalam sebuah bilik kecil, pembesar suara ini memenuhi ruangan walaupun ia agak bassy.

    Seterusnya, apabila membuat panggilan video atau rakaman video, mikrofon dwi terbina dalam dapat menangkap suara dengan agak baik memastikan suara keluar dengan kuat dan jelas sambil menapis bunyi latar belakang yang menjengkelkan. Saya tiada masalah untuk menggunakan kamera dan mikrofon terbina dalam untuk mesyuarat secara atas talian.

    Kamera dan mikrofon terbina dalam
    Contoh gambar daripada kamera web HONOR MagicBook X 16

    Kini mari lihat spesifikasi HONOR MagicBook X16. Ia menampilkan pemproses Intel Core i5-12450H dan dilengkapi dengan RAM 8GB bersama-sama storan SSD 512GB manakala grafik dikendalikan oleh grafik Intel UHD bersepadu. Gabungan ini lebih daripada mencukupi untuk tugasan harian seperti membuka Words, melayari internet dan mendengar muzik.

    Saya mendapati bahawa komputer riba ini berfungsi dengan lancar dan pantas walaupun pada ketika itu saya membuka banyak tab pada Google dan melakukan beberapa perkara serentak. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk diingat bahawa MagicBook X 16 tidak mempunyai kad grafik yang berasingan. Ini bermakna ia mungkin bukan pilihan terbaik untuk pengguna yang melakukan banyak penyuntingan video atau tugas lain yang memerlukan banyak kuasa grafik.

    Keputusan ujian penanda aras PCMark10
    Keputusan ujian penanda aras 3DMark

    Macam biasa, kami mengujinya dengan menggunakan aplikasi penanda aras PCMark10 dan 3D Mark untuk menentukan prestasinya secara dalaman. Hasilnya, keputusan penanda aras untuk PCMark 10 menunjukkan MagicBook X 16 memperoleh 5217 mata yang membenarkan produktiviti asas seperti suntingan mudah gambar dan video. Perlu diingatkan bahawa komputer riba ini tidak sesuai untuk mengendalikan aplikasi atau game dengan grafik yang tinggi.

    Ujian penanda aras 3D Mark pula memperoleh 1005 mata secara keseluruhan dan skor grafik untuk MagicBook X 16 adalah 871 manakala CPU memperoleh skor 7872. Melalui keputusan penanda aras, kita dapat simpulkan bahawa prestasinya terbaik untuk kerja harian dan bukan untuk kegunaan berat. Untuk bermain game tiada masalah asalkan anda pandai menetapkan grafik.

    Pusat sehenti aplikasi HONOR PC Manager untuk tetapan mudah MagicBook X16

    Ia masih boleh mengendalikan penyuntingan video asas tetapi jika anda perlu melakukan penyuntingan yang lebih kompleks atau menggunakan program yang lebih berat grafiknya, anda mungkin ingin mencari komputer riba dengan kad grafik khusus. HONOR juga telah menyertakan “Mod Prestasi” pada MagicBook X 16 yang boleh anda hidupkan dengan menekan kekunci “Fn+P”.

    Mod ini memberikan komputer riba sedikit kuasa tambahan tetapi menggunakan lebih banyak bateri. Semasa saya menggunakannya, saya tidak melihat perbezaan yang besar apabila menggunakan Mod Prestasi untuk tugasan harian tetapi bagus untuk mempunyai pilihan apabila anda memerlukan lebih kuasa.

    Walaupun kebanyakan komputer riba Windows segmen pertengahan bergelut untuk menyediakan lebih daripada 4 jam hayat bateri, HONOR MagicBook X16 menonjol dengan jangka hayat bateri 6-7 jam yang mengagumkan dengan sekali cas. Mengenai pengecasan, HONOR MagicBook X 16 memanfaatkan teknologi pengecasan pantas 65W. Ia mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengecas komputer riba sepenuhnya.

    Ada satu perkara yang saya tidak berapa gemar dengan pengecasan untuk komputer riba ini kerana palam yang digunakan agak sedikit lebar dan tebal yang menjadikannya sukar untuk digunakan dalam ruang yang sempit atau semasa dalam perjalanan. Namun, ia masih lebih mudah alih berbanding dengan pengecas bata yang disertakan dengan kebanyakan komputer riba.

    Palam pengecas yang agak besar
    Port sambungan bahagian kiri
    Port sambungan bahagian kanan

    Sebelum mengakhiri ulasan ini, saya ingin mencadangkan HONOR supaya menambah port sambungan MagicBook X 16 kerana komputer riba ini hanya mempunyai satu port USB-C, dua port USB-A, port HDMI dan bicu audio 3.5mm. Jika dibandingkan dengan komputer riba yang ada dalam pasaran sekarang, adalah penting untuk memikirkan port sambungan kerana ia merupakan titik jualan.

    Anda mungkin boleh memasangkan hab USB tetapi ia mungkin menyusahkan sesetengah orang dalam senario sehari-hari. HONOR MagicBook X16 mengagumkan dengan reka bentuk, kualiti paparan dan prestasi yang menjadikannya pilihan yang berbaloi untuk dibeli dengan harga RM2,999. Walaupun terdapat beberapa kelemahan seperti port terhad dan kekurangan GPU khusus, ia menawarkan nilai untuk harganya.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Spesifikasi teknologi

    • Paparan HONOR FullView 16 inci, panel IPS anti-silau, resolusi 1920 x 1200 piksel, nisbah aspek 16:10, kadar segar semula 60Hz, nisbah skrin-ke-badan 89%, gamut warna NTSC 45%, kecerahan 300 nits, TÃœV Rheinland Pensijilan Low Blue Light, TÃœV Rheinland Flicker Free Certification2 dan Mod E-book
    • Cipset Intel Core i5-12450H Generasi Ke-12 (8 Teras 12 Benang)
    • Grafik Intel UHD
    • RAM LPDDR4x 8GB + storan SSD 512GB​
    • 1x USB-C (Fungsi Penuh), 2x USB-A 3.2 Gen 1, 1x HDMI, bicu audio 3.5mm
    • 2 Pembesar suara dan 2 mikrofon terbina dalam
    • Papan Kekunci bersaiz penuh dengan numpad
    • Webcam 720p
    • Menyokong sambungan Wi-Fi 6: 2.4GHz dan 5GHz, Bluetooth 5.1
    • Bateri 42Wh dengan pengecasan 65W
    • Sistem operasi Windows 11 Home dengan 1 Tahun Microsoft 365 Peribadi
    • Ukuran: 356 x 250 x 17.9 mm
    • Berat: 1.68 kg
    • Harga: RM2,999

    Kebaikan: Skrin yang besar dan terang, miliki perlindungan untuk mata serta kualiti binaan rasa premium

    Keburukan: Port sambungan yang terhad, tidak sesuai untuk gaming dan penggunaan grafik berat

    Kesimpulan: Sempurna untuk kegunaan harian seperti bekerja dan hiburan kerana skrinnya yang besar

     

    Artikel Terkini

    Kerajaan akan beri internet berkelajuan tinggi kepada sekolah bermula Julai 2024

    Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kerajaan akan menyediakan pakej langganan internet jalur lebar berkelajuan tinggi kepada sekolah-sekolah bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)...

    KWSP akan sediakan pilihan pindah dana daripada Akaun Fleksibel ke Akaun 1 dan 2

    Awal bulan ini, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan struktur akaun baharu yang merangkumi Akaun 3 (Akaun Fleksibel) dengan membolehkan ahlinya mengakses...

    Harga Snapdragon 8 Gen 4 dijangka mahal, pengeluar telefon perlu pertimbangkan konfigurasi produk

    Qualcomm bersedia untuk beralih kepada teras Oryon suainya dengan pengumuman rasmi Snapdragon 8 Gen 4 yang dijangka berlaku pada bulan Oktober. Peralihan...

    Siri POCO F6 akan dilancar pada 23 Mei 2024, mungkin Redmi K70 yang dijenamakan...

    POCO bakal melancarkan siri telefon pintar POCO F6 dan POCO F6 Pro pada hari Khamis, 23 Mei 2024. Syarikat teknologi itu sebenarnya...

    RUU Keselamatan Dalam Talian akan dibentangkan pada tahun ini

    Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata kerajaan akan membentangkan rang undang-undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian sebelum tahun ini berakhir. Pihaknya masih...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X