Samsung kini sudah menawarkan edisi keenam untuk telefon lipatnya yang berbentuk clamshell iaitu Samsung Galaxy Z Flip6. Jika dilihat sekilas pandang, telefon ini tidak mempunyai banyak perbezaan dengan generasi sebelumnya Galaxy Z Flip5, namun seperti kebanyakan telefon pintar andalan (flagship) yang dilancar pada tahun ini, Galaxy Z Flip6 menawarkan pelbagai fungsi kecerdasan buatan (AI) yang unik dan akan meningkatkan pengalaman penggunaan harian anda.
Dengan harga bermula RM4,999, ini adalah telefon lipat yang lebih realistik untuk dimiliki berbanding Samsung Galaxy Z Fold6 kerana Flip6 dijual pada harga yang lebih murah. Jadi, adakah Flip6 telefon lipat yang paling sesuai untuk anda dan adakah lebih baik jika anda beli sahaja Flip5 yang dilancar pada tahun lalu? Ayuh baca lebih lanjut untuk mengetahuinya:
Rekaan – Tidak banyak beza
Daripada segi rekaan, Galaxy Z Flip6 masih mengekalkan fizikal dan ukuran yang serupa dengan Galaxy Z Flip5 sebelum ini. Satu perbezaan adalah pada bahagian sisi, di mana Flip6 mempunyai sudahan matte yang tidak berkilauan seperti dalam Flip5. Selain itu, jika dilihat pada lensa kameranya, ia mempunyai “cincin” dengan warna sama di bahagian belakang bawah telefon.
Dua aspek tersebut merupakan satu-satunya perbezaan daripada segi fizikal di antara Flip6 dengan Flip5. Cincin berwarna pada lensa kameranya mungkin akan membuatkan Flip6 nampak seperti memiliki sepasang “cermin mata”, namun itu hanyalah pendapat saya.




Skrin – Lebih cerah
Satu lagi perkara sama yang dikekalkan daripada Flip5 kepada Flip6 adalah ukuran skrin utama dan skrin luaran (cover screen). Skrin utama menggunakan panel Dynamic AMOLED 2X berukuran 6.7 inci dengan resolusi 2640×1080 dengan kadar segar semula 120Hz, manakala skrin luaran pula menggunakan panel Super AMOLED berukuran 3.4 inci dengan resolusi 720×748. Kedua-dua skrin menawarkan imej yang jelas, malah saya amat gemar mengambil swafoto dengan bantuan skrin luaran.
Meskipun spesifikasi skrin Flip6 kekal sama, materialnya berbeza dengan generasi sebelumnya kerana ia dibuat dengan Foldable Thin Glass (FTG). Samsung mengatakan material ini lebih tahan lasak berbanding Ultra Thin Glass (UTG) yang digunakan dalam skrin Flip5 dan membuatkan garis lipatan pada skrin utama lebih sukar dilihat.



Pada pendapat saya, garis tersebut masih jelas dilihat, namun ia tidaklah terlalu mengganggu sewaktu anda menonton kandungan dalam skrin.
Satu perkara baharu yang akan memudahkan penggunaan anda ialah skrinnya kini boleh menjana kecerahan puncak sehingga 2,600 nits, lebih tinggi berbanding 1,750 nits pada skrin Flip5. Ini bermaksud skrin Flip6 boleh ditonton dengan lebih mudah walaupun di bawah cahaya matahari terik.
Spesifikasi – Kini dengan bateri lebih besar!
Antara rungutan para pengguna untuk model Galaxy Z Flip sebelum ini ialah baterinya yang kecil iaitu setakat 3,700mAh. Mujurlah untuk Galaxy Z Flip6 pada tahun ini, kapasiti baterinya telah dinaikkan kepada 4,000mAh supaya anda boleh menggunakannya dengan lebih lama. Pujian harus diberi kepada Samsung kerana mereka boleh meningkatkan kapasiti bateri tanpa mengubah saiz telefon ini.
Selain itu, RAM untuk semua varian Flip6 kini ditawarkan pada 12GB, lebih tinggi berbanding 8GB pada Flip5. Storan yang ditawarkan masih sama iaitu 256GB dan 512GB.
Bercakap tentang perkara yang sama, spesifikasi lain untuk Flip6 masih dikekalkan daripada Flip5, seperti kadar pengecasan 25W dan pengecasan wayarles 15W. Sudah tentu, cipsetnya menggunakan cipset Android tercanggih untuk tahun ini iaitu Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3, namun ini adalah satu perkara yang sudah boleh dijangkakan sebelum pelancarannya.
Satu penambahbaikan boleh dilihat pada kamera Flip6, di mana ia menggunakan sensor kamera utama 50MP yang boleh menangkap butiran lebih jelas berbanding kamera 12MP pada Flip5. Kamera ultra-lebar masih lagi 12MP, manakala kamera swafoto juga masih kekal pada 10MP.

Galaxy AI – Lebih banyak fungsi yang seronok
Selepas memperkenalkan pelbagai fungsi Galaxy AI dalam siri Samsung Galaxy S24 pada tahun ini, mestilah ia akan turut diperkenalkan dalam Galaxy Z Flip6. Alat-alat bantuan seperti Circle to Search with Google, Call Assist, Writing Assist, Note Assist, Transcript Assist dan Browsing Assist boleh digunakan dalam Flip6.
Samsung juga menambah lagi tawaran fungsi Galaxy AI dalam Flip6, contohnya Sketch to Image yang akan menukarkan lakaran ringkas anda kepada sebuah lukisan yang lebih lengkap dan menarik. Anda juga boleh melukis sebarang tambahan pada gambar yang diambil dengan kamera, kemudian Galaxy AI akan menukarkan lukisan tersebut kepada objek yang lebih cantik.
Untuk gambar manusia, Galaxy AI Portrait Studio boleh menukarkan wajah kepada efek-efek menarik seperti lukisan komik, kartun 3D, lukisan cat air dan lakaran pensel.




Secara keseluruhan, Galaxy Z Flip6 menawarkan pembaharuan yang minimal berbanding Galaxy Z Flip5. Sungguh pun begitu, penambahbaikan utama boleh dilihat pada ciri-ciri Galaxy AI yang baru diperkenalkan pada tahun ini, jadi jika anda berminat untuk mencuba trend AI yang popular pada tahun ini dalam sebuah telefon lipat yang kecil, Flip6 adalah produk sesuai untuk anda.
Kami akan ulas lebih lanjut tentang telefon lipat yang unik ini dalam masa terdekat. Beritahu kami di Facebook jika Samsung Galaxy Z Flip6 ini menarik minat anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







