fbpx
More

    5 kesilapan pembelian telefon pintar yang ramai orang buat

    Jangka masa pembelian telefon pintar baru untuk menggantikan telefon pintar sedia ada mungkin berasaskan pada banyak faktor. Antara faktor paling popular adalah jumlah perbelanjaan. Wang ialah faktor utama yang mempengaruhi pembelian telefon baharu.

    Namun, di sebalik kemunculan pelbagai variasi telefon pintar dari pelbagai jenama yang membuatkan anda meneruskan pembelian, anda mungkin telah melakukan kesilapan semasa pembelian. Kami akan senaraikan beberapa kesilapan pembelian telefon pintar yang mungkin kerap dilakukan orang ramai.

    Perlu diingatkan bahawa kesilapan ini adalah menurut pandangan kami sahaja dan ianya bersifat subjektif, di mana anda mungkin tidak merasakan ianya adalah sebuah kesilapan (mungkin hobi anda adalah sentiasa mengemaskini gajet anda).

    #1 Tidak tahu fokus penggunaan telefon pintar sendiri

    Anda perlu tahu bahawa tidak semua pengguna telefon pintar mempunyai citarasa yang sama seperti anda. Ada pengguna yang memfokuskan kepada gaming, fotografi, jangka hayat bateri, reka bentuk, ciri tahan lasak dan sebagainya. Jadi, anda yang mana satu?

    Tepuk dada, tanya selera (tanya juga poket). Jika anda mengetahui fokus anda dalam penggunaan telefon pintar, anda pastinya mencapai tahap kepuasan dalam menggunakannya, bahkan mungkin membuatkan anda lebih bahagia!

    Sebagai contoh, jika anda seseorang yang berfokuskan gaming, anda perlu mendapatkan peranti yang berfokuskan gaming kerana ia pasti mempunyai ciri yang bakal melancarkan pengurusan gaming anda. Contohnya dilengkapi sistem penyejukan yang baik berbanding peranti biasa.

    Gambar hiasan

    Sama juga jika anda sejenis yang tahan lasak, anda perlu membeli telefon pintar yang mempunyai ciri seperti rating tahan air, kalis air dan sebagainya.

    Semakin anda kenal fokus penggunaan anda, kecenderungan untuk tersilap membeli telefon pintar yang tidak memuaskan hati anda adalah lebih jauh.

    #2 Terlalu taksub mengejar trend spesifikasi paling tinggi

    Spesifikasi sememangnya akan diperkenalkan semasa pelancaran sesebuah telefon pintar. Jika spesifikasi adalah sebuah perlumbaan, adakah anda akan menukar telefon pintar setiap bulan?

    Anda boleh mempertimbangkan spesifikasi, tetapi jangan mengejar trend spesifikasi. Contohnya, trend kadar segar semula tinggi, resolusi kamera tinggi dan sebagainya. Tidak salah jika anda ingin memiliki telefon pintar dengan skrin 144Hz sekalipun, tetapi usah terlalu taksub mengejarnya sehingga anda sentiasa menukar telefon pintar anda.

    Jika hari ini anda sudah memiliki telefon skrin 144Hz, adakah anda akan menukar telefon jika esok telefon dengan skrin 240Hz muncul? Perlumbaan tidak akan tamat.

    Gambar hiasan

    Sebaiknya, anda fokus sahaja kepada spesifikasi yang memadai bergantung kepada penggunaan anda.

    #3 Tidak ambil kira faktor keselesaan dan melecehkan storan

    Pernahkah anda membeli sesebuah telefon pintar dengan storan terendah kerana inginkan harga murah, kemudian menyesal kerana selalu tidak cukup ruang? Inilah bukti anda tidak mengambil berat kepada ruangan storan yang mencukupi untuk kegunaan anda.

    Anda semestinya sudah tahu, sejauh manakah anda bakal menggunakan kapasiti storan tersebut. Tambahan pula, fail tugasan kerja juga disimpan di dalam telefon pintar. Jadi, jangan lakukan pembelian telefon pintar berstoran rendah jika anda akan menyimpan banyak fail dan aplikasi, hanya kerana harga model telefon storan rendah lebih murah.

    Utamakan keselesaan anda juga. Dengan saiz skrin telefon yang kini lebih besar, tetapan kamera dan bateri yang lebih besar mungkin membuatkan peranti lebih berat, adakah anda selesa menggunakannya?

    Gambar hiasan

    Selain dari melihat spesifikasi cipset, resolusi kamera dan saiz bateri, amalkan melihat ukuran, dimensi dan berat sebelum membeli telefon pintar. Saiz tangan individu juga berbeza. Ada individu yang tidak selesa membawa peranti yang beratnya lebih 200g. Ada juga individu yang tidak selesa membawa peranti berskrin besar yang akan melibatkan penggunaan dua belah tangan.

    Terdapat juga model telefon dengan berat yang bersesuaian dan sesuai untuk penggunaan sebelah tangan (untuk individu tangan lebih kecil). Jadi, biasakan untuk melihat storan, ukuran dan berat sebagai spesifikasi asas yang perlu dipertimbangkan.

    #4 Tidak membandingkan harga dan tawaran

    Usah membuat pembelian secara melulu. Bandingkan dahulu harga dengan kedai lain, secara dalam talian mahupun luar talian.

    Biasanya, setiap kedai atau pengedar termasuklah kedai rasmi sesebuah jenama akan memberikan tawaran menarik. Bandingkan lah dahulu sebelum terus ‘menyambar’.

    Contohnya, mungkin terdapat pengedar yang memberi tawaran aksesori percuma, pelindung skrin percuma dan sebagainya. Ini adalah tawaran yang baik bukan? Wang anda juga akan selamat jika anda membandingkan harga dan penawaran terlebih dahulu.

    Gambar hiasan

    Jika anda ingin membeli telefon sejurus selepas pelancarannya, ia adalah lebih baik kerana jenama telefon pintar biasanya memberi banyak hadiah percuma yang bernilai tinggi. Anda boleh melihat dan membandingkan harga peranti disini.

    #5 Beli tanpa melihat ulasan orang lain dahulu

    Zaman sudah maju, begitu juga dengan cara untuk mendapatkan maklumat. Anda kini tidak perlu lagi ke kedai berdekatan untuk bertanya mengenai telefon pintar. Laman web rasmi setiap jenama juga membekalkan pelbagai maklumat.

    Bukan setakat itu, anda juga boleh melihat ulasan-ulasan telefon pintar atau video unboxing dari pengulas yang anda gemari. Sebenarnya, ia agak penting untuk mengetahui rupa sebenar peranti dari apa yang diiklankan. Anda juga boleh melihat jika ada maklumat penting.

    Biasanya, pengulas akan menunjukkan spesifikasi dan ciri peranti dari semua aspek penting seperti apa yang kami buat di YouTube TechNaveBM. Terdapat juga ulasan yang lebih mendalam termasuk prestasinya, contohnya melalui ulasan-ulasan kami disini atau dari pengulas teknologi lain.

    Gambar hiasan

    Malas membaca? Lihat video. Malas menonton? Bacalah. Malas kedua-duanya? Tanya kawan atau sesiapa sahaja yang anda mahu. Dapatkan pandangan dari orang lain juga. Di laman Facebook kami juga, terdapat ramai pengguna yang memberi maklum balas mereka tersendiri mengenai telefon pintar.

    Menurut pandangan peribadi kami, ini sahajalah kesilapan yang kebanyakan pengguna lakukan untuk pembelian telefon pintar. Namun, ia mungkin tidak menjadi kesilapan jika hobi anda ialah mengumpul gajet terkini.

    Kebanyakan dari kita ingin menggunakan telefon pintar sekurang-kurangnya selama dua atau tiga tahun, jadi elakkan dari membuat kesilapan di atas.

    Anda ada ulasan dan komen lebih? Kongsikan bersama kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Baca juga mengenai cara beli telefon pintar original secara dalam talian dengan selamat!

     

    Artikel Terkini

    Samsung Galaxy A35 5G dan A55 5G, mana satu lebih bagus?

    Jadi Samsung dah lancarkan dua telefon terbaru dalam siri telefon mid-range iaitu Samsung Galaxy A35 5G dan Samsung Galaxy A55 5G! Dua-dua...

    Nothing mengacah produk audio yang akan datang tidak lama lagi

    Nothing yang merupakan jenama dengan reka bentuk yang menarik kini telah menyiarkan pengacah rasmi mengenai pelancaran produk audio yang akan datang. Seperti...

    Selepas PDRM, Imigresen mungkin turut akan menggunakan kamera badan

    Sebelum ini, kami laporkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memakai kamera badan secara beransur-ansur mulai Oktober ini. Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)...

    Fungsi Gemini dalam Google Messages kini tersedia untuk pengguna di Malaysia

    Google Gemini merupakan bot sembang AI oleh Google dengan model berbilang bahasa. Namun, untuk mengakses Gemini Ultra, anda perlu melanggan pelan Google...

    Imej janaan Google Pixel 9 tertiris tanpa kanta periskop, model XL turut bakal dilancar

    Sebelum ini, terdapat imej janaan yang tertiris menunjukkan pandangan pertama Google Pixel 9 dan 9 Pro. Kini, sumber mendedahkan bahawa model standard...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X