Pada awal minggu ini, Apple telah memperkenalkan Apple Vision Pro iaitu sebuah set kepala komputer ruangan (spatial computer) yang membenarkan anda untuk berinteraksi dengan skrin maya di sekeliling anda. Set kepala ini dilengkapi dwi-cip M2 dan R1 serta RAM 16GB untuk menjana realiti tambahan (augmented reality, AR) di sekeliling pengguna, dengan fungsi seperti wayang 180 darjah dan skrin besar untuk kegunaan kerja.
Sungguh pun begitu, kami pasti anda mempunyai pelbagai soalan tentang kategori peranti unik ini, terutamanya buat mereka yang tidak biasa dengan set kepala VR. Berikut adalah 15 soalan yang paling kerap ditanyakan tentang Apple Vision Pro:
1 – Berapakah harganya?
Apple Vision Pro akan dijual di Amerika Syarikat pada harga USD3,499 (~RM16,000) dan setakat ini Apple masih belum menyatakan sebarang perancangan untuk menjualnya dalam pasaran antarabangsa.

Jika ia bakal ditawarkan dalam pasaran Malaysia, mungkin harganya adalah sekitar RM16,999. Apakah ramalan anda untuk harga peranti ini?
2 – Beza harga dengan peranti serupa daripada jenama lain?
Apple boleh dikatakan agak lambat dalam menghasilkan sebuah set kepala untuk kegunaan VR dan AR. Buat masa ini, dua set kepala yang paling mampu dimiliki adalah PICO 4 VR (RM1,599) dan PICO Neo 3 Link (RM1,099). Kedua-dua set kepala ini dijual secara rasmi di Malaysia dan menyediakan segala fungsi VR yang menarik untuk pengguna umum.
Anda juga boleh cuba beli Oculus Quest 2 yang dijual pada harga serupa dengan PICO 4 VR, namun ia tidak dijual secara rasmi di Malaysia jadi harganya berbeza untuk setiap penjual. Untuk yang lebih profesional pula, Oculus Quest Pro akan dijual pada harga USD999 (~RM4,600).



Sony juga mempunyai set kepala mereka sendiri iaitu Sony PlayStation VR2 pada harga USD499 (~RM2,300).
3 – Bagaimana untuk mengecas?
Sebuah pengecas magnetik boleh dipautkan pada bahagian belakang Apple Vision Pro, serupa seperti pengecas MagSafe pada iPhone. Pengecas ini boleh dikunci dengan memusingnya dalam arah jam.
4 – Bagaimana untuk mengawalnya?
Ini adalah satu ciri menarik tentang Apple Vision Pro, di mana anda tidak perlukan pengawal (controller) yang dipegang pada tangan seperti kebanyakan set kepala. Sebaliknya, anda boleh gunakan mata, jari dan suara untuk mengawal fungsi set kepala ini.
Untuk mengawal kursor, anda boleh berbuat demikian dengan pandangan mata, manakala kamera luaran set kepala ini boleh menjejak gerakan jari. Untuk klik, anda hanya perlu sentuhkan jari telunjuk dengan ibu jari.
Selain itu, terdapat juga roda kawalan (crown) di bahagian atas set kepala untuk menetapkan tahap lutsinar pada kacanya.
Apabila anda melakukan isyarat tangan mencubit, anda boleh kawal skrin yang dipaparkan untuk fungsi seperti melaraskan saiz skrin, klik-dan-seret (click-and-drag) dan banyak lagi.


Untuk melaksanakan sebuah fungsi, anda boleh gunakan arahan suara (voice commands), atau pautkan papan kekunci dan tetikus wayarles untuk gunakannya seperti komputer. Terdapat juga sebuah papan kekunci maya.
5 – Bolehkah ia digunakan sambil memakai cermin mata?
Malangnya, anda tidak boleh gunakan Apple Vision Pro sambil memakai cermin mata. Anda perlu masukkan kanta ZEISS dalam Vision Pro untuk membetulkan pandangan anda, dan kanta ini perlu dibeli secara berasingan.
Kanta ZEISS ini masih tidak diketahui harga rasminya, namun kami menjangkakan julat harganya sekitar USD200 ke USD300 (~RM920 ke RM1,380). Untuk mereka yang menggunakan cermin mata khas atau bifocals, anda mungkin perlu membayar lebih.
Buat mereka yang menggunakan kanta sentuh, anda mungkin tidak mempunyai masalah dengan Apple Vision Pro.
6 – Adakah ia berat?
Menurut Apple, set kepala ini mempunyai berat yang lebih ringan berbanding set kepala jenama lain kerana baterinya berasingan dan dihubungkan melalui kabel. Untuk konteks, PlayStation VR2 mempunyai berat 600g (serupa dengan iPad Pro), manakala Apple Vision Pro dikatakan sekitar 500g sahaja (serupa dengan iPad mini).

Sungguh pun begitu, kami masih berpendapat ia bukanlah set kepala yang selesa digunakan untuk tempoh yang lama, melainkan jika anda baring atau duduk. Malah jika ia digunakan selama sehari penuh, mungkin anda akan alami sakit leher atau tulang belakang.
7 – Apakah saiz skrinnya?
Menurut Apple, anda boleh gunakan beberapa skrin maya berukuran 100 inci, atau anda boleh hasilkan satu skrin gergasi yang melengkun untuk berikan pengalaman imersif. Kanta pada Apple Vision Pro mempunyai ukuran 1.4 inci dengan resolusi 4K dan ketumpatan piksel 4,000 piksel per inci.

8 – Adakah ia boleh digunakan secara mudah alih?
Ya, ia tidak perlu dihubungkan kepada komputer atau palam elektrik. Sungguh pun begitu, anda perlu bawa bersama sebuah paket bateri yang dihubungkan melalui wayar.
9 – Adakah orang lain boleh mendengar audio daripadanya?
Jika anda menggunakan pembesar suara pada set kepala ini, besar kemungkinan orang di sekeliling anda boleh mendengar audio yang dihasilkan daripadanya. Kami menjangkakan set kepala ini boleh dihubungkan kepada fon telinga wayarles, jika anda mahukan privasi.

10 – Bolehkah saya bermain game dengannya?
Boleh. Walaupun Apple sekarang sedang membangunkan game khas untuk Apple Vision Pro, anda masih boleh mainkan game sedia ada yang ditawarkan dalam Apple Arcade. Anda juga boleh hubungkan pengawal PlayStation 5 DualSense dengan Apple Vision Pro.
11 – Bolehkah saya melakukan tugasan kerja dengannya?
Boleh. Anda boleh menaip dengan papan kekunci maya yang terapung atau papan kekunci dan tetikus yang dihubungkan secara Bluetooth. Ia juga boleh dihubungkan dengan komputer MacBook atau lain-lain peranti Apple yang menyokong penggunaan Vision Pro.
Skrin MacBook akan dicerminkan (mirrored) pada Apple Vision Pro untuk paparan yang lebih besar.

12 – Bolehkah saya buat panggilan Facetime sewaktu memakainya?
Boleh. Vision Pro akan mencipta sebuah versi maya untuk anda manakala sensor dalaman akan menjejak gerakan mata dan raut muka, supaya Facetime anda nampak natural.
13 – Baterinya boleh bertahan sejauh mana?
Baterinya boleh bertahan selama dua jam. Setakat ini masih tiada maklumat mengenaik kadar pengecasannya, atau pek bateri yang lebih besar.
14 – Sejauh mana tahap keselamatannya?
Apple Vision Pro mempunyai pengimbas Optic ID bagi memastikan hanya anda sahaja yang boleh menggunakannya.

15 – Bilakah ia akan tiba di Malaysia?
Apple Vision Pro akan dijual di Amerika Syarikat bermula 2024, manakala negara-negara lain termasuk Malaysia mungkin akan menerimanya selewat 2025.
Jadi adakah set kepala pertama daripada Apple ini berjaya menarik minat anda? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Diterjemahkan daripada TechNave