fbpx
More

    Ulasan OPPO A60 – Telefon murah tapi tahan lasak!

    OPPO bukan lagi jenama telefon pintar yang asing di Malaysia. Selain menawarkan telefon tercanggih dalam siri OPPO Find, mereka turut menawarkan telefon pintar mampu milik dalam siri OPPO A dan yang terbaru dalam siri tersebut adalah OPPO A60, dilancar pada akhir bulan lalu.

    Dengan harga bermula RM699, saya pasti OPPO A60 berada dalam pertimbangan untuk golongan pelanggan seperti para pelajar, graduan universiti yang baru memulakan kerjaya atau pun mereka yang inginkan peranti pada harga murah. Jadi adakah ini telefon yang paling sesuai dengan harga berikut, terutamanya apabila banyak lagi jenama telefon lain menawarkan peranti dengan harga serupa? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya.

    Rekaan – Sangat menawan

    Seperti telefon-telefon OPPO A sebelum ini, OPPO A60 merupakan antara telefon yang paling cantik untuk kategori harganya. Unit yang dipinjamkan kepada kami mempunyai warna biru Ripple Blue yang mempunyai corak riak-riak air yang nampak sangat kemas. Pada pendapat saya, ia nampak seperti telefon yang dijual pada harga lebih seribu Ringgit.

    Warna Ripple Blue yang kemas
    Bahagian sisi yang rata

    Jika anda lebih berminat dengan warna yang berprofil rendah, OPPO A60 turut ditawarkan dalam warna ungu gelap Midnight Purple, namun ia tidak mempunyai corak seperti Ripple Blue dan nampak seperti telefon yang murah.

    Telefon ini turut mempunyai bonggol kamera yang nipis, jadi ia tidak akan terlalu terjengket jika ia diletakkan rata di atas meja dan tidak akan tersangkut pada kain jika anda ingin meletakkanya dalam poket seluar atau beg. Bonggol kameranya mempunyai dua bulatan besar yang menempatkan dua lensa dan satu lampu denyar LED, sesuatu yang standard untuk telefon kategori ini.

    Bonggol kamera yang nipis
    Pengimbas cap jari dan butang volume di bahagian kanan
    Bahagian bawah: pembesar suara, port USB-C, bicu audio 3.5mm

    Bahagian sisinya pula rata sahaja, dan pada bahagian kanan anda boleh lihat butang volume dan pengimbas cap jari yang turut berfungsi sebagai butang kuasa. Bahagian sisi kiri menempatkan ruang dwi-kad SIM dan kad memori microSD, manakala di bawah pula terdapat bicu audio 3.5mm, port USB-C dan pembesar suara.

    Satu perkara yang anda perlu tahu tentang reka bentuk OPPO A60 adalah ia mempunyai pengiktirafan ketahanan tentera MIL-STD 810H, bermaksud ia mampu menahan impak tinggi dan tahan lasak. Pengiktirafan tersebut selalunya hanya dikhaskan untuk telefon yang lebih mahal, jadi memandangkan OPPO A60 yang berharga ratusan Ringgit ini sahaja sudah memiliki rating tahan lasak, membuatkannya satu pilihan yang agak menarik berbanding telefon pesaing.

    Saya sendiri telah membuat beberapa ujian tahan lasak terhadapnya, seperti menjatuhkan telefon ke atas lantai dari paras dada dan memecahkan kiub ais dengan skrinnya, dan OPPO A60 tidak mempunyai sebarang kesan retak. Saya juga mencuba sesuatu yang ekstrem di mana saya melalukan sebuah motosikal di atasnya. OPPO A60 masih berfungsi tanpa masalah dan skrin juga tidak retak, namun terdapat sedikit kesan calar pada bahagian bucu.

    Spesifikasi – Memadai untuk kegunaan harian

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk OPPO A60:

    • Cipset Qualcomm Snapdragon 680 4G
    • RAM 8GB dan ROM sehingga 256GB
    • Skrin LCD HD+ 6.67 inci, kadar penyegaran semula 90Hz, kadar pensampelan sentuh sehingga 240Hz
    • Nisbah skrin ke badan 89.9% dan kecerahan 950 nits
    • Kamera belakang: Kamera utama 50MP dan kamera kedua 2MP
    • Kamera swafoto 8MP
    • Bateri 5,000mAh dengan pengecasan SUPERVOOC 45W
    • Spesifikasi lain: Bluetooth 5.0, USB-C, bicu audio 3.5mm dan sistem operasi ColorOS 14.0.1
    • Warna: Ripple Blue dan Midnight Purple

    Secara kasar, spesifikasinya tidak mempunyai apa-apa yang istimewa dan boleh dijangka untuk telefon yang dijual pada harga RM699. Lihat sahaja pada cipsetnya, Qualcomm Snapdragon 680 4G, yang merupakan cipset 6nm yang dilancar pada tahun 2021 dan telah banyak digunakan dalam telefon jenama lain. Ini bukanlah bermaksud ia telefon yang tidak bagus, ia masih sesuai digunakan untuk situasi harian, namun anda tidak boleh jangkakan prestasi pantas untuk tugasan berat seperti gaming.

    Storannya pula agak rendah iaitu 256GB, namun anda boleh membesarkannya dengan kad memori microSD. RAM pula berkapasiti 8GB sahaja dan boleh dibesarkan sehingga 16GB secara maya, namun 8GB sahaja sebenarnya sudah cukup untuk telefon bajet seperti ini.

    Saiz skrinnya agak besar, dengan ukuran 6.67 inci manakala kadar segar semulanya (refresh rate) juga agak tinggi iaitu 90Hz, jadi anda boleh alami animasi yang lancar apabila anda meleret (swipe) di atasnya. Saya juga berpuas hati dengan kualiti dan warna imej yang dipaparkan. Sungguh pun begitu, resolusinya sekadar 720p sahaja jadi anda tidak boleh nikmati butiran yang tajam sewaktu menonton video atau filem. Sepatutnya, semua telefon yang dilancar pada 2024, termasuklah telefon bajet, perlu mempunyai resolusi sekurang-kurangnya 1080p.

    Skrin OPPO A60
    Skrinnya boleh menghasilkan imej yang baik, namun sukar dilihat bawah cahaya matahari terik

    Dengan nisbah skrin-ke-badan sebanyak 89.9%, sempadan bezel pula agak tebal terutamanya di bahagian dagu, namun ini boleh dijangka untuk telefon mampu milik seperti OPPO A60. Kecerahannya pula boleh mencapai 600 nits (typical) sahaja dengan kecerahan puncak sehingga 950 nits (peak). Skrin ini agak sukar dilihat di bawah cahaya matahari terik walaupun dengan kecerahan puncak, namun sekurang-kurangnya ia lebih cerah sebanyak 39% berbanding generasi sebelumnya.

    Satu ciri baharu untuk OPPO A60 yang tiada dalam telefon OPPO A sebelum ini adalah Splash Touch. Walaupun skrin anda penuh dengan titisan air, mungkin kerana percikan hujan atau air tertumpah, anda masih boleh menggunakan skrinnya dengan responsif. Saya telah cuba mencurahkan air di atas skrinnya dan ia masih berfungsi dengan baik.

    Daripada segi audio, OPPO A60 mempunyai pembesar suara stereo iaitu sesuatu yang masih jarang terdapat pada telefon dalam kategori harga ini. Kualiti audionya baik dan lebih menarik, anda boleh tingkatkan kelantangannya sehingga 300% jika anda mahu audio yang sangat kuat. 

    Volume boleh dinaikkan sehingga 300%, namun saya tidak menggalakkannya

    Sungguh pun begitu, saya tidak mencadangkan anda melakukan sedemikian kerana kualiti audio pada tahap 300% jatuh dengan sangat teruk, ia menjadi sangat nyaring dan “pecah”. Lebih baik anda hadkan sahaja pada tahap 100% untuk kualiti audio terbaik sewaktu menonton video atau mendengar lagu. Mungkin anda boleh gunakan tahap audio 300% sewaktu menerima panggilan telefon sahaja supaya nada dering anda boleh didengar dengan jelas walaupun dalam tempat yang sibuk.

    Pengimbas cap jari di bahagian kanan pula berfungsi dengan sangat pantas, walaupun dengan jari yang basah. Anda boleh gunakan kamera swafoto untuk face unlock dan ia juga berfungsi dengan pantas.

    Antara muka (UI) ColorOS 14

    Daripada segi antara muka (UI), telefon ini menggunakan ColorOS 14 berdasarkan Android 14 dan saya tidak mempunyai banyak masalah sewaktu menggunakannya. Satu isu yang saya perlu utarakan adalah ia mempunyai beberapa bloatware yang agak menjengkelkan, membuatkan app drawer nampak serabut dan anda mungkin perlu lakukan sedikit “pembersihan” untuk membuatkan UI nampak lebih kemas.

    Prestasi – Memuaskan, asalkan bukan untuk gaming

    Berikut adalah markah penanda aras untuk OPPO A60:

    Markah penanda aras Geekbench, jelas sekali markahnya agak rendah
    Markah penanda aras 3DMark, dengan prestasi yang stabil (99.2%) sepanjang ujian selama 20 minit

    Seperti yang dinyatakan dalam seksyen Spesifikasi, dengan cipset Snapdragon 680, anda tidak boleh jangkakan prestasi yang pantas daripada OPPO A60. Untuk tugasan biasa seperti bermesej, melayari laman web dan media sosial, membaca artikel atau menonton video, telefon ini boleh melakukannya dengan cemerlang.

    Markah Geekbench menunjukkan prestasi yang tidak boleh menyaingi telefon kelas pertengahan, namun sekurang-kurangnya 3DMark menunjukkan telefon ini boleh mengekalkan prestasi yang stabil, walaupun selepas 20 minit.

    Jika anda mula bermain game dengan telefon ini, anda perlu letakkan jangkaan di paras yang sepatutnya. Anda boleh main game popular seperti COD Mobile dan PUBG Mobile, namun saya nasihatkan anda untuk letakkan tetapan grafik rendah supaya anda boleh dapatkan kadar bingkai yang sekata dan masih boleh menewaskan pihak lawan. Game dengan grafik tinggi seperti Asphalt 9 pula boleh dimainkan namun dengan tetapan grafik dan kadar bingkai yang agak rendah.

    Tiada masalah bermain COD Mobile
    Asphalt 9 boleh dimainkan, namun dengan tetapan grafik rendah dan pikselnya nampak jelas

    Walaupun dengan prestasi yang sekadar biasa sahaja, sekurang-kurangya OPPO A60 mempunyai kapasiti bateri yang sangat besar iaitu 5,000mAh. Ia boleh bertahan selama sehari dengan yakin, walaupun dengan skrin yang ditetapkan pada kecerahan maksimum dan kadar 90Hz. Saya telah menggunakan telefon ini dan mendapati pada akhir hari, baterinya masih mempunyai baki sekitar 30%.

    Lebih cemerlang adalah kadar pengecasannya yang sangat tinggi iaitu 45W SUPERVOOC dan pengecas turut disertakan dalam kotak. Pengecasan penuh mengambil masa sekitar satu jam setengah iaitu sangat bagus untuk telefon mampu milik.

    Pengecasan daripada 1% hingga 99% mengambil masa 1 jam 31 minit (4:04pm hingga 5:35pm)

    Kini mari beralih kepada prestasi kamera pula. Seperti yang dijangka, OPPO A60 boleh mengambil gambar yang cantik jika anda berada dalam situasi yang terang. Dengan sensor kedalaman (depth sensor), ia boleh menghasilkan gambar mod potret dengan sempadan yang kemas di antara subjek dengan latar belakang. Sebaik sahaja anda berada dalam situasi malap, anda boleh lihat efek pemprosesan dan noise yang agak jelas. Untuk zum, ia boleh zum sehingga 10x, namun kualitinya mula nampak kabur apabila melepasi 5x.

    Selain itu, ketiadaan kamera ultra-lebar juga mungkin akan mengecewakan pengguna yang gemar menggunakan fungsi ultra-lebar. Daripada segi video, kualiti video yang dihasilkan nampak biasa sahaja dengan penstabilan yang minimum. Pada pendapat saya, fotografi bukanlah kekuatan utama untuk telefon ini, namun ia cukup bagus untuk mengambil gambar situasi harian.

    Contoh gambar kamera utama
    Contoh gambar kamera utama
    Contoh gambar kamera utama
    Contoh gambar kamera utama
    Contoh gambar mod potret
    Contoh gambar mod potret
    Contoh gambar mod malam
    Contoh gambar mod malam
    Contoh gambar mod malam
    Contoh gambar mod malam
    Contoh gambar swafoto, mod potret

    Kesimpulan – Telefon tahan lasak untuk kegunaan harian!

    OPPO A60 merupakan telefon mampu milik yang boleh melakukan kebanyakan tugas harian anda, ditambah lagi dengan reka bentuk yang istimewa. Selain warna Ripple Blue yang membuatkannya nampak seperti telefon yang lebih mahal, ketahanannya yang tinggi bermaksud anda tidak perlu risau jika ia terjatuh ke atas lantai atau dibasahi air hujan. Untuk harganya yang bermula RM699, tidak banyak telefon yang mempunyai mutu seperti ini.

    Sungguh pun begitu, ia mungkin bukan peranti yang sesuai jika anda inginkan telefon mampu milik yang mengutamakan prestasi gaming, kualiti skrin yang lebih tajam atau prestasi fotografi yang versatil. Alternatif yang sesuai untuk OPPO A60 termasuklah TECNO Spark 20 Pro (RM699) jika anda inginkan skrin 1080p dengan kadar 120Hz, HONOR X7b (RM799) jika anda inginkan kamera ultra-lebar atau Infinix HOT 40 Pro (RM649) jika anda inginkan cipset yang lebih baru dan RAM lebih besar.

    Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Siri POCO F6 akan dilancar pada 23 Mei 2024, mungkin Redmi K70 yang dijenamakan...

    POCO bakal melancarkan siri telefon pintar POCO F6 dan POCO F6 Pro pada hari Khamis, 23 Mei 2024. Syarikat teknologi itu sebenarnya...

    RUU Keselamatan Dalam Talian akan dibentangkan pada tahun ini

    Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata kerajaan akan membentangkan rang undang-undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian sebelum tahun ini berakhir. Pihaknya masih...

    realme GT 6T akan dilancar pada 22 Mei 2024, dilengkapi skrin 6,000 nits, cas...

    Sebelum ini, realme mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan telefon pintar kelas pertengahan realme GT 6T pada bulan ini, namun tarikhnya tidak diperincikan....

    Siri HONOR 200 akan dilancar pada 27 Mei 2024, terdiri dengan 4 pilihan warna

    HONOR bakal melancarkan siri telefon pintar kelas pertengahan HONOR 200 dan HONOR 200 Pro pada hari Isnin, 27 Mei 2024 di China...

    Samsung Malaysia tawarkan diskaun sehingga RM200 untuk Galaxy A15 dan Galaxy A25 5G

    Walaupun sambutan Hari Ibu sudah pun berlalu, Samsung Malaysia masih ingin menganjurkan promosi sembena hari tersebut dengan menawarkan dua buah telefon pintar...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X